Utusan Online - Utara |
Posted: Pamer kecomelan kucingOleh SAFINA RAMLI Peminat kucing nombor satu (dari kanan), Nozliza Tahir, Farida Tahir serta Nurfatehah Johan menunjukkan kucing milik mereka ketika menyertai pertandingan Kucing Sihat berkenaan. ALOR SETAR 5 Okt. - Melihat kekejaman yang berlaku kepada haiwan kesayangan ramai iaitu kucing di salah sebuah pusat penjagaan kucing di Kuala Lumpur baru-baru ini, sudah pasti ramai pencinta haiwan itu mengalirkan air mata. Namun tidak semua manusia sekejam itu sehingga sanggup membiarkan haiwan comel itu mati dalam keadaan yang menyayat hati. Keluhuran hati para pencinta haiwan itu dapat dilihat pada pertandingan Kucing Sihat sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kedah. Seramai 50 pemilik kucing melibatkan pelbagai baka menyertai pertandingan itu dan mempamerkan kucing-kucing mereka yang dijaga rapi serta ditatang bagai minyak yang penuh. Seorang pemilik kucing, Faridah Tahir, 50, berkata, dia membawa lima ekor kucing Parsi berbulu panjang untuk menyertai acara itu yang pertama kali diadakan di bandar raya ini. "Saya membela 16 ekor kucing di rumah di Lorong Titi Siam di sini dan saya masuk pertandingan ini untuk menambah kenalan yang mempunyai hobi sama. "Melihat kucing-kucing lain yang dijaga rapi oleh pemiliknya, saya berasa sangat gembira kerana haiwan ini dijaga rapi dan disayangi," katanya ketika ditemui pada pertandingan itu di Alor Star Mall di sini baru-baru ini. Menurutnya, penjagaan 16 ekor kucing di rumahnya memerlukan kos yang tinggi, namun kerana minat mendalam terhadap haiwan itu, dia terpaksa mengetepikan soal kos demi memastikan kesemua kesayangannya itu dalam keadaan baik. "Saya adalah suri rumah sepenuh masa. Jadi apabila anak-anak keluar bekerja, kucing-kucing ini yang menjadi peneman di rumah. Kucing juga dapat membantu meredakan tekanan kerana ia seolah-olah faham dengan keadaan emosi tuannya," katanya. Siti Fatimah Abd., 50, pula berkata, dia mempunyai 13 ekor kucing di rumah dan pada pertandingan itu dia membawa seekor kucing baka flat nose. "Kucing ini sedikit unik kerana taring di bahagian bawah terkeluar dari mulut membuatkan ia kelihatan seolah-olah tersenyum. Keunikan inilah menyebabkan saya tertarik untuk memiliki kucing ini dan membelinya dengan harga yang agak mahal," jelasnya. Dalam pada itu Pengurus Vita Cat yang merupakan penganjur pertandingan itu, Sofia Ali berkata, program itu bertujuan memupuk kasih sayang antara manusia dan kucing. "Kami juga ingin menyemai rasa cintakan kucing di kalangan kanakkanak agar mereka lebih menghargai haiwan ini. Pertandingan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan kami bercadang meneruskannya pada masa depan," katanya. | ||
Ahli nasyid UNIC cemerlang pengajian Posted: Ahli nasyid UNIC cemerlang pengajianAbdullah Umayr Mohd. Yunus (kiri), Mohd. Fakkhrulradhi Khamarudin (kanan) dan Madihah Ahmad Fuad (tengah) menunjukkan pingat anugerah yang diperoleh mereka pada majlis Konvokesyen Ke-13 Kolej Universiti Insaniah di Alor Setar, semalam. ALOR SETAR 5 Okt. - Biarpun sibuk dengan aktiviti seni, ahli kumpulan nasyid UNIC, Mohd. Fakhrulradhi Khamaruddin berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang apabila menerima Anugerah Jaizah Imtiyaz Pengerusi Lembaga Pengarah pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) Ke-13 di sini hari ini. Mohd. Fakhrulradhi, 25, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin berkata, anugerah berkenaan merupakan hadiah buat ibu bapanya yang sentiasa menyokong beliau. "Memang jasa kedua ibu bapa kita tidak dapat balas, namun dengan anugerah yang saya terima hari ini, saya harap ia dapat menggembirakan hati mereka. "Saya mula menganggotai kumpulan nasyid UNIC pada 2008 dan selepas tamat pengajian saya akan tetap meneruskan aktiviti seni bersama kumpulan itu," katanya selepas majlis yang diadakan di Dewan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di sini. Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah selaku Canselor Kolej Universiti Insaniah berkenan menyampaikan ijazah kehormat, ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma kepada 738 penerima hari ini. Mendahului senarai penerima anugerah ialah Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Komuniti). Mohd. Fakhrulradhi yang juga Juara Akademi Al-Quran TV9 musim ketiga berkata, memang sukar untuk membahagikan masa untuk belajar dan aktiviti seni, namun dengan pengurusan masa yang betul perkara itu menjadi mudah untuk dilakukan. "Kita kena letak pelajaran sebagai perkara utama dan saya habiskan pengajian terlebih dahulu barulah saya teruskan dengan bidang seni. "Saya juga telah merakamkan sebuah album bertajuk Juzuk Amma Bertaranum' untuk membolehkan orang ramai mengetahui dengan lebih lanjut ilmu taranum," ujarnya. Seorang lagi graduan cemerlang, Abdullah Umayr Mohd. Yunus, 24, yang menerima Anugerah Jaizah Imtiyaz Tuanku Canselor berkata, dia tidak mempunyai sebarang rahsia ketika menuntut ilmu, namun yang penting ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika di dalam kelas. "Saya hanya mengulang kaji dua jam setiap hari dan tumpukan sepenuh perhatian ketika pensyarah sedang mengajar di kelas. Selain itu, setiap penuntut juga perlu merapatkan hubungan dengan Allah dan sering berzikir untuk menenangkan hati," jelasnya. | ||
Tunai haji selepas 10 tahun kumpul wang Posted: Tunai haji selepas 10 tahun kumpul wang
GEORGETOWN 5 Okt. - Seorang tukang masak, Rohmah Husin yang menyimpan wang gajinya sejak 10 tahun lepas bersyukur kerana akhirnya dapat menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Rohmah, 63, berasal dari Yan, Kedah yang berkerusi roda kerana tidak boleh berjalan ekoran kakinya bengkak dan sakit jantung berlepas ke tanah suci bersama anaknya, Ahmad Muslim Mustafa, 38. "Sudah lama makcik mengumpul wang dan tunggu untuk tunaikan haji, bila tahun ini dapat pergi tak tau nak cakap apa... sangat gembira. "Makcik harap diberikan kesihatan yang baik agar dapat mengerjakan haji dengan sempurna di sana nanti," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Meraikan Keberangkatan 447 Jemaah Kumpulan Pertama Haji Stesen Bayan Lepas di sini, hari ini. Majlis itu dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Sharif serta Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air, Ahmad Ruzman Ahmad Rozali. Penerbangan membawa jemaah haji ke tanah suci Mekah mula beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, hari ini. Beliau berkata, penerbangan dari LTAPP melibatkan 3,576 jemaah haji zon utara iaitu dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. "Penerbangan yang membawa 447 jemaah itu menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia dengan penerbangan terus ke Madinah atau Jeddah. "Penerbangan terakhir dari Pulau Pinang pada 19 Oktober ini," katanya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan