Jumaat, 4 November 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


TMP 2012 diyakini capai sasaran

Posted:

TMP 2012 diyakini capai sasaran

TMP 2012 diyakini capai sasaran

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 3 Nov. - Kerajaan negeri yakin sasaran peningkatan 60 peratus pelancong sempena kempen Tahun Melawat Perak 2012 (TMP) mampu dicapai berikutan strategi promosi secara besar-besaran yang sedang giat dijalankan.

Exco Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, strategi promosi amat penting untuk memastikan semua ikon pelancongan negeri serta program menarik sepanjang kempen itu, dapat disampaikan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Menurutnya, antara langkah awal yang diambil adalah penyaluran peruntukan RM30,000 kepada pihak berkuasa di semua sembilan daerah di negeri ini untuk membina papan tanda serta banting sempena TMP.

''Langkah itu (promosi) penting kerana selain memastikan pengunjung dapat maklumat yang tepat, ia juga mampu menghangatkan serta memeriahkan promosi sepanjang TMP.

''Dengan adanya strategi promosi yang betul, kerajaan negeri yakin sasaran kenaikan pelancong sebanyak 60 hingga 70 peratus sepanjang TMP akan dapat dicapai," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di Kampung Sungai Rapat, di sini semalam.

Hamidah berkata, penganjuran sesuatu acara sahaja tidak cukup untuk meningkatkan jumlah pelancong tetapi program menggalakkan orang ramai terlibat secara langsung dalam acara berkenaan adalah strategi yang lebih baik.

''Jika boleh, kita perlu mengadakan program yang bukan sahaja membolehkan orang ramai datang ke sesuatu tempat tetapi mereka juga boleh mengambil bahagian dalam acara tertentu," ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga dalam proses memastikan semua lokasi pelancongan popular di negeri ini berada pada tahap terbaik untuk menerima pengunjung dalam dan luar negara.

Contohnya, kata beliau, Zoo Taiping sedang berada pada fasa terakhir kerja-kerja menaik taraf bernilai RM3.8 juta dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM200,00 kepada daerah Teluk Intan di dalam persediaan menghadapi TMP.

Full content generated by Get Full RSS.

Konvoi motosikal program korban di Laos

Posted:

Konvoi motosikal program korban di Laos

Konvoi motosikal program korban di Laos


SHAHANIM Mohd. Yusof (berdiri barisan kedua kanan) bersama anggota ekspedisi Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Sungai Petani yang berkonvoi ke Laos pada majlis pelepasan di Sungai Petani, Kedah, kelmarin. - utusan/OPAT RATTANACHOT


SUNGAI PETANI 3 Nov. - Ibadat korban sememangnya membawa pengertian amat besar kepada umat Islam dalam meraikan kemeriahan Aidiladha .

Melalui ibadat korban, umat Islam yang mampu berpeluang untuk membantu golongan miskin sesuai dengan tuntutan agama.

Menyedari hakikat itu, enam ahli Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Sungai Petani (SPCT) memulakan konvoi ke Laos bagi melaksanakan ibadah korban di sana, semalam.

Ketua Ekspedisi, Mohd. Khairel Anwar Zakaria, 42, berkata, pihaknya menunggang motosikal berkuasa tinggi selama dua minggu melalui Thailand hingga ke Vientiane, Laos dengan perjalanan pergi-balik sepanjang 6,000 kilometer.

"Apabila tiba di sana kelak, kami akan melaksanakan ibadah korban bersama 100 keluarga berdekatan Masjid Vientiane," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan konvoi yang disempurnakan oleh Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof di sini, semalam.

Mohd. Khairel Anwar memberitahu, umat Islam di Vientiane kini hidup serba kekurangan dan tidak dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna.

"Sehubungan itu, kami harap kehadiran kami di sana sekurang-kurangnya dapat mengeratkan hubungan sesama Islam di samping dapat menunaikan ibadat korban tahun ini dengan jayanya," kata beliau.

Tambahnya, SPCT juga akan menyampaikan sumbangan wang dan empat ekor lembu untuk ibadat tersebut.

Sementara itu, Shahanim yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa Puteri UMNO berkata, pihaknya berasa bangga atas keprihatinan SPCT membantu umat Islam yang ditimpa kesusahan di luar negara.

"Kita juga berbesar hati kerana mereka sanggup berkorban masa hampir dua minggu untuk menjayakan misi ini," katanya.

Pada majlis berkenaan, Shahanim turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 untuk disalurkan kepada Masjid Vientiane.

Full content generated by Get Full RSS.

Warga emas dapat rumah baru

Posted:

Warga emas dapat rumah baru

Warga emas dapat rumah baru

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my


Hamidah Osman meninjau keadaan rumah usang milik Mohd. Ramli Abdul Hamid (kanan) yang tinggal bersama dua anak lelakinya di Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh, Perak, kelmarin.


IPOH 3 Nov. - Keperitan hidup seorang warga emas yang terpaksa tinggal di sebuah rumah usang bersama anak kurang upaya (OKU) mendapat perhatian Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) yang berjanji untuk membina rumah baru demi keselesaan keluarga tersebut.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah Mohd. Ramli Abdul Hamid, 90, ketika berita baik itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman dan Ketua Eksekutif YBUDR, Datuk Zainal Abidin Omar yang melawat keluarga tersebut di Kampung Sungai Rapat semalam.

Mohd. Ramli yang pernah berkhidmat sebagai perterjemah selama dua tahun dengan akhbar Utusan Melayu di Singapura sekitar 1950-an, mendiami rumah itu bersama anaknya, Mohd. Rasul, 52, dan seorang anak angkat, Hashim Abdullah, 35.

"Rumah ini sudah lebih 100 tahun dan keadaan semakin usang dan tidak sesuai didiami memandangkan atap yang bocor manakala lantai pula banyak yang reput. Terima kasih banyak-banyak kepada Datuk Hamidah dan YBUDR atas bantuan bermakna ini.

"Selepas ini, kami tentunya dapat menjalani hidup lebih selesa di sini," katanya yang bertugas pada era bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Yusof Ishak.

Mohd. Ramli memberitahu, sebelum ini dia menyara hidup dengan bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, tinjauan yang dilakukan oleh pihaknya mendapati keluarga tersebut layak menerima bantuan tersebut.

"Saya diamanahkan oleh kerajaan negeri untuk memantau urusan pembaikan dan juga pembinaan rumah untuk golongan miskin.

"Keluarga ini layak menerima bantuan kerana rumah mereka begitu daif, banyak atap bocor, keadaan dinding yang berlubang serta lantai semakin reput dan tidak lagi selamat untuk diduduki," jelasnya.

Menurut beliau, YBUDR akan membina rumah sebuah bilik dengan peruntukan RM25,000 dan Hamidah bersetuju menghulurkan sumbangan tambahan RM30,000 untuk membina sebuah lagi bilik.

"Kami berharap dengan sumbangan rumah ini, Mohd. Ramli dan anaknya dapat hidup dalam keadaan yang lebih selesa dan terjamin keselamatan mereka," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved