Utusan Online - Utara |
Penduduk ugut buat demonstrasi Posted: Penduduk ugut buat demonstrasiOleh LEE HOOI BOON KADIR Mohd. Pitchay menunjukkan kotak fiber bekas air digunakan sebagai tong sampah bagi kegunaaan harian penghuni flat untuk membuang sampah di Taman Teluk Kumbar, Pulau Pinang, kelmarin. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN PULAU PINANG 5 Nov. - Penghuni Taman Teluk Kumbar mengugut mengadakan demonstrasi jika masalah yang mereka hadapi sejak 16 tahun lalu gagal diselesaikan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang dalam tempoh dua minggu. Mereka berhasrat untuk berarak ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), iaitu bangunan yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan negeri. Pengerusi persatuan penduduk taman itu, Kadir Mohd. Pitchay, 62, tindakan tersebut diambil berikutan terlalu kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang seolah-olah tidak memandang serius masalah yang mereka hadapi. "Kami sudah tidak tahan lagi dengan sikap endah tak endah kerajaan negeri termasuk Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Pesuruhjaya Bangunan (COB) yang hanya mengatakan tindakan akan diambil tetapi tiada apa-apa dilakukan sampai sekarang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, kelmarin. Masalah yang dihadapi oleh penduduk di situ adalah penyelenggaraan tidak sempurna seperti ketiadaan tong sampah, jeriji penghadang patah, litar elektrik rosak, dewan serbaguna kotor dan alat pemadam api tidak berfungsi. Dalam pada itu, Kadir juga memberitahu, pihak pemaju juga sanggup menjadikan tadika yang disediakan di situ sebagai rumah sewa semata-mata mahukan keuntungan. "Saya kini cuma berharap pihak pemaju menyelenggara semula kerosakan atau menunaikan segala janji yang dibuat dalam mesyuarat pada 24 Ogos lalu," ujarnya. Sementara itu, seorang penduduk, Lily Yap, 40, mendakwa pihak pemaju terbabit tidak bertanggungjawab kerana hanya tahu mengutip caj penyelenggaraan daripada penduduk sedangkan kerja- kerja tidak dijalankan dengan sempurna. "Contohnya, saya pernah mengadu air paip di kedai saya telah bocor dan meminta mereka untuk membaikinya tetapi tidak pernah datang. Akibatnya, saya terpaksa keluar duit sendiri untuk membaiki," ujarnya. N. Karthigasu, 39, pula memberitahu, masalah yang dihadapi penduduk menyebabkan mereka terpaksa hidup dalam persekitaran yang kotor dan tiada jaminan keselamatan. "Saya harap pihak berkuasa jangan bercakap kosong sahaja, tetapi mula buat kerja sekarang. Jika tidak, saya akan menyertai perarakan bagi meluahkan perasaan tidak puas hati kepada kerajaan negeri," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Sedia hadapi banjir - Raja Muda Perlis Posted: Sedia hadapi banjir - Raja Muda PerlisKANGAR 5 Nov. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta rakyat di negeri ini supaya mula bersedia untuk menghadapi kemungkinan banjir dengan mengambil beberapa langkah tertentu. Titah baginda, langkah perlu diambil bukan sahaja sebagai perancangan peribadi atau melibatkan keluarga dan sebagainya malah secara penyertaan lebih menyeluruh menerusi kerja-kerja kesukarelaan. "Antara langkah harus diambil ialah membersihkan saluran parit daripada sampah-sarap termasuk di sekitar rumah dan tempat kerja," titah baginda yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di sini, semalam. "Rakyat juga jangan membina struktur atau binaan yang boleh menghalang atau menyekat aliran air terutama di parit, alur dan sungai," saran baginda. Selain itu, titah baginda, orang ramai digalakkan menakung air hujan supaya ia boleh digunakan untuk pelbagai tujuan yang secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan jumlah isipadu air hujan mengalir ke parit dan sungai. Raja Muda bertitah, orang ramai juga seharusnya membuat laporan kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) atau Majlis Perbandaran Kangar (MPK) jika terdapat sebarang aktiviti atau halangan yang boleh menyekat atau menghalang aliran air di parit atau sungai. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan