Utusan Online - Hiburan |
Posted: Eina tolak adegan ranjangOleh ABD. AZIZ ITAR
MELIHATKAN susuk tubuh dan kematangan Nur Eina Azman, pelakon remaja ini seakan-akan tidak sepadan dengan usianya. Pada usia 16 tahun, Eina kelihatan seperti pelakon wanita yang matang bukan sahaja daripada segi penampilan diri, tetapi juga tutur katanya. Status masih di bangku sekolah juga tidak menghalangnya untuk aktif dalam bidang lakonan filem dan drama tempatan. Malah, pada usia yang masih setahun jagung itu, Eina turut mendapat peluang melakonkan pelbagai watak, sama ada dalam drama ataupun filem. Bagaimanapun, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan USJ4, Subang Jaya, Selangor ini tidak semberono menerima tawaran berlakon yang diberikan kepadanya. Sebaliknya kata Eina, dia akan cuba menjauhi watak-watak atau adegan-adegan panas yang memerlukannya beraksi di atas ranjang. "Saya masih di bawah umur. Sebab itu, saya tidak akan terima apa juga watak yang memerlukan saya beraksi seksi di atas ranjang. Ia tidak sesuai dengan umur saya sekarang. Saya akan meneliti sesuatu tawaran sebelum menerimanya. "Keluarga pula sentiasa memantau dan menemani setiapkali saya berada di lokasi penggambaran filem atau drama. Mereka banyak memberi nasihat dalam apa juga watak yang saya lakonkan," katanya kepada Hits. Anak saudara penyanyi tahun 1980-an, Juliza Adlizan yang kini sedang mempromosikan filem terbarunya, Sesuatu Yang Tertinggal yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 5 Januari ini juga, semakin matang dalam memilih watak-watak yang sesuai dengannya. Menurut Eina, filem terbitan Grand Brilliance itu bukanlah yang pertama dilakonkannya, tetapi pada 2009 dia telah membintangi filem Ratu The Movie arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara sekitar Mac yang lalu. "Sewaktu saya berlakon dalam Ratu The Movie kira-kira dua tahun lalu, umur saya baru 14 tahun. Itu adalah filem pertama lakonan saya. Saya banyak belajar daripada filem itu dan ia banyak membantu mematangkan diri saya. Sekali lagi, keluarga saya banyak membantu saya dalam melalui ranjau dalam bidang ini. "Apatah lagi, kebanyakan ahli-ahli keluarga saya terbabit dalam bidang nyanyian terutamanya Juliza Adlizan yang banyak memberi dorongan. Malah, sebelum berlakon filem, saya terlebih dulu berlakon drama sewaktu berusia 13 tahun iaitu dalam drama yang berjudul 5 Jingga," ujarnya. Menerusi Sesuatu Yang Tertinggal arahan pengarah Black dan skrip tulisan Ienas Mokhtar, Eina yang melakonkan watak Bella dalam filem itu bukan setakat belum bersedia melakonkan adegan-adegan panas di atas ranjang, tetapi dia turut realistik dengan statusnya sebagai pelajar. Dia yang kini berlakon kerana mahu memenuhi minatnya dalam dunia lakonan tidak menafikan pembabitannya itu sedikit sebanyak membantu menambahkan lagi duit poketnya. Ia secara tidak langsung mengajarnya erti berdikari selain meringankan beban keluarganya. "Buat masa ini, saya berlakon kerana minat dan mengisi masa lapang sewaktu cuti panjang persekolahan baru-baru ini. Soal duit perkara nombor dua kerana keluarga saya banyak membantu kalau saya memerlukannya. Tetapi sekarang saya sudah mula cari duit sendiri. "Itu pun sewaktu cuti sekolah. Pada tahun depan saya akan menghadapi peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) di mana saya akan mengurangkan aktiviti lakonan. Saya mahu fokus dalam bidang pelajaran pada sepanjang tahun depan bagi menghadapi SPM. "Sebab itu, dalam tahun ini saya akan menghabiskan penggambaran semua drama atau filem lakonan saya," jelasnya yang baru selesai menjalani penggambaran drama berjudul Mistik Alam Hitam, Demi Masa dan Jatuh Cinta di sekitar Lembah Klang baru-baru ini. Selain terbabit dalam dunia lakonan, Eina juga tidak mahu mengabaikan minat serta bakatnya dalam bidang nyanyian. Jika boleh kata pelakon tinggi lampai ini, dia mahu bidang lakonan dan nyanyian yang diminati sejak dari kecil itu berjalan seiringan pada masa depan. Justeru, tidak hairanlah sebagai permulaan Eina kini baru sahaja menghasilkan album singlenya pertama berjudul Bahagia Bersamanya. Album single itu yang diterbit sendiri akan diedar di pasaran selewat-lewatnya pada bulan Februari tahun depan. "Lagu Bahagia Bersamanya dicipta oleh Adnan Abu Hassan di mana ia berentak pop dan balada. Itu adalah taruhan pertama saya untuk mencuba bakat dalam bidang nyanyian pada tahun depan. Bagaimanapun saya mahu jadikan nyanyian kerjaya kedua selepas berlakon. "Ini kerana, saya paling minat berlakon. Walaupun keluarga lebih suka saya menyanyi kerana ia lebih mudah berbanding berlakon tetapi saya tetap akan mengutamakan bidang lakonan kerana ia memberi lebih kepuasan kepada saya," tuturnya, sebelum mengakhiri perbualan. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Pernah terfikir bersaraOleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI Ning berniat untuk membukukan perjalanan hidupnya sebagai anak seni. DUNIA seni tanah air tidak pernah lekang dengan cerita-cerita kontroversi yang membabitkan artis tidak kira bidang lakonan atau seni suara. Ada antara segelintir artis yang terpalit dengan kisah kontroversi tidak dapat bangkit semula menghidupkan karier seni mereka dan terus menukar bidang yang berbeza. Tetapi ada juga individu yang benar-benar yakin dengan anugerah yang diberikan kepada mereka, terus-terusan berusaha untuk mengukuhkan semula nama di persada seni tempatan. Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi wanita bersuara soprano iaitu Ning Baizura yang mula dikenali ramai menerusi lagu Curiga melalui album pertamanya, Dekat Padamu. Penyanyi yang memulakan karier seni ketika berumur 16 tahun ini juga pernah melalui zaman kejatuhan yang menyebabkan dia terfikir untuk berhenti daripada meneruskan karier nyanyian pada suatu ketika. "Pelbagai dugaan yang saya hadapi tatkala menjadi anak seni dari awal penglibatan sehingga kini, banyak kenangan manis dan juga pahit yang telah mematangkan saya. "Antara dugaan terberat yang saya hadapi adalah beberapa kisah kontroversi membabitkan saya antaranya ditipu oleh pihak yang sangat saya percayai ketika itu. "Mungkin juga ia terjadi kerana saya seorang yang mudah memberikan kepercayaan kepada orang lain. Kesempatan itu digunakan oleh mereka untuk keuntungan peribadi," katanya yang ditemui sewaktu menghadiri program Jom Chat Bersama di Utusan Malaysia baru-baru ini. Ning yang ditemani oleh suami merangkap pengurusnya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton menambah, perkara tersebut terjadi beberapa kali kepadanya dan ia menambahkan lagi tekanan yang dihadapi. "Selepas perkara itu terjadi, saya berasa tertekan dan terpaksa berlakon dihadapan rakan-rakan media dan peminat. "Waktu itu memang zaman kejatuhan di mana saya juga berhutang keliling pinggang. Ketika itulah timbul perasaan untuk berhenti daripada bidang ini. "Tetapi syukurlah dengan sokongan yang diberikan oleh ibu dan teman-teman rapat selain peminat, saya yakin dengan bakat yang telah dianugerahkan ini. Saya berusaha untuk bangkit kembali mencipta nama dalam industri seni tempatan," tambahnya yang juga pernah bercita-cita untuk menjadi doktor haiwan. Penyanyi yang baru sahaja selesai mengadakan konsert Ning @ KL Live pada 2 Disember lalu berterima kasih kepada peminat yang masih setia memberikan sokongan tidak terhingga kepadanya. "Saya benar-benar terharu dengan kehadiran peminat pada malam itu yang ada antaranya saya kenali setelah bertahun-tahun menjadi anak seni. "Saya dapat melihat mereka datang membawa ahli keluarga dan menceritakan bahawa lagu-lagu saya telah memainkan peranan dalam hidup mereka secara tidak langsung. "Perkara seperti inilah yang membuatkan saya terus bertahan dalam industri ini kerana perasaan dihargai oleh peminat itu memang tidak dapat ditukar ganti," jelasnya yang berniat untuk membukukan perjalanan kisah hidupnya suatu hari nanti. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan