Utusan Online - Rencana |
Janggal miliki dua dasar bahasa Posted: Janggal miliki dua dasar bahasaAKHIR-AKHIR ini, banyak isu tentang pendidikan negara dibangkitkan terutama yang berkaitan dengan program Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI). Terdapat pelbagai pandangan dikemukakan termasuk daripada kalangan yang menentang pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM baru-baru ini, Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, PROF. DATUK DR. SIDEK BABA (gambar) mengemukakan pandangannya tentang langkah memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris. Pandangan beliau memang wajar diberi perhatian berikutan latar belakangnya yang telah begitu lama terlibat dalam bidang pendidikan dan sudah mengkaji dasar pendidikan negara secara mendalam. UTUSAN: Kenapa desakan supaya diteruskan PPSMI masih berbangkit sedangkan kerajaan sudah memutuskan untuk menggantikannya dengan MBMMBI? SIDEK: PPSMI memang menjadi satu isu yang kontroversi. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut memimpin Kementerian Pelajaran, telah memutuskan harus diperkenalkan balik penggunaan bahasa Melayu bagi mengajar subjek Matematik dan Sains. Keputusan itu dicapai setelah tinjauan kembali secara serius dibuat berhubung keberkesanan pelaksanaan PPSMI dari segi pro dan kontra. Ia diputuskan selepas diadakan perbincangan yang melibatkan banyak pihak. Keputusan itu mengembalikan semula wibawa perundangan seperti yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Bagi saya langkah beralih kepada MBMMBI adalah sesuatu yang bijaksana dan berpandangan jauh. Pertamanya, bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan adalah bahasa rasmi dan terungkap dalam Akta Pendidikan 1996 sebagai bahasa pengantar tidak sahaja di sekolah rendah dan menengah, tetapi juga di institusi pengajian tinggi (IPT). Penekanan untuk memperkasakan bahasa Inggeris pula adalah satu langkah wajar. Kita kini menghadapi cabaran globalisasi. Dari satu sudut ilmu pengetahuan banyak yang berkembang dalam bahasa Inggeris, jadi munasabah untuk memperkasakan pengajaran bahasa ini di segenap peringkat untuk membolehkan anak-anak kita menerima ilmu-ilmu terkini dalam bahasa Inggeris. Apakah rasionalnya kita memartabatkan kembali bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris? Kalau kita lihat sejak 30 tahun lalu, perkembangan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita amat memberangsangkan. Statistik menunjukkan dengan menggunakan bahasa ibunda, pencapaian anak-anak Melayu dalam subjek Sains dan Matematik amat baik sekali. Pada 2001, statistik menunjukkan pencapaian subjek Fizik anak-anak kita ini melampaui peratusan yang dicapai oleh anak-anak bukan Melayu. Ini menunjukkan bahawa dengan menggunakan bahasa ibunda, ia tidak menjadi halangan untuk anak-anak kita menguasai Sains dan Matematik. Usaha untuk memperkasakan bahasa Inggeris pula dibuat kerana ia bahasa antarabangsa. Sebahagian besar anak-anak kita yang melanjutkan pelajaran dalam bidang kesarjanaan dan kedoktoran contohnya, banyak belajar di universiti-universiti di Barat yang menggunakan bahasa itu. Oleh itu, kurikulum bahasa Inggeris yang diajar harus disusun semula supaya ia sesuai dengan etos Malaysia. Guru-guru terlatih dan berkualiti juga harus dibekalkan tidak saja di bandar tetapi juga di luar bandar. Bahasa Inggeris yang bersifat komunikatif harus diajarkan secara berkesan. Pengajaran bahasa Inggeris perlu dibuat dengan komprehensif seperti menambah masa belajar untuk subjek itu, dibantu oleh makmal bahasa, penyusunan kembali kurikulum dan buku teks yang menggunakan etos Malaysia supaya belajar bahasa Inggeris bukan untuk menjadi Englishman tetapi belajar bahasa Inggeris sebagai media bahasa untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang sifatnya pantas berkembang. Mengapa terdapat di kalangan penentang MBMMBI ini terdiri daripada kelompok Melayu dalam organisasi tertentu? Mereka mungkin mengaitkan bahawa untuk maju bahasa Inggeris adalah penting. Atau mungkin sikap elitis yang ada menyebabkan pendewaan kepada bahasa itu. Sesetengah menghubungkan korelasi atau hubung kait pemodenan adalah menerusi bahasa Inggeris. Tanggapan ini adalah tidak betul. Perancis dan Jerman maju menggunakan bahasa ibunda mereka. Mereka juga tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris. Filipina sejak merdeka menggunakan bahasa Inggeris. Apakah Filipina boleh dijadikan contoh negara maju. Hakikatnya sistem kita tidak menolak usaha memperkasa bahasa Inggeris. Malaysia tidak saja memberi fokus kepada pembangunan lokal tetapi sedang menjangkau kepada pemain global. Keperluan mempelajari bahasa negara maju adalah sesuatu yang sifatnya menyumbang. Orang Melayu harus ada perasaan sayangkan kepada bahasanya. Kalau orang Melayu tidak sayangkan kepada bahasanya – orang lain lebih-lebih lagi. Ada juga yang memberi alasan bahawa mengutamakan bahasa Melayu peluang mendapat pekerjaan adalah susah. Kalau kita sama-sama jayakan MBMMBI dengan baik, tidak timbul isu ini kerana para pelajar dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik dan secara komunikatifnya boleh berbahasa Inggeris. Ini boleh menjadikan yang dikendung dapat dan yang dikejar tidak berciciran. Mengapa pentingnya bahasa Melayu ini menjadi bahasa dasar pendidikan negara? Adalah sesuatu yang menjanggalkan dalam sistem pendidikan negara apabila kita memiliki dua arah dalam dasar berbahasa. Sebab itu, bahasa Melayu mesti menjadi bahasa yang patut dimartabatkan. Ia sama seperti Korea Selatan, Jepun dan China yang tetap menggunakan bahasa ibunda masing-masing walaupun ketika dalam proses mengejar kemajuan. Dalam masa sama, negara terbabit tidak menolak keperluan generasi mudanya untuk belajar bahasa-bahasa lain yang terkandung kekuatan ilmu di dalamnya. Oleh itu, langkah Malaysia memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa pengucapan dan bahasa antarabangsa adalah satu langkah yang cukup wajar. Apa rasional cadangan Menteri Pengajian Tinggi supaya diperkasakan bahasa Melayu di IPT? Langkah kementerian untuk memperkasakan kembali bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa penyelidikan, bahasa pengkaryaan dan bahasa antarabangsa adalah satu keputusan yang berpandangan jauh. Logiknya, apabila MBMMBI dilaksanakan maka dengan sendirinya langkah memartabatkan dan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu di peringkat rendah dan menengah akan menuju ke pengajian tinggi. Ia satu petanda baik bagi IPT di Malaysia kerana ia selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan semangat yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 yang memberikan isyarat bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Apa kaitan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan baru-baru ini dengan usaha memartabat bahasa Melayu? Penganjuran kongres ini adalah satu petanda baik untuk menimbulkan kesedaran di kalangan pejuang bahasa, ahli-ahli akademik dan pihak-pihak pelaksana tentang aplikasi bahasa kebangsaan berkenaan. Aplikasi ini bukan sahaja sebagai bahasa dalam bidang pentadbiran dan bahasa pengurusan, tetapi juga sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa. Ia menuntut tekad keinsafan yang tinggi bahawa tanpa diterjemahkan martabat bahasa dalam pelaksanaan sistem, kajian dan penyelidikan, menghasilkan karya asli dan berwibawa bahasa Melayu tidak akan mengalami perganjakan yang bermakna. Bahasa Melayu harus memiliki daya saing yang tinggi supaya kualiti berbahasa dirasakan dan dilihat aplikasinya. Sudah sampai masanya, resolusi kongres ini dilihat dengan lebih terperinci. Resolusi berkenaan perlu diambil kira dalam perancangan di setiap kementerian dan syarikat perniagaan supaya langkah memartabatkan bahasa Melayu itu tidak hanya menjadi slogan dan seruan tetapi diaplikasikan dalam sistem. Full content generated by Get Full RSS. |
Petunjuk usaha perangi jenayah Posted: Petunjuk usaha perangi jenayahOleh NURUL ANUAR KARI KESUNGGUHAN polis membolehkan indeks jenayah jalanan berjaya diturunkan. BIDANG Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) merupakan antara bidang keberhasilan yang menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia yang bimbang dengan kadar jenayah di sekeliling mereka. Walaupun sebahagian besar rakyat negara ini mengakui Malaysia adalah antara tempat paling selamat untuk membina keluarga dan kerjaya, peningkatan kadar jenayah terutamanya jenayah keganasan dan kebanjiran warga asing tetap menimbulkan kegusaran anggota masyarakat. Menurut kenyataan terkini KDN, Indeks Keamanan Global (GPI) oleh Institut Ekonomi dan Keamanan di Sydney dan New York menunjukkan Malaysia kini berada pada prestasi membanggakan untuk berada di tangga ke-19 antara 153 negara paling selamat tahun ini berbanding tangga ke-22 tahun lalu dan ke-26 pada 2009. GPI dinilai dari segi kebolehpercayaan terhadap perkhidmatan polis, kesan jenayah terancang terhadap perniagaan, kesan jenayah dan keganasan terhadap perniagaan. Projek Keadilan Sejagat (WJP) pula melaporkan bahawa Malaysia merupakan negara paling selamat di kalangan 19 negara berpendapatan pertengahan serta di kedudukan ke 12 negara paling selamat di dunia mengatasi Amerika Syarikat dan Britain. Sementara itu, kaji selidik Indeks Kebimbangan Jenayah (Fear of Crime Index) melaporkan berlaku penurunan sebanyak 9.6 peratus dari segi perasaan takut terhadap jenayah, daripada 58.5 peratus pada Disember 2009 kepada 48.9 peratus pada Mei tahun ini. Pada masa sama, kaji selidik yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menunjukkan bahawa kebimbangan orang ramai terhadap jenayah berkurangan sebanyak 12 peratus iaitu daripada 33 peratus pada tahun lalu kepada 21 peratus pada tahun ini. Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) pula melaporkan berlaku penurunan 9.4 peratus terhadap tuntutan kes berkaitan kenderaan antara tahun 2010 berbanding 2009. Secara keseluruhannya, kadar indeks jenayah antara Januari hingga September tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 9.8 peratus, daripada 132,355 kes antara Januari hingga September 2010 berbanding 119,376 kes dalam tempoh sama tahun ini. Kadar jenayah jalanan pula mencatatkan penurunan sebanyak 40.6 peratus, dengan 29,596 kes jenayah jalanan dicatatkan antara Januari hingga September 2010 berbanding 17,591 kes dalam tempoh sama tahun ini. Ini hasil usaha gigih dan kesepaduan daripada semua pihak terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), agensi-agensi lain di bawah kementerian, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat milik kerajaan (GLC), pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan anggota masyarakat setempat. Antara pendekatan bersama yang dilaksanakan termasuk meningkatkan kehadiran polis di kawasan-kawasan 'panas'; meningkatkan penyertaan anggota dan pegawai polis dalam aktiviti rondaan serta melatih ahli-ahli Rela dan anggota JPAM sebagai Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) untuk ditugaskan bersama pihak polis di kawasan panas. Selain itu, bilangan balai polis bergerak dan motosikal polis di kawasan panas turut ditambah; memperbanyakkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas serta memperhebatkan penyertaan dan penglibatan anggota masyarakat dalam aktiviti mencegah jenayah melalui RakanCop, Kepolisan Komuniti, Skim Rondaan Sukarela (SRS), Program Bandar Selamat dan sebagainya. NKRA ini juga bukan hanya melibatkan usaha pencegahan dan penguatkuasaan semata-mata malahan merangkumi usaha memperkukuh sistem keadilan dan kehakiman. Ini termasuk yang melibatkan elemen pendakwaan (mahkamah malam dan J-Code untuk jenayah jalanan); hukuman di peringkat mahkamah dijalankan dengan pantas serta usaha menjayakan inisiatif pemulihan dalam penjara. Untuk 2012, sejumlah RM11.311 bilion diperuntukkan kerajaan kepada KDN untuk pembangunan dan pengurusan di samping peruntukan khas berjumlah RM200 juta untuk PDRM bagi penyediaan kelengkapan dan peralatan yang lebih moden. Sebanyak RM249.85 juta juga disediakan untuk pembangunan bandar selamat, pengasingan laluan pejalan kaki dan laluan bermotor, sistem penggera, cermin keselamatan, pembersihan semak samun dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk pemetaan berasaskan kejadian jenayah. Selain itu, sebanyak RM7.56 juta lagi diperuntukkan oleh kerajaan bagi memperkasakan operasi Unit Khas Bergerak (UKB) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menangani masalah pemprosesan pendaftaran dan permohonan penduduk khususnya dari kawasan pedalaman dan pesisir pantai sekali gus memudahkan penduduk pedalaman mendapatkan dokumen pengenalan diri. Dengan segala usaha, inisiatif dan pendekatan yang dilakukan KDN dan pihak-pihak yang berkenaan ini, diharapkan NKRA Mengurangkan Jenayah mampu mencapai sasaran penurunan indeks jenayah sehingga lima peratus dan jenayah jalanan sehingga 20 peratus menjelang penghujung tahun ini. Lebih penting lagi, usaha tersebut diharap dapat memastikan rakyat di negara ini sentiasa berasa dan berada dalam keadaan selamat dan tenteram dalam menjalani kehidupan harian mereka. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan