Utusan Online - Pahang |
Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT MUHAMMAD FAIZ HASHIM Keadaan jalan raya kini sesak di Kuantan walaupun bukan pada waktu puncak. Saudara Pengarang, Sejak kebelakangan ini, rata-rata masyarakat Kuantan bercerita hal laluan sehala di bandar ini. Ada memberi pandangan positif dan tidak kurang juga komen negatif atas sebab kesulitan dan jalan semakin sesak yang mereka alami. Perlu kita ketahui dengan minda yang terbuka dan berlapang dada, pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sememangnya berniat baik untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik di bandar Kuantan dan tidak berniat langsung untuk menyusahkan masyarakat di daerah ini. Namun, setiap perubahan dan perkara kebaikan yang mahu dilaksanakan mestilah ada salah silapnya dan pihak MPK cuba untuk memperbaiki dan menambah baik setiap perkara dilaksanakan. Sebab itulah, laluan sehala dilaksanakan adalah dalam tempoh percubaan sehingga Oktober ini bagi pihak MPK mengkaji dan menilai setiap respons, pandangan dan cadangan daripada orang ramai untuk memastikan aliran trafik berada dalam keadaan yang terbaik. Sesuatu perubahan pada perkara yang telah lama menjadi kebiasaan memanglah mengambil masa dan memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada pengguna jalan raya di Kuantan ini. Pengguna juga harus bijak merancang perjalanan bagi mengelakkan mengguna laluan yang telah diketahui sesak pada waktu tertentu. Saya merasakan sekarang adalah masa terbaik untuk MPK mencuba laluan baharu iaitu waktu kenderaan betul-betul banyak terutama menjelang musim perayaan ini bagi mendapatkan bancian dan gambaran sebenar kesesakan yang berlaku. Pastinya, setiap kesesakan yang berlaku ini adalah menjadi kayu pengukur kajian dan penilaian pihak MPK dalam tempoh percubaan untuk melakukan penambahbaikan dan mencari formula yang terbaik bagi menyelesaikannya. Sebagai masyarakat Kuantan yang prihatin dan rasional, janganlah kita asyik menuding jari mencari kesalahan, sebaliknya marilah bersama-sama memberi cadangan dan pandangan bernas demi kesejahteraan bersama. Sebagai contoh, cadangan demi penambahbaikan untuk melaksanakan sistem jalan sehala ini, sistem lampu isyarat mestilah diminimumkan. Jika tetap ingin menggunakan lampu isyarat, MPK perlu memastikan di setiap jalan yang lurus contohnya dari Jalan Wong Ah Jang sehingga Jalan Tun Ismail, jika satu lampu isyarat hijau maka sepanjang jalan tersebut kesemua lampu isyarat mestilah hijau bagi memastikan kelancaran trafik. Kaedah bulatan atau 'round about' juga boleh difikirkan terutama di persimpangan Jambatan Tanjung Lumpur-Telok Sisek bagi meminimumkan penggunaan lampu isyarat. Penduduk dan pengguna jalan raya haruslah bersabar dan memberi peluang kepada MPK memikir dan melaksanakan kaedah terbaik untuk mengurangkan kesesakan yang semakin teruk. Pastinya, pihak MPK terpaksa mengubah laluan-laluan yang memang kerap mengalami kesesakan terutama di waktu-waktu puncak. Jika tidak dilakukan sekarang, bila lagi? Adakah mahu melaksanakannya ketika keadaan trafik benar-benar teruk dan lebih menyulitkan? |
Hentikan sementara operasi lori bijih besi Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT MAT TEMPUA Saudara Pengarang, SAYA merupakan penduduk daerah Lipis meminta pihak berkuasa menghentikan sementara perjalanan lori muatan bijih besi dari loji di Kerambit ke bandar Kuantan atau tempat lain menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi. Cadangan itu berasas kerana bermula minggu ini orang ramai khususnya penduduk daerah Lipis dan Jerantut akan keluar berbelanja ke bandar Jerantut, Temerloh dan Kuantan. Jika tidak dilaksanakan, perkara itu akan mengundang risiko keselamatan pengguna jalan raya serta menimbulkan ketidakselesaan dan lebih membimbangkan akan berlaku kemalangan sehingga kehilangan nyawa orang tersayang. Lori berkenaan masih beroperasi melalui kawasan kampung di Lipis dan Jerantut untuk mengangkut bijih besi ke depot dan pelabuhan di Kuantan. Saya menyatakan dalam ruangan ini kerana terdapat lori muatan melebih 80 tan melalui struktur jajaran sempit, berselekoh dan berbukit-bukau sehingga membimbangkan pengguna jalan raya lain terutamanya penunggang motosikal. Lebih merisaukan apabila lori berkenaan kerap terkandas di laluan berbukit berdekatan Sungai Yap dan Kampung Besul, Jerantut dan Tanjong Buluh, Kerambit di Lipis. Apa yang merisaukan pengguna jalan raya di sini akhirnya berlaku pada pertengahan Julai lalu apabila seorang pemandu maut setelah kenderaannya merempuh belakang lori muatan bijih timah ketika menuruni bukit. Sejak lori besi ini beroperasi, keadaan jalan raya juga mengalami kerosakan terutama di laluan berdekatan Kampung Kerambit, Kampung Tanjung Buloh, Kampung Jeram Landak, Kampung Ganding dan Kampung Mela. Saya mencadangkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa supaya menghentikan buat sementara waktu operasi lori berkenaan selama lima hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri. Cadangan itu dianggap relevan untuk memberi keselesaan pengguna berbelanja dan bersantai tanpa memikirkan kejadian ngeri atau tekanan psikologi ketika berselisih dengan lori berkenaan. |
Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA Mohyen Mosman (dua dari kanan) menyerahkan zakat Projek Ehsan Tabung Haji kepada golongan asnaf di Bandar Indera Mahkota, baru-baru ini. KUANTAN 1 Ogos - Seramai 210 golongan asnaf dari negeri ini menerima sumbangan zakat RM500 setiap seorang menerusi Projek Ehsan Tabung Haji sempena Ramadan kali ini. Pengarah Tabung Haji negeri, Datuk Mohyen Mosman berkata, keseluruhan zakat yang disampaikan semalam itu berjumlah RM105,000. "Projek Ehsan yang diadakan pada bulan Ramadan setiap tahun ini adalah bersifat serampang dua mata, pertamanya bertujuan membantu golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). "Dalam masa sama, projek ini juga menjadi platform kepada Tabung Haji untuk mendekati dan mengeratkan lagi silaturahim serta memahami permasalahan yang dihadapi oleh komuniti setempat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Zakat Projek Ehsan Tabung Haji Negeri Pahang di Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota di sini. Mohyen berkata, Tabung Haji sentiasa beriltizam untuk menggalas tanggungjawabnya dengan baik terutama dalam soal pembayaran zakat kepada setiap negeri di seluruh negara. Beliau berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan Tabung Haji jelas memperlihatkan sifat prihatin terhadap keperluan masyarakat Islam setempat khususnya golongan asnaf. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan