Utusan Online - Sukan |
Posted: Regu muda laung amaranOleh ABDUL HAFIZ AHMAD SHAH ALAM - 'Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa'. Itu amaran Sekolah Menengah Seksyen 11 Shah Alam kepada pencabarnya terutama dalam kategori Institusi Pengajian Tinggi/Bawah 19 Peringkat Antara Zon Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 di sini, 14 Oktober ini. Biarpun regu tunggalnya bagi kategori itu membariskan pemain sekitar 16 hingga 17 tahun, perasaan gentar tidak wujud di dada mereka apabila mungkin berdepan pencabar lebih dewasa seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pelapis Kelantan dan Politeknik Kota Bharu. Anak buah Mohd. Jefry Abd. Manap ini sudah yakin dan cukup bersedia untuk mengharunginya selepas memecahkan penguasaan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan mencipta kejutan dengan menyambar tempat ketiga bersama Zon Selatan KFC-Utusan di Pasir Gudang, Johor, 19 Jun lalu. Malah pengalaman beraksi pada KFC-Utusan tahun lalu dalam kategori Bawah 18 Tahun selain menjuarai kejohanan peringkat umur Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) 2009-2011, diyakini mampu mematangkan SMK Seksyen 11 Shah Alam yang juga Sekolah Projek Sepak Takraw Negeri Selangor ini. "Kami sasarkan regu tunggal IPT ini untuk mara sejauh mungkin dalam Peringkat Antara Zon KFC-Utusan dan kedua-dua regu (naib juara Selatan dan ketiga Tengah) mampu meraih kejuaraan kategori Bawah 15 Tahun kejohanan. "Tahun lalu, dua daripada pemain kami, Noornikman Mahusin dan Ibrahim Kamaruddin sempat ke pusingan kedua Bawah 18 Tahun KFC-Utusan. Kali ini dengan pengalaman itu serta dalam beberapa pertandingan MSSM, kami yakin mereka memiliki ciri-ciri untuk bergelar juara kali ini. "Latihan tiga kali seminggu (Isnin, Selasa dan Khamis) dijalankan melibatkan kesemua 15 pemain (tiga regu) bagi menghadapi KFC-Utusan dan salah satu kejayaan mengejutkan kami ialah bergelar naib juara B15 Zon Selatan walaupun hanya dengan menghantar regu pilihan kedua," katanya pada sesi latihan di sekolah berkenaan di sini, semalam. Tahun lalu, SMK Seksyen 11 Shah Alam turut meraih tempat ketiga B18 KFC-Utusan dengan menewaskan sebuah sekolah dari Terengganu dan setelah disekat Malaysia Muda (skuad pelapis kebangsaan) yang memiliki dua pemain bekas pelajarnya, pada separuh akhir di Damansara, Petaling Jaya. "Pemain regu tempat ketiga itu sudah tidak bersama sekolah ini lagi tetapi regu IPT/B19 kami kali ini tidak kurang hebatnya apabila mempertaruhkan dua pemain apit yang mampu bertindak sebagai pelibas kembar malah mengamalkan dua gaya libasan secara konsisten, gulung dan kalih," katanya. |
Skuad Sukan SEA benam Selangor 4-2 Posted: Skuad Sukan SEA benam Selangor 4-2Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN PETALING JAYA - Biarpun kehilangan 10 pemain utama, skuad bola sepak Sukan SEA sukar dijinakkan apabila mengalahkan Selangor 4-2 pada perlawanan persahabatan di Wisma FAM, semalam. Mendahului 2-0 pada separuh masa pertama melalui D. Saarvindran pada minit ke-10 dan penalti A. Thamil Arasu minit ke-40, skuad gabungan Harimau Muda dan beberapa pemain dari skuad Liga Super, cemas seketika apabila Selangor merapatkan jurang pada minit ke-59 menerusi Azidan Sarudin. Namun, pertahanan Selangor ternyata rapuh pada separuh masa kedua walaupun menurunkan pemain import yang sedang diuji dari Korea Selatan, Hwang Myo Kyu apabila bolos dua kali dalam masa dua minit. Jaringan ketiga dilakukan oleh pemain Kuala Lumpur, See Kok Luen pada minit ke-79 sebelum seorang lagi pemain skuad warga kota, Ahmad Hazwan Bakri meletakkan skuad Sukan SEA bimbingan Ong Kim Swee bertambah selesa selepas mudah menyempurnakan hantaran Ahmad Fakri Saarani seminit kemudian. K. Depan Sakwati menjadi penyumbang gol kedua Selangor menerusi sepakan penalti pada minit ke-82, namun ia sudah terlambat buat Red Giants bangkit. Kemenangan itu cukup membuatkan pengendalinya, Kim Swee gembira sambil menyifatkan keserasian antara para pemain bertambah baik selepas enam hari berlatih bersama. "Sudah lama kita tidak menjaringkan empat gol dalam sesuatu perlawanan. Saya harap momentum ini dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya. "Prestasi Ahmad Fakri yang saya letakkan pada bahagian tengah cukup baik memandangkan saya kekurangan pemain di posisi itu kerana menyertai skuad kebangsaan dan berada di FC ViOn," katanya selepas perlawanan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan