Utusan Online - Politik |
Kerajaan Pas Kelantan dikritik Posted: Kerajaan Pas Kelantan dikritikKUALA LUMPUR 6 Okt. - Kerajaan Pas Kelantan dikritik kerana pelaksanaan Rang Undang-Undang Negeri Kelantan 1993 didakwa mengetepikan aspek holistik al-Quran. Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Lanjutan Islam (IAIS), Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali berkata, kitab suci tersebut sebenarnya turut menekankan setiap pelaku jenayah masih diberikan ruang untuk bertaubat. Malah katanya, tiga daripada enam hukuman hudud yang terkandung dalam rang undang-undang itu juga seharusnya tidak tersenarai dalam hukum hudud negeri itu iaitu membabitkan kesalahan minum arak, murtad dan pemberontakan. "Kritikan saya ini bersandarkan ketetapan mereka yang merujuk kitab Fikah tanpa mengaplikasikan elemen ijtihad kepada ketiga-tiga hukum berkenaan," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam rancangan Lets Talks yang disiarkan oleh The Malaysian Observer ketika diwawancara oleh peguam, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos. Dalam pada itu, katanya, Kanun Keseksaan yang diaplikasikan undang-undang Malaysia merupakan undang-undang takzir dan ia masih dalam lingkungan siasah syariah. Katanya, ini kerana ia konsisten dengan prinsip-prinsip Islam iaitu mewujudkan keadilan serta undang-undang itu telah diluluskan Parlimen sebagai pembuat dasar. "Justeru, hukum hudud tidak seharusnya dipolitikkan kerana untuk menguasainya mereka perlu memahami al-Quran dan takrifannya kerana Islam merupakan agama yang memaafkan dan rahmat kepada seluruh umat," katanya. Sementara itu, Mohammad Hashim berkata, hukum hudud tidak termasuk dalam elemen akidah umat Islam kerana akidah umat Islam adalah berdiri dengan Rukun Islam dan Iman. |
Ketua Hakim Syarie tegur kerajaan Pas Kelantan tidak pernah serius laksana hudud Posted: Ketua Hakim Syarie tegur kerajaan Pas Kelantan tidak pernah serius laksana hududKOTA BHARU 6 Okt. - Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad menegur kerajaan Pas Kelantan kerana tidak pernah serius memberi penerangan kepada masyarakat mengenai hukum hudud sekalipun sudah meluluskan peruntukannya hampir 20 tahun lalu. Daud berkata, kempen dan pendidikan berterusan kepada rakyat mengenai hudud sepatutnya dilakukan tanpa henti sejak Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan diluluskan pada tahun 1993 lagi. Beliau berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya hanya lantang bercakap mengenainya pada waktu-waktu tertentu sahaja kerana ia boleh menimbulkan keraguan niat sebenar kerajaan dalam melaksanakan hudud. "Kerajaan mungkin mengambil masa pada peringkat awal. Namun supaya benda ini tidak berlaku pertikaian atau pertentangan, eloklah beri penerangan dan penjelasan, tapi ini pun satu hal kerana dari 1993 sampai sekarang kita tidak dakwah betul-betul pun pasal hudud ini, tidak ada. "Padahal kita boleh dakwah dengan pelbagai cara, dengan risalah dan macam-macam. Pegawai dakwah kita ramai, ia sepatutnya berterusan, jangan hanya tunggu masa-masa tertentu sahaja, orang akan pandang lain pula," katanya semasa menjadi ahli panel Wacana Pelaksanaan Hudud di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini. Program wacana khusus kepada pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan itu turut dibarisi pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Mohamed Daud. Daud yang merupakan salah seorang yang terbabit dalam merangka Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan juga berkata, kerajaan negeri sepatutnya tidak takut untuk melaksanakan hukum hudud sekalipun mendapat tentangan dan ugutan daripada banyak pihak. Beliau berkata, kerajaan negeri seharusnya berani melaksanakan hukum yang mereka sendiri luluskan dan tidak membiarkan batasan bidang kuasa dalam Akta Mahkamah Syariah 1965 (pindaan 1985) dan lain-lain akta sebagai halangan. Daud berpandangan, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak yang jelas kepada setiap warganegara mengamalkan agama masing-masing termasuk masyarakat Islam yang mahu mengamalkan hudud dan sebarang undang-undang yang menyekat kebebasan ini sebenarnya yang patut dipertikai. "Perkara 11 memberikan kebebasan mengamalkan agama, kenapa kita nak takut, kita nak amalkan agama kita, kita nak laksana, tanggungjawab ini tertanggung kepada kerajaan yang akan ditanya Allah di akhirat nanti kenapa luluskan enakmen tetapi tidak laksana," katanya. Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub ketika ditemui selepas program berkata, kerajaan negeri akur dengan saranan yang diberi dan akan mula mengambil langkah lebih serius ke arah pelaksanaan hukum hudud. Katanya, ini termasuklah menubuhkan dua mahkamah baru iaitu Mahkamah Bicara Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas yang akan menjadi tempat kes berkaitan kesalahan hudud dibicarakan. "Selama ini, kita fikirkan akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan tetapi dari perbincangan wacana tadi nampaknya tidak banyak halangan untuk kita laksanakan hudud. "Kami akan maklumkan tindakan selanjutnya secara terperinci selepas selesai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan