Ahad, 6 November 2011

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


ARTS menoreh getah dengan satu sentuhan

Posted:

ARTS menoreh getah dengan satu sentuhan

ARTS menoreh getah dengan satu sentuhan

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
nisa.sulaiman@utusan.com.my
Gambar MOHD. NOOR AMIN dan MOHD. AZIM ABDUL RAHMAN


Dr. Salmiah berbincang dengan kumpulan E-Team mengenai mesin ARTS yang bakal digunakan oleh pekebun kecil getah.


SETIAP pagi Pak Mat bangun seawal pukul 4 pagi untuk menoreh getah. Kenapa seawal pukul 4 pagi? Sebabnya ketika itu tekanan tinggi dan susu getah mengalir lebih banyak.

Biasanya Pak Mat menoreh selang sehari dan kadang kala terpaksa menanggung risiko susu getah hilang atau tercemar dengan benda asing semasa pengumpulan.

Ada ketikanya apabila musim tengkujuh Pak Mat tidak dapat keluar melakukan kerja-kerja menoreh.

Beginilah senario kehidupan pekebun kecil getah yang terpaksa mengerah kudrat bangun seawal pagi untuk menoreh.

Selain itu para penoreh diibaratkan terpaksa 'menyembah' dari satu pokok lain untuk menoreh. Masa yang diambil untuk selesaikan kerja tersebut bergantung kepada keluasa kebun yang dimiliki.

Keadaan itu bagaimanapun bakal berubah tidak lama lagi. Penoreh tidak perlu lagi bangun awal pagi untuk menoreh. Ini ekoran kejayaan inovasi dalam penghasilan alat menoreh getah secara automatik. Ia tidak lagi memerlukan penoreh menyembah dari satu pokok ke pokok yang lain. Alat ini boleh diibaratkan seperti robot yang bertenggek di pokok getah. Dengan hanya menekan satu butang, ia melaksanakan semua tugas termasuk menoreh dan mengumpulkan susu.

Hasil penyelidikan dan pembangunan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) bersama syarikat inovasi terkemuka Zull Design Autotronic (ZDA) maka terhasil Sistem Menoreh Getah Automatik atau dalam bahasa Inggerisnya Automatic Rubber Tapping System dan ringkasnya ARTS.

Tidak sama seperti mesin toreh getah lain yang pernah dihasilkan sebelum ini, penyelenggaraan ARTS cukup minimum.

Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr. Salmiah Ahmad berkata, alat itu terhasil daripada pemerhatian terhadap susah payah pekebun kecil getah.

"Biasanya ladang getah diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil yang rata-ratanya warga emas yang tidak larat lagi bangun awal pagi untuk menoreh. Jika mereka tidak menoreh ia akan menyebabkan bekalan susu getah tidak menentu di pasaran," katanya semasa ditemui di Pameran dan Persidangan Antarabangsa Komoditi Malaysia (MICCOS) 2011 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor baru-baru ini.

Justeru ARTS adalah penyelesaiaannya. Pekebun kecil boleh mengatur masa untuk menoreh dan susu getah akan terus mengalir ke pusat pengumpulan sebelum dibawa ke kilang.

Apa yang lebih menarik, ARTS akan menoreh secara serentak. Pekebun hanya perlu menentukan masanya sahaja. Dalam masa lima jam segalanya selesai dan susu getah sudah berada di kilang untuk diproses.

Dengan teknologi itu juga, pokok getah boleh ditoreh walaupun pada musim hujan.

"Sistem ARTS yang tertutup memberikan kelebihan kepada pengilang mendapatkan susu getah tulen tanpa benda asing selain bekalan yang berterusan," katanya.

Beliau menambah, dengan ARTS juga pekebun kecil tidak perlu ke ladang untuk menoreh tetapi hanya untuk meracun rumpai.

"Jadi penggantungan kepada tenaga buruh asing dapat dikurangkan sehingga lebih 50 peratus. Bagi pekebun kecil, mereka boleh menggunakan masa terluang untuk menjana pendapatan sampingan lain," katanya.

ARTS hanya perlu diselenggarakan setiap enam bulan sekali bagi menukar pisau toreh dan menukar atau mengecas bateri. Ia boleh digunakan oleh sesiapa saja dan tidak memerlukan kemahiran.

"Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos," kata Dr. Salmiah.

Biasanya menoreh perlu kemahiran kerana jika pokok ditoreh terlalu dalam akan menyebabkan kecederaan pada pokok dan produktiviti berkurangan.

ARTS akan hanya menoreh pada kedalaman yang ditetapkan dan tidak merosakkan lapisan dalam, memelihara pokok dan secara tidak langsung dapat memanjangkan lagi hayat pokok sehingga 20 tahun.

Dari segi ekonomi, Dr. Salmiah berkata, pengumpulan getah secara sistematik dan berterusan akan menjamin industri berasaskan getah di negara ini.

Pengilang akan lebih yakin dengan bekalan bahan mentah yang berterusan.

"Malahan industri kecil dan sederhana (IKS) akan tumbuh bagi mengeluarkan komponen bagi menghasilkan ARTS.

"Ini secara tidak langsung dapat menjana ekonomi IKS dan memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar kebun kecil getah," kata Dr. Salmiah.

Menyentuh mengenai harga bagi satu unit ARTS, Dr. Salmiah berkata, pihaknya yakin dengan pengeluaran secara besar-besaran, kosnya boleh dikurangkan.

"Pihak kami percaya jika harga ARTS rendah kurang daripada RM150, ramai pekebun kecil berminat menggunakannya.

"Pengilang juga boleh mengambil bahagian dengan memberikan subsidi kerana susu getah yang dihasilkan bersih tanpa pencemaran," katanya.

Selain itu katanya, ARTS boleh dipecahkan kepada tiga komponen yang boleh dipilih oleh para pekebun.

Katanya, mereka boleh memilih bahagian toreh saja, bahagian toreh dan mangkuk atau kesemua pakej lengkap sehingga pengumpulan di bagi seluruh ladang.

Setakat ini hanya Malaysia satu-satu negara yang menghasilkan alat torehan automatik itu dan ia mempunyai potensi untuk di eksport ke negara-negara pengeluar getah lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Sri Lanka, India, China, Vietnam dan Cameroon.

Full content generated by Get Full RSS.

Dorper sumber rezeki baru

Posted:

Dorper sumber rezeki baru

Dorper sumber rezeki baru

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar MOHD ZULKARNAIN SAIDIN


MOhd. Nasir menternak pelbagai jenis kambing dan biri-biri untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan.


PERTANIAN bagaikan sudah menjadi darah daging Mohd. Nasir Samat. Bermula dengan ladang sayur yang terletak di Astana Raja, Negeri Sembilan ia kemudian berkembang kepada ladang ternakan dan sayuran di Kota Rembau dan ladang ternakan biri-biri di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Hasil kerja keras kini ladangnya di Kota, Rembau mempunyai 200 ekor induk biri-biri, 30 ekor induk kambing, 80 ekor induk lembu, lebih 20,000 ekor ikan keli dalam enam buah kolam tanah dan 25 ekar ladang sayuran.

Apa yang menarik ladang yang diusahakan Mohd. Nasir Samat itu melaksanakan sistem integrasi sepenuhnya segala bahan yang terdapat di dalam ladang.

Semua sisa pertanian digunakan semula melalui amalan kitar semula dengan sasaran sisa sifar. Misalnya, sisa ternakan diproses menjadi baja sebelum diletakkan di kebun sayur-sayuran di ladangnya.

Ini bagi mengurangkan penggunaan baja kimia selain ternakan kambing dapat mengawal rumpai dan mengurangkan penggunaan racun.

Apa yang menarik, bekas kontraktor itu kini berjaya mengisi ladangnya dengan pelbagai jenis biri-biri.

Malah, dia sedang mencongak untuk mengubah ternakan biri-biri tersebut kepada baka Dorper.

Amat mementingkan kepuasan pelanggan, Mohd. Nasir sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk ternakan terutama dalam makanan yang bermutu dan berkhasiat bagi mendapatkan karkas yang terbaik bagi pelanggan.

Untuk tujuan itu, dia menanam jagung sebagai makanan biri-biri selain memproses makanan sendiri sebagai satu kaedah mengurangkan kos makanan

Dia bertekad menghasilkan makanan ternakan sendiri selepas belajar daripada pengalaman awal dahulu ketika memulakan projek ternakan.

Ketika itu, terdapat ternakannya mati akibat makanan yang tercemar.

Kajian ke atas bangkai ternakan yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mendapati palet yang digunakan telah berkulat mungkin terlalu lama disimpan.

Kes tersebut mendorong Mohd. Nasir menggunakan formula sendiri bagi menghasilkan makanan ternakan menggunakan campuran palet hancur, soya, molases, bawang putih, halia, kunyit dan mas cotek.

"Ini merupakan makanan utama selain rumput Napier sebagai makanan sampingan dan rumput di sekitar kawasan ladang," katanya.

Makanan biri-biri daripada rumusan sendiri dan rumput Napier sebanyak empat kilogram (kg) seekor sehari dapat meningkatkan berat badan biri-biri sehingga 300 gram sehari seekor.

Sementara itu bagi meningkatkan pembiakbakaan, Mohd. Nasir mendapatkan khidmat nasihat dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang mana anak biri-biri jantan berusia dua hingga empat bulan yang telah bercerai susu dihantar ke ladang penggemuk dan diberi makan palet (creep feed) 100 gram seekor sehari.

Pada mulanya, Mohd. Nasir memelihara 42 ekor biri-biri pada peringkat pertama yang hampir matang dengan formulasi makanan menghasilkan peningkatan berat badan antara 150 hingga 200 gram seekor sehari.

"Kebanyakan Dorper betina yang saya pelihara ketika itu telah bunting dan hanya menunggu masa untuk beranak.

"Kebiasaannya ibu biri-biri bunting akan dibiarkan meragut sebagai satu senaman," katanya.

Anak-anak yang dilahirkan mempunyai berat badan purata lima kg dengan peningkatan berat badan 250 gram sehari seekor.

Mohd. Nasir berkata, biri-biri Dorper menjadi pilihan kerana karkasnya meliputi 48 hingga 50 peratus berat badannya.

Bagi melicinkan operasi ladangnya di tanah seluas 51 ekar dengan 80 peratus merupakan padang ragut, dia menggajikan enam orang pekerja iaitu empat pekerja asing dan dua orang rakyat tempatan yang bekerja sepenuh masa serta tiga orang separuh masa.

Di atas tanah tersebut terdapat sebuah kandang transit seluas 20 kaki x 30 kaki bagi tujuan kuarantin atau biosekuriti sebelum biri-biri yang baru sampai dilepaskan ke ladang ternakan umum.

Kapasiti penuh ladang boleh memuatkan sehingga 7,000 ekor biri-biri dengan lebih 400 ekor satu kandang.

Anak baru lahir akan berada dengan ibu sekurang-kurangnya selama 72 jam bagi mendapatkan susu awal atau kolostrum manakala pembiakan boleh dijalankan sebanyak tiga kali setahun.

Selepas itu anak biri-biri akan diberikan makanan khas (creep feed) dengan 20 peratus lebih protein.

Biasanya biri-biri berusia enam bulan telah mula dijual untuk sembelihan kerana kandungan kolestrol dan lemak yang rendah serta tinggi kandungan protein.

Manakala harga yang berpatutan memberikan peluang kepada masyarakat kelas menengah dan tinggi menikmatinya.

Kini ladang ternakan milik Mohd.Nasir berupaya mengeluarkan sehingga 60 ekor biri-biri sembelihan sebulan.

Memandangkan sambutan terhadap biri-biri Dorper semakin menggalakkan, beliau merancang membuat pusat latihan untuk orang kampung dalam kumpulan kecil.

Nasir meminati biri-biri kepada Dorper kerana saiz karkas lebih besar, peningkatan berat badan lebih tinggi boleh dijual pada usia enam bulan, pengurusan ternakan mudah dan jimat daging yang lunak dan lembut

Bagi tujuan pemasaran Nasir mempunyai kedai konsep yang menjual makanan berasaskan daging di Senawang, Negeri Sembilan dan beliau sedang merancang membina sebuah lagi kedai konsep di kawasan Damansara, Selangor.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved