Utusan Online - Johor |
Posted: Terbiar tidak seindah duluOleh MOHAMED SAARI KEADAAN hutan yang telah dibersihkan bagi tujuan pertanian oleh Orang Asli berhampiran Hutan Lipur Taka Melur, Labis. LABIS 3 Okt. - Dahulunya kawasan perkelahan Hutan Lipur Taka Melur yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Pekan Labis sentiasa hiruk-pikuk dengan suara pengunjung yang ingin bersantai, khususnya pada hujung minggu bersama keluarga. Ini kerana suasana yang redup dan tenang dengan aliran air jeram yang mendamaikan begitu mengasyikkan. Namun kini, suasana tersebut tinggal nostalgia kerana pusat perkelahan itu kini 'disisihkan' pengunjung suasana dan keadaannya tidak seperti dahulu. Kunjugan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati, berlaku banyak hakisan tebing di kawasan perkelahan itu, termasuk jambatan yang merentasi sebatang anak sungai terputus akibat kejadian banjir besar Januari lalu. Ekoran itu, ramai pengunjung terpaksa membatalkan hasrat mereka untuk berkelah di hutan lipur itu kerana bimbang meninggalkan kenderaan terlalu jauh dan ada yang tidak larat untuk berjalan kaki sejauh kira-kira 500 meter. Lebih menyedihkan, kerosakan itu tidak dibaiki hingga kini dan kawsan persekitaran seakan-akan tidak diselenggara serta perseikitarannya mulai ditumbuhi semak-samun. Selain itu, kolam tadahan air terjun yang dahulunya amat sesuai dijadikan tempat melakukan aktiviti berenang kini menjadi semakin kotor akibat dipenuhi pasir yang turun dari hulu sungai. Terdapat juga beberapa kesan tanah runtuh di lereng berbukit berhampiran tebing sungai yang menyebabkan air menjadi keruh sekiranya hujan berlaku. Keadaan itu juga dikhuatiri mendatangkan bahaya sekiranya kejadian tanah runtuh berlaku semasa pengunjung berkelah di kawasan berkenaan. Menjejaki antara punca pencemaran itu, mungkin ia ada kaitan dengan kegiatan pembersihan kawasan Hutan Simpan Kekal Labis seluas lebih 16 hektar di kawasan berhampiran. Ini kerana jarak kawasan hutan yang dibersihkan bagi tujuan pertanian yang ditanam dengan anak-anak pokok getah dan penempatan Orang Asli di kawasan tersebuty hanya lebih kurang 500 meter. Berdasarkan ketinggian anak-anak pokok getah yang telah mencapai dua meter, kegiatan membersihkan kawasan tersebut mungkin telah dilakukan sejak lebih setahun lalu. Sebelum keadaan menjadi semakin buruk dan menjejas teruk kawasan perkelahan Hutan Lipur Taka Melur itu, pihak yang berkaitan perlu mengambil langkah segera khususnya membersih dan menyelenggara kerosakan yang ada. Langkah seterusnya mengekang aktiviti pembersihan hutan berhampiran supaya tidak mencemarkan lokasi perkelahan itu agar terus menjadi tempat penduduk tempatan dan pengunjung luar beristirehat dan berkelah terutamanya pada hujung minggu. Full content generated by Get Full RSS. |
Baiki segera kerosakan, pulihara hutan lipur Posted: Baiki segera kerosakan, pulihara hutan lipurLABIS 3 Nov. - Penduduk setempat meminta pihak berkuasa tempatan membaiki kemudahan yang rosak dan mengambil tindakan segera menangani pencemaran di kawasan Hutan Lipur Taka Melur supaya ia menjadi tumpuan orang ramai beristirehat. Seorang penduduk Labis yang juga pengusaha sebuah klinik, Dr. Radzuan Yaakob, 49, berkata, beliau tidak lagi mengunjungi hutan lipur itu kerana keadaan kawasan tersebut yang terbiar membuatkannya bimbang mengenai keselamatan keluarga. "Saya berharap pihak berkuasa segera mengambil langkah proaktif yang dapat memulihkan semula keadaan dan suasana di Hutan Lipur Taka Melur kerana ia merupakan tempat menarik serta sesuai bagi mereka yang sukakan keindahan alam semula jadi," katanya. Sementara itu guru di Sekolah Kebangsaan Pekan Ayer Panas, Mohd. Fauzi Ahamad, 29, yang sering membawa keluarga berkelah di hutan lipur itu terkilan melihat keadaan tempat tersebut yang tidak diurus dengan baik. Ekoran keadaan hutan lipur itu yang kian suram dan tidak terurus, dia terpaksa membawa keluarga ke tempat yang lebih jauh untuk mengisi masa lapang hujung minggu seperti Air Terjun Bantang di Bekok. "Saya berharap pihak berwajib mengambil langkah segera untuk memulihkan keadaan hutan lipur itu seperti sedia kala supaya ia terus menjadi tumpuan penduduk setempat berehat bersama keluarga," katanya. Sulaiman Mahmed, 47, penduduk Kampung Tenang yang paling hampir dengan Hutan Lipur Taka Melur berharap persekitaran kawasan perkelahan itu dipulihkan segera supaya ia terus menjadi tumpuan orang ramai dan secara langsung memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat. "Saya berharap sesuatu dapat dilakukan pihak bertanggungjawab bagi memulihara kawasan tersebut yang merupakan satu anugerah Tuhan. Apabila kawasan itu dikunjungi orang ramai, ia secara tidak langsung memperkenalkan Kampung Tenang kepada pengunjung," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan