Utusan Online - Mahkamah |
Benjy ceraikan isteri kali kedua Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT BENJY @ Khaeryll Benjamin Ibrahim dan Safiya Stephanie Kar-Leng Lee hadir dalam perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 1 Ogos - Setelah bercerai dan rujuk semula lima tahun lalu, pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy hari ini melafaz cerai talak satu sekali lagi terhadap isterinya, Safiya Stephanie Kar-Leng Lee di Mahkamah Rendah Syariah di sini. Lafaz itu dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Khairul Azwadi Mohamed Noor setelah beliau membenarkan permohonan Safiya yang telah difailkan pada 11 Julai lalu. Safiya, 30, diwakili peguam syarie, Hazirah Othman memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 47(3) Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dalam pada itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Benjy, 35, memberitahu mahkamah anak guamnya bersetuju dengan permohonan untuk berpisah secara baik itu. Berdasarkan fakta kes yang dibentangkan Hafizah, pasangan itu yang dikurniakan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun, Firdauz Juan Benjamin, telah tinggal berasingan sejak 2010. Mereka yang bernikah pada 9 Februari 2004 pernah bercerai dengan talak satu pada 7 Julai 2008 namun rujuk semula pada hari yang sama. Sebelum Benjy yang merupakan anak pelakon, Azean Irdawaty, melafazkan talak, Khairul Azwadi menasihatkan pasangan itu agar tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap anak mereka. "Mahkamah tidak boleh paksa kamu tinggal bersama kerana takut kamu tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri namun kamu mempunyai anak. "Selepas ini kamu akan membawa haluan masing-masing namun jangan beri tekanan kepada anak," katanya yang kemudian mengarahkan pasangan itu bersalaman. Pasangan berkenaan bersalaman kira-kira lima minit sambil Benjy memperkatakan sesuatu kepada Safiya yang dilihat mengangguk-angguk kepala. Wanita itu turut mencium tangan Benjy yang kemudian mencium dahi Safiya. Mahkamah mengesahkan lafaz talak satu buat kali kedua itu dan mengarahkan Safiya menjalani tempoh idah sebanyak tiga kali suci. Sementara itu, di luar mahkamah Benjy memberitahu para pemberita, keputusan untuk bercerai secara baik itu dibuat setelah mereka tidak lagi sehaluan. "Masing-masing sudah buat hal sendiri namun kami masih berkawan kerana kami mempunyai anak malah penjagaan anak dibuat secara bersama," katanya. Menurut pelakon yang sedang menghadapi tuduhan memiliki dadah jenis syabu, anaknya kini dipelihara oleh Safiya tetapi akan berada dalam jagaannya setiap hujung minggu. "Tiada masalah berhubung hak penjagaan anak kerana kami telah ada persetujuan malah Hari Raya Aidilfitri ini saya akan beraya dengan anak saya kerana kami menetap di Kuala Lumpur," ujarnya. Sepanjang prosiding hari ini, Benjy ditemani bapanya, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi. |
Fitnah Anwar: Nallakaruppan dibenar merayu Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT PUTRAJAYA 1 Ogos - Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MUIP), Senator Datuk S. Nallakaruppan dibenar merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan terdahulu yang mendapati beliau bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008. Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif membenarkan permohonan itu dan mengarahkan kedua-dua pihak menghujahkan dua persoalan undang-undang dalam rayuan kelak. Antara persoalan itu ialah sama ada butiran mencukupi yang perlu disediakan oleh pembelaan dalam mematuhi permohonan agar butiran lanjutan dikemukakan, perlu diperiksa oleh ujian objektif yang ketat atau oleh ujian subjektif dengan mengambil kira keadaan keseluruhan kes. Keadaan kes itu termasuk jurang masa di antara kejadian dan tempoh permohonan bagi butiran terperinci itu dikemukakan serta keupayaan ingatan individu dalam mengingati perincian masa dan tarikh. Yang turut bersidang, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Tan Sri Ahmad Maarop dan Datin Paduka Zaleha Zahari. Nallakaruppan diwakili oleh peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diwakili oleh R. Sivarasa. Beliau memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi yang membatalkan pembelaannya dalam saman yang difailkan oleh Anwar. Mahkamah Rayuan pada 21 Januari lalu berpendirian bahawa tindakan Mahkamah Tinggi menolak pembelaan Nallakaruppan adalah betul selepas dia gagal membekalkan butiran berhubung dakwaannya terhadap Anwar. Pada 19 Jun tahun lalu, Hakim Datuk Su Geok Yiam ketika menolak pembelaan Nallakaruppan turut memerintahkan beliau membayar ganti rugi dan kos kepada Anwar yang akan ditaksir oleh Penolong Kanan Pendaftar. Anwar memohon agar pembelaan Nallakaruppan dibatalkan setelah bekas rakan permainan tenis beliau itu gagal memberi butiran terperinci berhubung dakwaan terhadapnya. Pada 23 November 2011, Mahkamah Rayuan memerintahkan Nallakaruppan mengemukakan butiran terperinci dalam tempoh dua minggu berhubung dakwaannya dalam satu majlis bahawa Anwar menerima wang RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian, Magnum Corporation. Butiran itu dimohon oleh Anwar dalam samannya terhadap Nallakaruppan bagi menuntut ganti rugi RM50 juta berikutan penerbitan artikel bertajuk 'Anwar Terima RM60 juta' yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia dan Sinar Harian, lima tahun lalu. Nallakaruppan didakwa menyatakan: ''Anwar mengambil wang sebanyak itu daripada tangan saya sendiri'' ketika berucap dalam satu majlis anjuran Pemuda UMNO di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 23 Ogos 2008. Bagaimanapun, Anwar mendakwa Nallakaruppan membuat tuduhan palsu berhubung penerimaan wang tersebut manakala Nallakaruppan dalam kenyataan pembelaannya pula mendakwa, Anwar memang menerima wang itu daripada orang tengah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan