Utusan Online - Kota |
- Kawasan hutan tiada tindakan
- Sakit hati dikelilingi sampah haram
- MBPJ diminta tangani secara serius
Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT Oleh SITI AINIZA KAMSARI Mokhtar Edan (kanan) dan rakannya Amran Ahmad menunjukkan kawasan hutan tidak dikenakan tindakan oleh MPAJ sedangkan tapak masjid yang bersih di tempat mereka berdiri diberikan notis amaran. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON SUBANG JAYA 31 Julai - Tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyerahkan notis amaran kepada Surau Al Madaniah di USJ 18 supaya membersihkan tapak masjid berdekatan surau berkenaan dilihat bukan sahaja tidak kena pada tempatnya tetapi menimbulkan rasa pelik di kalangan ahli kariah surau itu. Ini kerana kawasan kosong seluas kira-kira dua hektar itu hanya ditumbuhi rumput berbanding sebuah kawasan tanah kosong dengan keluasan yang sama yang ditumbuhi hutan. Ahli Jawatankuasa Surau Al Madaniah, Mokhtar Edan berkata, kawasan tapak masjid tersebut hanya ditumbuhi rumput sedangkan kawasan hutan berkenaan yang menjadi punca banyak masalah kepada penduduk sekitar tidak pernah diambil sebarang tindakan oleh MPSJ. "Kami tidak bermaksud untuk membantah notis tersebut, malah kawasan tersebut telah pun kami bersihkan tetapi bagaimana dengan kawasan hutan yang berdekatan dengan surau ini, kenapa MPSJ tidak memastikan kawasan itu turut dibersihkan?," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Mokhtar berkata, pihak surau menerima notis tersebut hasil aduan pihak-pihak tertentu pada 4 Julai lalu, sedangkan pada 6 Julai pihak surau sememangnya merancang untuk membersihkan tapak masjid tersebut yang hanya ditumbuhi rumput panjang. "Tetapi seolah-olah ada berlaku double standard di sini, adakah benar tapak masjid itu kelihatan semak sedangkan hutan yang berhampiran itu lebih memberikan pelbagai masalah kepada pihak surau dan penduduk di sini. "Kawasan hutan itu menjadi tempat persembunyian anjing-anjing liar. Sudah ada kejadian pelajar sekolah yang dikejar dan digigit anjing ketika mereka terpaksa melalui jalan berhampiran hutan tersebut untuk menuju ke surau bagi menunaikan solat Jumaat. "Malah anjing-anjing liar tersebut pernah memasuki sehingga ke kawasan solat di surau ini dan ada rumah penduduk yang dimasuki ular dan musang yang kami percaya datang dari hutan tersebut," katanya. Menurutnya, pihak surau telah mengadu masalah mengenai hutan tersebut kepada MPSJ namun tiada sebarang tindakan proaktif pernah diambil oleh pihak berkuasa tempatan itu. "MPSJ memberi alasan mereka tidak dapat mengenal pasti pemilik tanah tersebut untuk dihantar notis amaran. Sedangkan ketika mereka menyerahkan notis kepada pihak surau, pegawai berkenaan dapat menyaksikan sendiri anjing-anjing yang berkeliaran yang sepatutnya mereka sudah boleh mengambil tindakan segera dan soal pemilik tuan tanah itu bukan lagi menjadi satu alasan," boleh dirujuk di pejabat berkaitan," katanya. Selain terserempak dengan beberapa ekor anjing liar yang kemudiannya lari bersembunyi ke arah hutan, tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan hutan berdekatan dengan kawasan perumahan USJ 18 itu telah mula dijadikan tempat pembuangan sampah. "Lama-kelamaan jika terus dibiarkan akan menjadi tempat yang kotor dan sesuai untuk pembiakan nyamuk aedes dan pastinya nanti ada penduduk yang akan menjadi mangsa demam denggi," kata Mokhtar. |
Sakit hati dikelilingi sampah haram Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN KESAN sampah yang dibakar dapat dilihat dengan jelas di lokasi pembuangan sampah secara haram di Jalan PJU 10/10G, Saujana Damansara, Petaling Jaya, Selangor. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED PETALING JAYA 31 Julai - Masalah timbunan sampah di sini telah berlarutan sejak tiga tahun lalu, namun tiada tindakan diambil oleh pihak bertanggungjawab." Itu luahan beberapa pekerja bangunan komersial di Jalan PJU 10/10G, Saujana Damansara di sini yang terpaksa menghidu bau busuk, selain pemandangan menyakitkan mata ketika bekerja. Lokasi itu terletak dalam kawasan perindustrian kecil dan bangunan perniagaan komersial selain perumahan iaitu bersebelahan dengan lebuh raya ke Sungai Buloh. Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit mendapati, sampah yang dilonggokkan di tepi jalan itu turut bertaburan hingga ke dalam longkang besar bersebelahan. Pelbagai jenis sampah dapat dilihat di situ antaranya sisa dapur, makanan, tilam, kayu, kain, kotak dan perabot. Lebih mengejutkan tebing longkang di situ yang turut runtuh dipenuhi sampah selain semak tebal yang berkemungkinan menjadi sarang habitat haiwan liar berbisa. Air longkang mengalir dengan perlahan kerana laluannya terhalang oleh runtuhan tembok dan longgokan sampah pula boleh mengakibatkan banjir kilat. Keadaan tersebut menjadi lebih kritikal apabila sampah tersebut turut dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab ketika negara ini diancam krisis jerebu yang serius sejak kebelakangan ini. Asap pembakaran sampah itu pastinya akan memburukkan lagi kualiti udara dan menjejaskan pemandangan persekitaran. Sehubungan itu, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) perlu bertindak segera sebelum keadaan lebih buruk berlaku. |
MBPJ diminta tangani secara serius Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT PETALING JAYA 31 Julai - Beberapa pekerja di bangunan komersial di sekitar Jalan PJU 10/10G, Saujana Damansara di sini mahu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) segera melaksanakan tindakan serius terhadap masalah timbunan sampah di situ. Mereka mendakwa pihak MBPJ seolah-olah berlepas tangan dan tidak serius untuk menangani masalah tersebut walaupun aduan telah beberapa kali dilaporkan oleh penduduk. Peniaga, Hasrin Misran, 46, berkata, beliau dan para pekerjanya tidak sanggup menghidu bau busuk dari kawasan timbunan sampah itu kerana kedainya paling hampir dengan kawasan tersebut. "Masalah ini telah sejak kami memulakan perniagaan di sini kira-kira tiga tahun lalu, tetapi ketika itu keadaan tidaklah seteruk sekarang. "Saya pernah melihat bangkai seekor anjing yang diletakkan di dalam guni turut dibuang di situ. "Bukan setakat orang di sini yang membuang sampah malah orang luar lebih suka datang ke sini untuk membuang sampah walaupun terdapat beberapa pondok sampah yang disediakan," katanya ketika ditemui. Menurut Hasrin, walaupun terdapat kontraktor yang memungut sampah setiap hari di situ namun pihak tersebut hanya mengutip sampah yang ada di dalam tong besar sahaja. Pekerjanya, Saiful Anuar Sitam, 32, berkata dia sering terserempak dengan lori-lori yang datang untuk membuang sampah haram di situ tidak mengira waktu. "Apabila hujan, bau busuk semakin kuat dan banyak lalat masuk ke dalam premis kami. Kami amat tidak tahan dengan keadaan ini tetapi sampai bila? Walaupun pihak MBPJ telah datang melawat ke tapak berkenaan namun tiada tindakan pembersihan dilakukan," ujarnya. Rakannya, Khairullah Misran, 37, pula kesal terhadap perbuatan individu yang membakar sampah tersebut sehingga menyebabkan pencemaran udara. "Pembakaran itu dilakukan baru-baru ini ketika musim jerebu. Difahamkan, pembakaran itu bertujuan untuk menghilangkan bau busuk yang datang dari sampah itu," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan