Khamis, 6 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Rumah mampu milik impian semua

Posted:

Rumah mampu milik impian semua

Rumah mampu milik impian semua

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

IBU pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Parcel C, Putrajaya yang hening saban hari, mengalami sedikit kejutan minggu ini.

Tidak pernah-pernah sebegini. Isnin lalu, 80 orang 'menyerbu' pejabat berkenaan untuk mendaftar diri sebagai pemilih. Sebahagian besarnya pula mahu menukar alamat tempat tinggal.

Semua ini gara-gara Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang menetapkan syarat baru yang perlu dipenuhi pemohon untuk menduduki rumah mampu milik di situ, mereka mestilah pengundi berdaftar di Pusat Pentadbiran Persekutuan tersebut.

Untuk fasa pertama PR1MA sahaja, sejumlah 560 unit pangsapuri akan dijual di Presint 11 dengan cabutannya akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pada Sabtu depan (15 Oktober).

Maka tidak hairanlah, dari 80 orang yang berkunjung ke SPR Isnin lalu, angkanya bertambah kepada 125 pada Selasa, Rabu (130 orang) dan setakat petang semalam mencapai 200 orang. Demikianlah penangan keinginan yang teramat untuk memiliki rumah di Putrajaya sampaikan 'tidak menang tanganlah' kakitangan SPR.

Hakikatnya, itulah isu yang dihadapi penghuni di Putrajaya. Masalah perumahan adalah yang paling dikisahkan oleh kumpulan sokongan termasuk kerani dan 'ofis boy'. Harga rumah yang ditawarkan dalam skim PR1MA ini pun tidak mahal -antara RM120,000 hingga RM150,000.

Sememangnya elok sangatlah syarat terbaru sebagai pengundi yang disahkan oleh SPR di Putrajaya dimasukkan dalam syarat-syarat dalam skim PR1MA ini. Kalau dirisik-risik balik hampir 90 peratus yang menghuni rumah mampu milik di Presint 9 dan Presint 11 sedia ada bukanlah yang bekerja di Putrajaya pun.

Di pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9 sahaja, hanya 100 daripada 1,200 pintu yang penghuninya menjadi pengundi berdaftar untuk Parlimen Putrajaya. Itu belum lagi kalau disemak di Putra Damai, Presint 11.

Sedangkan sistem demokrasi di Malaysia berpandukan kepada amalan memilih wakil rakyat yang mewakili kawasan mereka untuk menjadi suara mereka di Parlimen. Ia tidak seperti mana di negara lain seperti Indonesia yang memilih perwakilan mengikut parti.

Langkah PR1MA menetapkan syarat terbaru itu selain pendapatan isi rumah kasar tidak melebihi RM6,000 sebulan dialu-alukan oleh SPR. Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberitahu penulis, tidak kiralah apa tujuan dan matlamatnya, asalkan ia dapat menggalakkan orang mendaftar sebagai pengundi.

Lagipun sehingga 30 Jun lalu, yakni suku kedua tahun ini, jumlah pengundi berdaftar di Putrajaya hanyalah 9,327 orang. Yang belum berdaftar pula sekitar 47.9 peratus atau 8,583 orang. Dan jika dibandingkan dengan jumlah penjawat awam di Putrajaya setakat Julai lalu yang berjumlah 69,910 orang tidak termasuk anggota polis dan tentera, memang jelas tidak seimbang.

Bagi Wan Ahmad, SPR tidak mahu lagi melihat apabila tiba hari mengundi, mereka yang tinggal di Putrajaya, ambil cuti berduyun-duyun untuk pulang ke kampung membuang undi.

Kalau mengikut rekodpun, terdapat 3.7 juta orang yang layak mendaftar (capai usia 21 tahun) masih gagal berbuat demikian. Statistik terkini menunjukkan 6.4 juta pengundi adalah orang Melayu, Cina (3.7 juta), India (882,000), bumiputera Sabah (574,000), bumiputera Sarawak (492,000) dan Orang Asli (69,000).

Cuma berbalik kepada komitmen PR1MA tadi untuk memudahkan golongan tidak berkemampuan memiliki rumah, sudah terdengar pula cakap-cakap yang kurang enak didengar. Antaranya, muncul dakwaan ia bertujuan memenangkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang ini. Walhal, kalau hendak dinilai dari segi sumbangan dan komitmen Ahli Parlimen sedia ada kepada pengundi memang agak sukar dipertikaikan.

Pergilah ke mana-mana surau dan masjid di Putrajaya, kariahnya pasti akur akan kenyataan ini. Surau-surau dijaga kebajikannya, penghuni atau pemastautin yang menghadapi 'poket kosong' di hujung bulan, akan singgah di Pusat Khidmat Ahli Parlimen di Presint 15 (Diplomatik) untuk mengadu masalah kewangan. Sehinggakan hendak mendaftarkan anak masuk universiti pun, dihulurkan sedikit sedekah oleh wakil rakyatnya. Itu belum termasuk hal-hal kebajikan lain - penyediaan van jenazah dan alat kelengkapan pengkebumian yang berkotak-kotak tersedia di pusat khidmat tersebut.

Dan jika timbul tanggapan dangkal tujuan PR1MA untuk memenangkan wakil rakyat kerajaan, hakikat sebenar dalam ruang pangkah undi siapa yang tahu. Hanya diri individu itu sendiri untuk membuat pilihan yang bijaksana.

Namun, jika individu itu memang pengundi tegar Pas, pasti yang pegangannya 'sapu sahaja apa yang diberikan kerajaan, mengundi nanti cerita lain'. Istilah berterima kasih dalam budaya orang Melayu dan tuntutan agama tidak ada langsung.

Apa pun, titik besar persoalan dalam komitmen PR1MA ini ialah bagaimanakah cara/kaedah cabutan untuk memilih pemohon yang layak menduduki rumah mampu milik ini nanti. Adakah tapisan kedua selepas nama yang layak hasil cabutan didapati bukan pengundi yang disahkan.

Untuk memastikan pemohon itu benar-benar tulen dan memang sepatutnya ia layak, seelok-eloknya keutamaan diberikan kepada pemohon yang sudah pun mengundi pada kali pertama Putrajaya dipertandingkan kerusi Parlimen pada 2004. Atau setakat pendaftaran pengundi yang disahkan pada suku kedua tahun ini (sehingga 30 Jun).

Ia penting buat peringkat awal ini bagi mengelakkan sentimen bertukar alamat bermastautin atau mendaftar pengundi baru tidak dipengaruhi sesuatu.

Dan kalau pun individu itu baru semalam melakukan salah satu dari dua perkara tadi, namanya hanya akan tersenarai dalam daftar pemilih yang disahkan SPR pada hujung Februari 2012. Ini setelah dilalui proses penyediaan rang daftar pemilih, pameran dan bantahan. Semua ini penting diberi perhatian bagi mengelakkan timbul rasa tidak puas hati termasuk kemungkinan satu alamat didaftarkan sehingga 200 nama.

Lagi pun, masih banyak fasa PR1MA akan menyusul selepas ini. Antara yang terdekat melibatkan pembinaan 1,320 unit di Bandar Tun Razak, Cheras yang jangkaan projek seluas 10 ekar itu bermula pada suku keempat tahun ini. Menyusul selepas itu di Cyberjaya, Bandar Ainsdale, Seremban; Putra Heights, Subang Jaya; Presint 17 Presint 11-2, Presint 5 dan Presint 19, Putrajaya, beberapa lagi sehinggalah yang terakhir di Sungai Besi.

Topik PR1MA dijangka disentuh oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2012 petang ini di Parlimen. Dipercayai, beliau akan membuat ulasan lanjut tentang konsep dan manfaat skim perumahan ini.

Yang pasti, ia akan dilaksanakan dengan lebih berdaya maju menerusi kerjasama pihak swasta dan kerajaan. Kerajaan akan bertanggungjawab menyediakan tapak pembinaan manakala pihak akan melaksanakan projek-projek ini berdasarkan industrial building system.

Dan dipercayai juga petang ini Najib akan menekankan betapa pentingnya dikekang 'hanky panky' dalam proses cabutan untuk pemohon yang selayaknya memperoleh rumah mampu milik PR1MA ini.

Menangani kenaikan kos sara hidup

Posted:

Menangani kenaikan kos sara hidup

Menangani kenaikan kos sara hidup

Oleh NUR SYAHIDAH ABDUL JALIL
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

PEMBENTANGAN Belanjawan 2012 hari ini sememangnya dinantikan rakyat terutama bagi yang mengikuti perkembangan dan usul-usul yang dicadangkan banyak pihak dengan harapan akan diberi perhatian oleh kerajaan.

Aspek pertumbuhan ekonomi sememangnya diberi perhatian dalam setiap belanjawan. Namun, kita mengharapkan sesuatu lebih jauh mengenai pembangunan masyarakat sementelah kerajaan mengumumkan pada Julai lalu bahawa kos sara hidup akan dijadikan petunjuk yang ketujuh dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Lazimnya, kita terarah untuk melihat kos sara hidup ini dalam lingkungan yang berpendapatan rendah dan mengaitkan dengan corak perbelanjaan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan semasa. Sedangkan perihal kos sara hidup bukanlah satu-satunya perkara mengenai peningkatan gaji dan upah kepada sektor atau jawatan tertentu, begitu juga penetapan mengenai gaji minimum dalam sesebuah sektor.

Indikator kos sara hidup sebenarnya turut menceritakan kepada kita perihal keadaan pembangunan masyarakat setempat yang hidup dalam lingkungan sesuatu kos yang terpaksa digunakan dan pilihan yang mereka ada pada setiap tempoh demi kelangsungan hidup.

Masyarakat Malaysia yang bekerja pada hari ini adalah terdiri daripada kira-kira 80% mereka yang mendapat pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja ataupun dengan andaian yang lain ialah mereka menggunakan sijil ini bagi mendapatkan pekerjaan.

Dengan keadaan demikian, maka kita menjangkakan ramai golongan ini terdiri daripada mereka yang menerima gaji dan upah yang rendah pada peringkat permulaan. Maka tidak hairanlah 40% isi rumah termiskin hanya memperoleh hampir satu per tujuh daripada kumpulan 20% isi rumah terkaya yang mencecah RM 9,987 sebulan pada 2009.

Dari situasi ini, kita dapat menyimpulkan ramai memilih untuk bekerja pada usia lebih muda dan dengan tahap pendidikan minimum atas sebab-sebab tertentu. Penghijrahan ke kota besar menjadi tarikan selepas persekolahan manakala pendidikan tinggi tidak menjadi keutamaan.

Walaupun terdapat banyak dasar kerajaan yang membantu terutama kepada golongan kurang berkemampuan mendapat pendidikan hingga pada tahap minimum (SPM), hakikat ini nampaknya tidak lagi sesuai diteruskan memandangkan negara ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Maka penekanan kepada tahap pendidikan dan kemahiran yang lebih tinggi harus ditambah dan diberi perhatian dalam dasar-dasar pendidikan kerajaan sedia ada.

Matlamat pendidikan, kemahiran juga bantuan pendidikan disediakan perlu disampaikan kepada ibu bapa terutama yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah dan memiliki tahap pendidikan rendah untuk tidak menggalakkan anak-anak meninggalkan pelajaran pada peringkat selesai peperiksaan utama.

Jika perkara ini tidak dilakukan, kita akan melihat kitaran rakyat yang bekerja menggunakan SPM ini akan berlanjutan selama bertahun-tahun akan datang dengan upah yang rendah.

Usia muda bersama upah dan kemahiran yang rendah tidak menggalakkan aktiviti perbelanjaan yang sihat. Pembelian hanya dapat dilakukan kepada jenis barangan tertentu dan tidak meluas. Begitu juga dengan aspek pelaburan dan simpanan hanya dapat dilakukan dengan terhad dan kadang-kala tiada langsung.

Terdorong dengan aliran semasa, generasi muda akan mengunakan kemudahan tertentu seperti pembelian secara kredit bagi memenuhi keperluan dan bukan lagi hanya keinginan dan kehendak seperti yang sering perkatakan. Maka lahirlah semakin ramai 'jutawan hutang' dalam era menuju wawasan 2020 kelak.

Masalah ini seterusnya membawa kepada kesukaran kepada pihak pemerintah untuk memperkenalkan perubahan dalam aspek pentadbiran ekonomi negara kerana secara tidak langsung akan memberi kesan yang besar kepada golongan yang menerima pendapatan rendah ini.

Rakyat yang terkesan sudah pasti akan menuntut agar tiada beban dikenakan terhadap mereka lantaran kos sara hidup semakin meningkat dengan gaji yang diterima masih lagi rendah, akhirnya membawa kepada cadangan penetapan gaji minimum.

Walaupun disambut baik oleh ramai pihak, penetapan gaji minimum tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya cara bagi menangani masalah peningkatan kos sara hidup.

Sebaliknya, kita memerlukan pelan jangka panjang mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan pendidikan pekerja dan kesediaan majikan memberi upah setimpal dengan kemahiran dan tidak mencari jalan lain seperti menggunakan buruh asing bagi mendapatkan kos paling murah.

Penetapan gaji minimum dengan disertai tahap pendidikan dan kemahiran yang tidak setara dikhuatiri memberi kesan buruk kepada ekonomi begitu juga kepada golongan berpendapatan sederhana yang selama ini tersepit di celah mereka yang begitu tinggi gajinya dengan golongan berpendapatan rendah yang menerima upah hampir dengan mereka.

Bezanya, golongan sederhana ini memiliki sedikit kelebihan dari sudut taraf pendidikan dan kemahiran berbanding dengan golongan berpendapatan rendah.

Kecelaruan sistem ekonomi begini tidak akan memberikan kesan baik kepada masyarakat pada masa akan datang. Malah dikhuatiri semakin ramai anak-anak muda memilih untuk meninggalkan peluang menyambung pendidikan di tahap lebih tinggi disebabkan tawaran penetapan gaji minimum ini.

Sinonimnya golongan miskin atau kurang berkemampuan ini dengan upah yang rendah membawa kita kepada hakikat sesuatu perlu dilakukan bagi membantu mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat. Kekurangan dari segi material ini tidak hanya memberi kesan kepada aspek ekonomi namun turut memberi kesan spiritual kepada mereka yang mengalaminya.

Maka tidak hairanlah jika kita melihat banyak permasalahan sosial dialami oleh masyarakat ini dan mudahnya mereka dimanipulasi dan diambil kesempatan walaupun melibatkan soal akidah disebabkan masalah ini.

Negara berpendapatan tinggi adalah juga negara yang mempunyai rakyat dan pekerja yang berkemahiran tinggi. Justeru, penekanan kepada tahap pendidikan dan kemahiran lebih tinggi adalah cara yang tepat bagi mengatasi masalah kos sara hidup yang semakin meningkat.

Jika tidak, kita akan terus melihat 20% kumpulan isi rumah terkaya mengalami pertumbuhan pendapatan yang menggalakkan manakala 40% kumpulan isi rumah termiskin yang terdiri sebahagiannya dari 80% jumlah pekerja berkelulusan SPM ini terus mengalami pertumbuhan pendapatan yang perlahan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved