Utusan Online - Agrobiz |
Tanam nanas tidak menghampakan Posted: Tanam nanas tidak menghampakanOleh LAUPA JUNUS Hassan Salleh (kanan) menerima kunjungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (kiri) dan Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Hashim Abdullah di ladangnya di Muar, Johor. BERTUGAS sebagai kakitangan kerajaan sejak sekian lama tidak menghalang Hassan Salleh menceburkan diri dalam bidang pertanian. Malah, dia menyimpan minat untuk mencuba sesuatu yang baru dan lebih mencabar dalam kerjaya hidupnya. Tawaran oleh seorang pegawai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) kira-kira 10 tahun lepas, telah merintis jalan kepadanya untuk mencuba bidang pertanian khususnya projek penanaman nanas. Selain mempunyai kerjaya sebagai kakitangan Jabatan Penjara, penanaman nanas yang merupakan bidang baru baginya, nyata tidak mengecewakan. Peluang itu diperoleh ketika bertugas di Penjara Johor Bahru pada 1995 kembali ke Muar dan mengusahakan tanaman nanas berkeluasan 3.2 hektar (lapan ekar) yang dimulakan di Ayer Hitam. Malah sejak mula berjinak-jinak dalam projek penanaman, anak jati Muar berusia 52 tahun itu sebelum ini pernah terlibat membawa banduan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan. ''Saya sebelum ini membawa banduan semasa berkhidmat di Penjara Simpang Renggam untuk membina masjid dan surau dan menjadi arkitek untuk tujuan itu," katanya yang mula bertugas di jabatan berkenaan pada 1982. Pada 2000, bapanya meninggal dunia di Mekah dan memaksa dia kembali ke kampung halaman di Muar, sebelum ditawarkan mengusahakan tanaman nanas seluas 3.2 hektar (lapan ekar). Dengan tiada pengalaman, bapa kepada lima anak ini memulakan satu usaha yang bukan mudah, malah terpaksa bekerja keras dan tanpa bantuan pada peringkat awal pembabitan. Hassan juga terpaksa mencari beberapa pemilik tanah di Kota Tinggi, Johor untuk menambah keluasan tanah penanaman melibatkan empat ekar tanah bagi seorang pemilik. ''Kita buat perjanjian untuk pajak dengan pemilik selama 15 tahun supaya ada ada ikatan,'' ujarnya sambil memberitahu usaha pencarian tanah yang sesuai untuk penanaman mengambil masa selama setahun. Dia juga terpaksa menjual dua buah kereta sebagai modal permulaan dan berjaya mengumpul RM28,000 untuk membeli tanah. Sebab itu, pembabitannya dalam tanaman nanas boleh dianggap satu tindakan nekad, memandangkan ia dimulakan tanpa pengalaman, tiada modal dan tanpa bimbingan. Bagi menjadikan usaha tersebut lebih lancar, dia menubuhkan syarikat Bonek pada bulan Mac 2001 yang kini dikenali sebagai Bonek Enterprise Sdn. Bhd. 'Bonek' bermaksud 'sama-sama nekad, sekali gus menggambarkan dan mengabadikan semangat tersebut dan sebagai pendorong kepada apa yang dicita-citakannya. Sehingga kawasan penanaman nanas yang dimiliki mencecah 320 ekar termasuk 30 ekar tanah milik TNB. Hassan berkata, sebanyak 12,000 hingga 15,000 pokok nanas ditanam bagi setiap ekar kawasan penanaman dan kebanyakannya daripada jenis Josapine. Berkongsi lanjut mengenai bidang tersebut, Hassan berkata, nanas boleh dituai selepas sembilan bulan ditanam. Ketika ini dia memperoleh kebanyakan benih dari Thailand dengan harga 35 sen sebiji manakala modal sepokok bagi menanam nanas ialah 35 sen sebiji. Harga pasaran pula RM1.60 sebiji. Buah nanas yang telah dituai dipasarkan ke Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terutama bagi nanas Josapine. Mengenai masalah utama tanaman nanas, Hassan menjelaskan, ancaman haiwan perosak merupakan perkara yang perlu diberi perhatian serius. Dia juga mendapat bantuan daripada LPNM bagi membina sistem perparitan. Selain itu, dia turut berkongsi kegembiraan apabila mendapat bantuan pinjaman kewangan daripada Agrobank untuk mengembangkan projek tersebut sejak pembabitannya dulu. Dia telah menerima pinjaman bank terbabit 2006 sebanyak RM150,000 dan pinjaman kedua menyusul pada tahun ini sebanyak RM138,000. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Nanas subur di tanah gambutMENURUT Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) nanas mengandungi vitamin C yang tinggi yang sangat baik untuk kesihatan dan dapat membantu menyembuhkan luka di samping Vitamin B1 dan B2. Penyediaan tanah * Bagi kawasan yang baru dibuka, kerja-kerja menebang, menerangkan kawasan dan membuat parit dijalankan. * Parit perlu dibina untuk mengelak akar terendam sebagai contoh, untuk tanah gambut parit besar dengan ukuran 244 sentimeter (sm) x 910 sm x 152sm dan parit kecil 122 sm x 92 sm x 92 sm dibina melintang parit besar dengan jarak 200 meter tiap satu. Bahan tanaman * Pembiakan tampang adalah lebih mudah iaitu dengan menggunakan sulur tangkai, sulur udara, sulur tanah atau jambul nanas. * Sulur tangkai selalu digunakan dimana sulur-sulur berkenaan akan dicelupkan dalam larutan Bordeux dan ditoskan lalu dibiarkan pangkal sulur ke atas selama dua minggu (campuran Bordeux - 0.4 kg CuSO4 + 0.9 kg Ca(OH)2 dilarutkan dalam 46 liter air). * Pangkal sulur dipotong dan daun-daun sisik dibuang supaya cepat berakar. Menanam * Jarak tanaman yang disyorkan ialah 120 sm x 60 sm x 30 sm (37,000 pokok/ha) dalam dua barisan atau boleh juga 90sm x 60sm x 30sm (43,500 pokok/ha) mengikut kesesuaian. * Lubang dibuat menggunakan kayu tugal dan tanamkan sulur yang sama saiz pada petak atau kawasan yang sama untuk keseragaman. * Tanam satu sulur untuk satu lubang dan padatkan tanah keliling sulur supaya ia dapat tegak dan tidak mudah rebah. Membaja * Kadar pembajaan NPK 30:1:32 dengan kadar 200 kg/ha pada tiap-tiap peringkat umur tiga, enam dan sembilan bulan adalah disyorkan untuk tanah gambut. Merumpai * Merumpai dijalankan dua bulan sekali pada peringkat umur 6 bulan dan selapas itu tiga bulan sekali Induksi bunga * Hormon penggalak bunga boleh meningkatkan kematangan pokok, menghasilkan buah yang lebih besar dan serentak. * Buah nanas dihasilkan pada peringkat umur antara 12 dan 13 bulan dengan menggunakan hormon dan tanpa hormon antara 18 dan 24 bulan. - Contoh hormon seperti pil ANA (Alpha Naphtyl Acetic) satu biji sepokok atau ethapon (30 ml ethrel + 180 g urea + 18 liter air) disembur 40-50 ml pada pangkal pokok atau tengah pucuk. Perosak * Koya memakan pangkal daun, akar dan buah. Daun bertukar warna merah dari hujung daun hingga keseluruhan pokok menjadi layu. * Teritip menghisap tisu daun, buah dan tangkai menyebabkan bintik-bintik kuning pada daun. * Hama merah memakan bahagian pangkal daun tua hingga menyebabkan tompok-tompok lekuk berwarna coklat. * Kawalan bagi serangga di atas adalah dengan menggunakan sulur yang sihat dan racun serangga yang bersesuaian. Penyakit * Buah hantu disebabkan oleh bakteria Erwinia chrysanthemi menyebabkan buah menjadi lembik dan reput dan mengeluarkan cecair antara dua tiga minggu sebelum buah masak. * Reput teras disebabkan oleh bakteria Erwinia chrysanthemi menyebabkan daun di bahagian pucuk menjadi lembut dan reput bermula dari pangkal daun dan merebak ke atas daun. * Reput perdu oleh kulat Thielaviopsis paradoxa menyebabkan reput di bahagian pangkal pokok nanas. * Mata dalam disebabkan oleh kulat Penicillium funiculsom menyebabkan dinding ovari anak buah diliputi lapisan berongga, merebak ke arah empulur berwarna coklat gelap dan keras. * Penyakit ini dapat dikawal dengan menggunakan benih sulur yang sihat, buang pokok yang berpenyakit dan amalan kultura yang betul. Memungut hasil Hasil boleh dikutip selepas 18 bulan ditanam. Buah boleh dipetik sekurang-kurangnya satu matanya berubah ke warna kuning. Anggaran hasil tanaman pertama adalah lebih kurang 42 tan/ha dan untuk tanaman kedua (ratoon) 27 tan/ha mengikut jenis kultivar nanas. Potensi hasil Josopine (35 tan/ha), Moris (35 tan/ha) dan N36 (45 tan/ha). Penggredan buah nanas Buah nanas boleh digredkan berdasarkan saiz buahnya iaitu Klas A (12-12.7 sm), Klas B(11 -12.0 sm) dan Klas C (9-11.0 sm) Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Agrobiz To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan