Khamis, 6 Oktober 2011

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Dunia baru Irma, Diana dan Nana

Posted:

Dunia baru Irma, Diana dan Nana

Dunia baru Irma, Diana dan Nana

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
Aida.kamaruddin@utusan.com.my
Gambar Zakaria Idris



Isu artis wanita pakai tudung di negara ini bukanlah satu perkara baru namun apabila ia berlaku secara serentak, pelbagai pihak meragui niat sebenar golongan itu.

Irma Hasmie Ibrahim, Siti Nordiana dan Diana Amir merupakan antara tiga lagi artis wanita yang telah melakukan penghijrahan besar dalam hidup mereka.

Bagi ketiga-tiga wanita ini, langkah untuk mengambil keputusan sebesar ini sebenarnya banyak menyedarkan mereka tentang erti kehidupan yang selama ini dicari.

Irma cari calon suami

BUKAN lagi rahsia apabila hubungan cinta yang pernah terjalin di antara Irma Hasmie dengan Nabil Raja Lawak terputus di tengah jalan.

Minggu lepas, bekas kekasih Irma itu telah menamatkan zaman bujangnya dan mata kini kembali tertumpu kepadanya.

Bagi Irma, 29, dia menyerahkan soal jodoh di tangan Tuhan kerana dia percaya walau sehebat manapun manusia di muka bumi ini tiada siapa yang mampu menentukan nasib sendiri.

"Saya akan terus berdoa agar ditemukan dengan seorang lelaki yang mampu menjadi suami. Jika benar saya telah menemui lelaki yang sesuai, saya akan pastikan kami bercinta selepas berkahwin kerana saya tidak lagi mahu mencari kekasih tetapi mencari calon suami," kata pelakon drama Kasih Alia yang pernah disiarkan di TV3.

Menyentuh tentang pernikahan bekas kekasihnya itu, tidak banyak yang mahu diulas oleh pelakon filem Cinta Fotokopi (2005) ini.

Menurutnya, apa yang penting Nabil kini sudah pun menemui sinar kebahagiaannya.

"Saya ucapkan tahniah kepada Nabil yang kini sudahpun bergelar suami. Semoga perkahwinan mereka sentiasa dilimpahi rahmat agar ia lebih diberkati, insya-Allah," katanya sambil tersenyum.

Memakai tudung pada usia bakal menjengah 30, kata pengacara program Solehan ini, tiada istilah sudah terlambat buat dirinya kerana apa yang lebih penting, dia berjaya merealisasikan impiannya.

"Cepat atau lambat bukan satu persoalan besar kerana setiap perbuatan manusia itu perlu mendapat keredaan Allah.

"Niat untuk bertudung sudah lama terpendam di lubuk hati saya namun baru kini saya berani untuk meneruskan niat itu," katanya.

Kematian petunjuk jelas buat Nana

KEMATIAN bekas suami pelakon Faizal Yusof serta rakan baiknya Achik Spin banyak menyumbang kepada keputusan yang diambilnya untuk bertudung.

Bagi Siti Nordiana atau mesra dengan panggilan Nana, perubahan penampilannya ini diharap mampu membawanya ke jalan yang lebih baik.

"Kematian arwah Faizal dan Achik banyak membuat saya berfikir mengenai tujuan sebenar hidup saya selama ini.

"Alhamdulillah dengan izin Allah, saya mampu membuat keputusan sebesar ini walaupun pada mulanya agak keliru ," kata pelantun lagu Gurauan Berkasih.

Bergelar seorang ibu tunggal di usia yang muda, Nana memberitahu, keputusan bertudung ini diambil apabila dia mula berjinak-jinak untuk mendalami ilmu agama dengan lebih mendalam.

"Saya tertarik untuk membaca banyak buku-buku agama serta menonton beberapa program berbentuk ilmiah di televisyen dari situ saya mula memahami tugas sebenar seorang wanita di bumi Allah ini.

"Saya tahu setiap manusia itu tidak akan lari daripada membuat kesilapan dan jika ini merupakan titik perubahan dalam diri saya untuk menjadi yang lebih baik, saya akan meneruskannya," katanya.

Nana yang sedang giat mempromosikan single terbaru berjudul Semakin Jelas ciptaan Azlan Abu Hassan menyandarkan satu harapan tinggi kepada peminat agar terus menyokong diri dan kariernya.

"Saya berharap peminat akan terus memberi peluang kepada saya untuk berada lama dalam industri hiburan tanah air.

"Selain menyampaikan lagu berkonsep pop, jika diberi peluang untuk menyampaikan lagu-lagu berunsur dakwah, sudah pastinya saya akan mencubanya.

"Namun untuk mengubah konsep lagu yang saya bawa selama ini kepada konsep nasyid, itu mungkin belum sampai masanya lagi," katanya

Setelah dua tahun menyendiri, Nana kini akui dia sedang mengenali seseorang.

Walaupun tidak mahu menjelaskannya dengan lebih mendalam mengenai kisah cinta barunya ini, namun jelas terpapar keceriaan di wajah ibu muda ini.

"Cukuplah jika saya katakan saya masih mahu mengenalinya dan apa yang lebih penting dia masih bujang dan bukan milik sesiapa," katanya.

Diana masih belajar

BELUM sampai sebulan pelakon filem 3,2,1 Cinta Diana Amir memakai tudung, hati kecilnya tidak pernah was-was tentang keputusan yang diambilnya itu.

Bahkan Diana akui, hatinya memberitahu bahawa keputusan yang diambilnya itu adalah yang terbaik baginya.

Percaya perubahan yang dilakukan akan mencetuskan pelbagai persoalan kepada peminatnya, Diana berkata, apa yang dilakukannya adalah atas kerelaan hati.

"Memakai tudung dituntut di sisi agama kita. Sejak dahulu lagi, keluarga terutamanya ayah mahu saya memakai tudung.

"Selepas memenuhi satu fasa dalam kehidupan saya, ia tidak berhenti setakat itu sahaja sebaliknya saya ingin memantapkan lagi pengetahuan tentang Islam.

"Bagi saya, untuk berhadapan dengan dunia yang semakin mencabar, agama adalah tiang kita dan itulah yang saya pegang hari ini," kata pelakon filem Aku Masih Dara.

Menyedari pengetahuan tentang agama masih cetek, Diana bersyukur kerana diberikan hidayah untuk belajar.

Justeru, katanya, bagi mendalami pengetahuan tentang agama, dia mendapat bimbingan daripada keluarga angkatnya yang berada di Shah Alam, Selangor.

"Banyak yang saya belajar daripada mereka. Saya bersyukur kerana kelemahan pengetahuan tentang Islam yang saya hadapi suatu ketika dahulu akhirnya terisi dengan bimbingan keluarga angkat.

"Hari ini, apa yang peminat lihat mengenai diri saya adalah perubahan yang saya alami dan saya harap peminat semua dapat menerimanya," pinta Diana bersungguh-sungguh.

Berubah ke arah menjadi seorang insan yang lebih baik merupakan doa yang Diana mohon kepada Allah setiap hari.

Ini kerana, ujarnya, sebarang perubahan ke arah kebaikan yang cuba dilakukan oleh seseorang itu pasti ada cabarannya.

Justeru, mengenali Diana sebelum ini sebagai seorang artis yang agak berani dalam berpakaian, tidakkah dia rasa janggal dengan perubahan berpakaian?

"Ternyata pemakaian saya kini banyak membataskan aktiviti saya tetapi saya lega dengan perubahan yang dilakukan.

"Terimalah perubahan saya ini dengan doa semua peminat kerana niat saya adalah untuk menuju ke jalan kebaikan," katanya yang tetap mahu bergiat dalam dunia hiburan kerana percaya rezeki itu datangnya daripada Allah SWT.

Cabaran Megan, Naqib di

Posted:

Cabaran Megan, Naqib di <i>8TV</i> <i>Quickie</i>

Cabaran Megan, Naqib di 8TV Quickie

Oleh ABD. AZIZ ITAR
(Yang mengikuti pelayaran Star Cruise Libra bersama 8TV ke Krabi dan Phuket, Thailand baru-baru ini)
Gambar SYEFRY MONIZ


BIARPUN masih baru dalam bidang pengacaraan tetapi Megan dan Naqib semakin yakin apabila berada di depan kamera.


RANCANGAN Quickie yang disiarkan di saluran 8TV merupakan rancangan pendek dengan durasi antara satu minit hingga 15 minit yang disiarkan pada pukul 9.30 malam, 10.30 malam dan 11.30 malam setiap hari.

Biarpun durasinya pendek, tetapi dua pengacara yang mengendalikan rancangan itu, Megan Tan dan Naqib Nadhir Shamsuri sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran bagi memastikan rancangan itu sentiasa menarik.

Bagi Megan, sepanjang mengendalikan 8TV Quickie lebih setahun lalu, dia bukan sahaja bertindak sebagai pengacara tetapi turut turun padang bagi mendapatkan bahan-bahan siaran termasuklah berkunjung ke luar negara.

"Pada Julai lepas misalnya, saya telah pergi ke London, United Kingdom bagi menemu bual pelakon filem Harry Porter iaitu Emma Watson. Saya hanya diberi masa lima minit bagi menemu bual Emma sendirian tanpa krew 8TV.

"Sudahlah saya pergi ke London seorang diri, malah semua hasil rakaman temu bual itu dilakukan oleh pihak pengajur. Mujurlah hasil rakaman itu kemudiannya diberikan kepada kami, kalau tidak apa yang hendak disiarkan di 8TV?

"Bagaimanapun, semua pengalaman itu menjadikan saya semakin tabah dan bersemangat untuk terus mengacarakan rancangan tersebut," katanya sewaktu ditemui pada pelayaran bersama 8TV ke Krabi dan Phuket, Thailand, baru-baru ini.

Pelayaran dengan kapal Star Cruise Libra tajaan Star Cruise bersama wakil-wakil media cetak dan elektronik selama empat hari tiga malam itu kata Megan, salah satu cara 8TV mendekatkan para pengacara Quickie dengan golongan tersebut.

Jelas Megan, dia tidak menafikan selalu berasa tertekan sewaktu mengacara 8TV Quickie kerana selain rancangan itu ke udara secara langsung, dia juga perlu melakukan pelbagai penyelidikan sebelum membicara sesuatu topik didalamnya.

"Walaupun selalu tertekan tetapi saya dapat mengatasinya, malah berasa puas apabila sesuatu topik atau rancangan yang saya kendalikan itu dapat dijayakan dengan lancar. Saya akui bukan mudah untuk mengacarakannya.

"Ini kerana, 8TV Quickie menampilkan skop yang luas dan isu yang diketengahkan bukan setakat bidang hiburan tetapi juga hal-hal lain. Semua itu secara tidak langsung menjadikan saya mendapat banyak pengalaman baru setiap hari," ujarnya.

Sementara itu, Naqib Nadhir yang digandingkan bersama Megan dalam 8TV Quickie juga tidak terkecuali berdepan dengan cabaran kerana itu adalah rancangan pertama yang diacarakannya.

Pengacara berusia 25 tahun ini berkata, biarpun bekerja sambilan sebagai pengacara rancangan di 8TV tetapi itu bukan bermakna dia bekerja sambil lewa, sebaliknya dia begitu mengambil berat rancangan yang diacarakannya itu.

"Sebenarnya, saya bekerja sepenuh masa sebagai Pegawai Akaun di syarikat IBM sejak beberapa tahun lalu. Siang hari saya bekerja mengikut waktu pejabat dan pada malamnya pula saya harus bersedia di studio untuk siaran langsung Quickie.

"Tekanan melakukan dua kerja dalam satu masa memang tidak dapat saya nafikan tetapi saya berasa seronok mengacarakan 8TV Quickie kerana ia ada kaitan dengan bidang hiburan yang amat saya minati," jelasnya.

Sewaktu belayar dengan Star Cruise Libra ke Krabi dan Phuket, Naqib dan Megan sempat mengadakan rakaman di dua tempat pelancongan itu sebagai salah satu bahan paparan menerusi rancangan yang mereka kendalikan itu.

Tambah Naqib, selain menjadi pengacara 8TV Quickie dia kini sedang mengorak langkah dalam bidang seni dengan menceburi bidang nyanyian bersama kumpulannya, Pose 2 yang mengetengahkan irama hip hop.

"Setakat ini, saya ada 20 buah lagu ciptaan sendiri. Saya juga mempunyai perancangan untuk berkolaborasi dengan kakak saya, Nadhira yang baru tampil dengan album singlenya berjudul Tears Apart," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved