Utusan Online - Johor |
Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT Oleh HANIZA HASSAN Kakitangan Kemas gembira sambil menunjukkan sijil anugerah cemerlang di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kemas dan Persaraan di Kompleks Islam Iskandar, Johor Bahru kelmarin. JOHOR BAHRU 31 Julai - Biarpun terdapat kelas pendidikan prasekolah yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan dan pusat bimbingan oleh pihak swasta, kewujudan dan fungsi taman bimbingan kanak-kanak (tabika) kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) masih dianggap relevan. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kualiti pembelajaran di kesemua Tabika Kemas di negeri ini telah dipertingkatkan menerusi beberapa kaedah termasuk pengambilan guru baharu yang mempunyai kelulusan sehingga ke peringkat diploma. Beliau berkata, hingga kini terdapat kira-kira 23,000 kanak-kanak mengikuti pendidikan di 1,177 kelas prasekolah melibatkan tenaga kerja seramai 2,700 orang di negeri ini. "Selain itu, sebanyak 26 tabika di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) turut disediakan pihak kerajaan membabitkan 243 kanak-kanak selain 45 Tabika Permata di Johor dengan penyertaan 1,045 kanak-kanak. "Saya amat yakin dan percaya Kemas akan terus relevan dalam memberi pendidikan awal kanak-kanak pada masa akan datang walaupun sudah banyak prasekolah dan tabika swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di negeri ini," katanya dalam ucapan perasmian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kemas Johor 2013, di sini semalam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff. Yang turut hadir Pengarah Kemas negeri, Taufik Mohd. Yusop dan kira-kira 200 kakitangan Kemas di seluruh negeri yang diraikan pada majlis berkenaan. Menteri Besar berkata, Kemas juga bukan hanya menumpukan kepada pendidikan kanak-kanak, malah turut menjalankan tanggungjawab dan peranan lebih besar dalam pembangunan khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar. "Secara keseluruhannya, saya melihat Kemas telah membantu sama ada Kerajaan Pusat mahupun negeri dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa dapat ditingkatkan bersesuaian dengan gagasan 1Malaysia," katanya. |
Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED Rusdi Mohamad (kiri), Sulaima Sulaimi bersama anak mereka membuat persiapan sementara menanti pengunjung di gerai Ayu Sup Gear Box di Bazar Ramadan Pesta, Batu Pahat, baru-baru ini. BATU PAHAT 31 Julai - Setiap kali Ramadan, muncul pelbagai jenis makanan dan minuman di setiap bazar di seluruh negara mengikut cita rasa masyarakat di kawasan tertentu. Namun sup merupakan juadah wajib di setiap bazar Ramadan tidak kira walau di ceruk mana di negara ini sekali pun. Bagi bazar Ramadan terbesar di daerah ini iaitu Bazar Ramadan Pesta di sini, Ayu Sup Gear Box antara yang menjadi tumpuan penduduk kerana rasa dan pelbagai jenis isi sup itu sendiri. Mendengar cerita penduduk yang ke bazar itu, penulis turut tidak mahu ketinggalan berkongsi keenakan sup yang menjadi buah mulut penduduk di kawasan ini. Sangkaan penulis sup tersebut diusahakan individu berpengalaman meleset selepas mengetahui perniagaan sup itu diusahakan sepasang suami isteri, Rusdi Mohamad, 49, dan Sulaima Sulaimi, 45. Lebih sedap mata memandang, perniagaan pasangan itu dibantu empat anaknya yang berusia antara 11 hingga 21 tahun terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan. Sulaima memberitahu, perniagaan itu diusahakan bersama suaminya sejak 15 tahun lalu di bazar Ramadan sama. "Walaupun namanya sup gear box, tetapi isi sup yang disediakan terdiri daripada tulang kambing, ayam, paru, ekor, tulang, perut dan lidah, malah terdapat sup merah tulang kambing. "Sejak mula berniaga di sini, kami bukan sekadar datang berniaga sebaliknya saya sentiasa berfikir menyediakan resipi terbaik yang mampu membuatkan pelanggan berpuas hati," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Berikutan itu, Sulaima mengadunkan resipi asal sup gear box dengan adunan yang diciptanya sendiri bagi memastikan bukan sahaja sup sedap tetapi baunya juga mampu menarik perhatian pelanggan. Katanya, konsep yang diguna pakai di gerainya adalah pelanggan diberi peluang memilih sendiri jenis isi sup serta kuantiti supaya lebih berpuas hati. "Pelanggan akan diberi mangkuk untuk memilih isi sup dengan kuantiti sendiri, setelah selesai saya akan memberitahu harga sebelum membungkuskan sup tersebut. Dengan cara ini pelanggan dilihat lebih selesa," katanya. Bagi harga pula, ujarnya, setiap bungkusan dikenakan harga antara RM3 hingga RM9 mengikut kuantiti dan jenis isi sup yang dipilih pelanggan. Namun, tambahnya, sup yang paling mendapat sambutan dalam bulan Ramadan adalah sup tulang dan sup kambing. Menurutnya, dia mempunyai pelanggan tetap bagi kedua-dua menu itu sejak beberapa tahun lalu manakala pelanggan lain pula kebiasaannya mahukan sup campur. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan