Isnin, 24 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kebijaksanaan Najib, keikhlasan Susilo

Posted:

Kebijaksanaan Najib, keikhlasan Susilo

Kebijaksanaan Najib, keikhlasan Susilo

Oleh Shahrudin Musthafa


Najib Tun Razak (kiri) bersalaman dengan Susilo Bambang Yudhoyono sempena Perundingan Tahunan Malaysia Indonesia kali ke-8 di Lombok, Indonesia, Khamis lalu.


HUBUNGAN Kuala Lumpur – Jakarta saling tidak ubah seperti "love hate relationship". Itu hakikat yang tidak dapat sesiapa nafikan. Sejak berdekad lagi, ada masanya kita saling mengasihi antara satu sama lain. Tidak kurang, bila tercetus sesuatu isu, maka perasaan kasih akan berubah menjadi marah.

Adat menjadi negara jiran, hubungan akrab kita sering diuji dengan pelbagai rintangan. Hal ini bukan baru bagi kedua negara sahabat itu.

Mujurlah kedua pemimpin tertinggi negara berkenaan tidak mudah melatah ketika hubungan rakyat ada masanya tegang, ada masanya reda.

Justeru, kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak di Lombok, Indonesia Khamis lalu untuk menghadiri rundingan tahunan kali kelapan memberi erti yang cukup besar dan sekali gus melakar sejarah bagi wilayah di Nusa Tenggara Barat itu secara khususnya.

Ini kerana, Najib merupakan pemimpin luar yang pertama disambut oleh Indonesia di lapangan terbang yang dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono sehari sebelum ketibaan Perdana Menteri.

Sebelum beliau hadir ke Lombok, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pula berada di Jakarta beberapa hari sebelum itu untuk menerima anugerah tertinggi Bintang Republik Indonesia Adipurna daripada Presiden Indonesia.

Tentunya kehadiran kedua-dua teraju dari Malaysia memberikan signifikan yang amat besar dalam hubungan diplomatik dua negara jiran itu. Di atas landasan hubungan kerajaan, kehadiran Najib ke Lombok memperkasakan lagi jalinan persahabatan yang sudah lama dimeterai.

Najib membawa aspirasi yang amat penting untuk menyelesaikan beberapa isu yang sudah lama tertangguh.

Paling utama, isu pembekuan pembantu rumah yang sudah tertangguh lebih dua tahun menjadi agenda pada rundingan tahunan berkenaan. Jakarta sebelum ini pada Jun 2009 membuat keputusan menghentikan pembekalan amah ke Malaysia selepas tercetus beberapa kes penderaan dan penganiayaan oleh majikan di negara kita.

Belum selesai isu itu, Kuala Lumpur diuji pula dengan keputusan kerajaan Kemboja yang turut mengikut jejak langkah Indonesia. Sementara itu, Filipina pula khabarnya mahu melaksanakan syarat-syarat baru sebelum membenarkan rakyatnya yang mahu mencari rezeki di Malaysia sebagai pembantu rumah.

Mungkin isu pembantu rumah tidak menjadi hal kepada kesemua 28 juta rakyat Malaysia kerana tidak semuanya memerlukan perkhidmatan itu. Tetapi, isu pembantu rumah inilah yang lazimnya menjadi perhatian yang akan membawa kepada tercetusnya hubungan kurang senang di kalangan rakyat dua negara.

Kerana itu, kebijaksanaan Najib dan keikhlasan Susilo mencari pendekatan menyelesaikan isu berkenaan seperti menarik rambut dalam tepung membuatkan lembaran baru dibuka dalam rundingan berkenaan. Kedua-dua kerajaan sepakat untuk meletakkan tanda noktah pada kemelut yang berpanjangan itu.

Pada rundingan tahunan di Novotel Hotel di tepi laut Kuta, Lombok Najib dan Susilo yang masing-masing diiringi beberapa anggota Kabinet pada akhirnya mencapai kata sepakat yang menepati apa yang dikehendaki oleh rakyat.

Seperti kata Najib, beliau mengharapkan bakal majikan di Malaysia tidak mengkhianati kepercayaan diberikan rakan sejawatannya yang bersetuju membekalkan semula amah ke Malaysia.

"Yang penting tidak lakukan apa-apa penganiayaan, penderaan fizikal dan psikologi sebab ini akan membuat mereka terhiris hati. Walaupun satu dua kejadian yang menimpa tetapi kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

"Saya meminta semua bakal majikan memahami perkara ini untuk menjaga persepsi Indonesia terhadap rakyat Malaysia," jelas Najib yang sentiasa komited dalam memelihara keharmonian hubungan dua negara itu.

Pada rundingan tahunan berkenaan, kerajaan Indonesia akhirnya menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berkuat kuasa 1 Disember ini.

Pengumuman penarikan semula moratorium oleh negara itu diumumkan Presiden Indonesia selepas beliau menyedari bahawa terdapat ramai rakyat negaranya mencari rezeki di Malaysia yang turut membantu perkembangan ekonomi negara jiran itu.

"Kita ketahui banyak saudara Indonesia yang bekerja di Malaysia. Oleh itu kita sepakat untuk memberi perlindungan dan bantuan sebaik-baiknya kepada Tenaga Kerja Indonesia (TKI).

"Kita juga bersepakat bahawa dengan diadakan perubahan tentang pengambilan dan penempatan TKI yang ditandatangani pada 2006 mendatangkan perubahan positif kepada Indonesia. Insya-Allah pada 1 Disember, kita akan menormalisasikan kembali hal ini (menarik semula moratorium)," kata Susilo.

Selain isu pembantu rumah, salah faham yang sering tercetus antara Malaysia dan Indonesia juga adalah berhubung isu perbatasan sempadan sama ada di darat mahupun di laut. Perbatasan sempadan darat tercetus isu mengenai dakwaan kononnya Malaysia menceroboh wilayah Indonesia di Kalimantan Barat.

Mujur isu itu sudah ditangani dengan bijaksana oleh pemerintah Indonesia yang awal-awal lagi menafikan Malaysia mencuri wilayah mereka. Tetapi, pada pertemuan Najib dan Susilo tempoh hari, isu yang melibatkan perbatasan maritim di perairan Sulawesi dan Selat Melaka turut berada dalam senarai perbincangan kedua-dua mereka.

Selepas 20 mesyuarat antara kedua-dua pegawai kanan kerajaan itu sejak Mac 2005, Najib dan Susilo mengakui, semuanya sudah mencapai rumusan yang positif.

Kata Najib, pihak berwajib akan terus melakukan perbincangan dengan negara jiran untuk memastikan hasilnya kelak memberi kemenangan kepada kedua-dua pihak.

Semasa di Lombok juga, Najib menyatakan hasrat untuk melihat perkembangan positif terhadap semua perbincangan yang dilakukan oleh beliau dan Susilo yang mencakupi pelbagai sektor.

Najib sangat berterima kasih kepada Susilo yang sangat ikhlas dan tulus dalam membuat pertimbangan untuk memastikan rakyat kedua-dua negara memperoleh kemakmuran.

Begitu juga dengan Susilo yang terus mengingatkan rakyatnya agar jangan bertindak melampau dalam dalam meluahkan rasa tidak senang menerusi aksi demonstrasi sehingga melukai hati negara jiran, Malaysia.

Menurut Presiden Indonesia itu, tindakan demonstrasi yang dilakukan oleh sekumpulan kecil rakyat negara itu termasuk insiden terbaru yang berlaku di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta , baru-baru ini sudah melebihi batas.

Sehubungan itu, atas nama hubungan saudara serumpun, Susilo menegaskan, persahabatan yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia perlu diperkukuhkan lagi dalam suasana harmoni untuk kepentingan jangka panjang.

"Hubungan kedua-dua negara harus diletakkan dalam kerangka yang strategik, fundamental dan berjangka panjang. Saya sudah mengingatkan janganlah tunjuk rasa itu melebihi sepatutnya sebab ia bisa melukai negara sahabat," tegas Susilo.

Mudah-mudahan pertemuan dua sahabat serumpun di Lombok itu akan menyelesaikan segala isu dalam hubungan bilateral Malaysia dan Indonesia.

Bukan saja rakyat Malaysia, bahkan rakyat Indonesia sendiri yang akan meraih keuntungan apabila kedua-duanya terus akrab sebagai teman sama menangis dan teman ketawa.

Full content generated by Get Full RSS.

Akan selamatkah Malaysia?

Posted:

Akan selamatkah Malaysia?

Akan selamatkah Malaysia?


Muammar Gaddafi mengangkat tangan dari sebuah kenderaan selepas bermesyuarat dengan perwakilan pemimpin lima negara Afrika mengenai konflik Libya di Tripoli pada 10 April 2011. – REUTERS


APAKAH kuasa asing tidak akan campur tangan memberikan bantuan menerusi soft power atau ketenteraan sekiranya berlaku kebangkitan dari dalam Malaysia yang dapat membantu pendemokrasian yang secucuk dengan kehendak dan kepentingan globalisasi ke arah "Satu Dunia Satu Amerika"?

Apakah apa yang berlaku terhadap Tunisia, Mesir dan Yemen tidak akan berlaku ke atas Malaysia sebuah negara Islam yang sering diprojekkan kepada Barat sebagai tidak memberikan keistimewaan kepada orang Islam, tidak memberikan persamaan hak kepada rakyat dan tidak memberikan kebebasan mutlak kepada rakyat.

Pemerintahan beraja di Syria juga sedang diganggu gugat dan menunggu masa keruntuhannya dan tindakan ke atas Iran yang menjadi matlamat utama kuasa Barat dalam map road globalisasi di Asia Barat masih ditangguhkan kerana penyusupan anasir-anasirnya ke negara itu dan juga sokongan dari dalam belum cukup mantap.

Pada peringkat ini, media Barat dengan soft powernya – televisyen, internet , akhbar dan sebagainya sedang menyebarkan satu demi satu maklumat ke seluruh dunia yang menunjukan penindasan tehadap rakyat Iran. Ini adalah strategi yang dilakukan terhadap semua negara yang tidak disenangi oleh mereka.

Terkini, seorang pelakon wanita Iran Marzeih Vafamehr dihukum penjara setahun dan sebatan 90 kali kerana lakonan dalam sebuah filem yang mengisahkan pembatasan yang dikenakan terhadap artis di negara itu.

Media Malaysia juga turut menyiarkan besar-besaran cerita ini dari hanya suatu sumber tanpa penjelasan dari pihak yang dicemarkan seolah-olah setiap berita yang datang daripada agensi berita Barat benar belaka. Kesedaran menjadi alat atau diperalatkan sudah tidak wujud lagi.

Ketika era Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia juga menjadi bahan laporan negatif media Barat mengenai kekangannya terhadap kebebasan media, penyalahgunaan kuasa, rasuah, projek kereta nasional, pembangunan Putrajaya dan sebagainya.

Walaupun Mahathir tidak memusuhi Barat tetapi dianggap bukan sahabat baik "Kuasa Besar" kerana beliau sering berterus terang terhadap ketidakadilan dan sikap talam dua muka mereka dalam dasar ekonomi, sosial dan politik dan kerana beliau juga mengkritik sikap berat sebelah dan pembohongan media Barat.

Pemimpin Afrika Selatan yang tersohor Nelson Mendela walaupun mendapat sanjungan tinggi media Barat kerana kemanusiaannya tidak membalas dendam kekejaman orang kulit putih di negaranya dan terhadap dirinya tetapi telah digambarkan sebagai orang tua nyanyuk bila sahaja beliau membantah ketidakadilan dasar ekonomi Barat terhadap sebuah negara Afrika.

Presiden Suharto yang merupakan sahabat baik Amerika Syarikat dalam menumpaskan Parti Komunis Indonesia (PKI) sebuah parti komunis terbesar di Asia di luar China dan memberikan harapan baru kepada rakyat Indonesia juga akhirnya mati dalam penghinaan media Barat dan tekanan hasutan luar ke atas rakyatnya.

Penggulingan secara kejam pemimpin-pemimpin negara Asia Barat satu demi satu, tidak boleh dinafikan kewajarannya kerana di antara mereka telah menjadi raja yang zalim setelah menjatuhkan pemerintahan beraja. Cuma kerajaan mereka berselindung di sebalik panggilan atau nama "Presiden" yang memberikan konotasi pemimpin rakyat.

Memang ada sebab untuk mereka digulingkan oleh rakyat tetapi kewajaran untuk kuasa-kuasa asing menceroboh dan menjatuhkan pemimpin yang diketahui sebagai musuh mereka boleh dipersoalkan. Dalam usaha membunuh pemimpin Libya Kol. Muammar Gaddafi, negara-negara Perancis, Britain dan Amerika Syarikat dengan bangga mengakui penglibatan mereka.

Soalnya apakah campur tangan asing membantu mereka yang menentang kerajaan boleh berlaku atau tidak ke atas Malaysia? Apakah kita akan selamat kerana dari sejak sebelum merdeka dan selepas merdeka, kita adalah sahabat rapat Barat? Apakah kita akan dibiarkan mempunyai kebebasaan sendiri?

Tidak dapat dinafikan pemimpin-pemimpin awal kemerdekaan negara yang mendapat pendidikan Barat telah menjadi alat Barat. Mereka tidak sealiran dengan pemimpin-pemimpin Asia lainnya seperti Indonesia, India dan negara-negara Indochina. Allahyarham Dato' Onn Jaafar sendiri adalah alat kepada Barat dan diikuti Tunku Abdul Rahman dan rakan rakannya.

Tetapi ini bukanlah suatu kesilapan tetapi suatu kebijaksanaan kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang berpandangan jauh dan mahu menyelamatkan orang Melayu dan juga tidak mahu dijajah oleh komunis China atau kuasa besar yang tidak demokratik.

Malaysia menjadi negara yang tidak popular dan tidak diyakini di kalangan negara Afro Asia, tetapi dengan sokongan Barat yang melihat potensi pemimpin-pemimpin Malaysia dan Singapura untuk sejalan dengan mereka maka kedua-dua negara muncul sebagai negara yang kemajuan dan kestabilan ekonominya mendahului negara Asia lainnya.

China, Indonesia, India dan Indochina mengikuti jalan ini setelah keruntuhan komunisme.

Sikap Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan dasar luarnya amat menyenangkan Barat kecuali selepas Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih dan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru berikutan dengan peristiwa 13 Mei 1969 dan menghulurkan tangan persabahatan dengan Komunis China.

Maka sejak itu Malaysia telah menjadi bahan kecaman media Barat yang berpengaruh di Asia seperti Far Estern Economic Review, Wall Streert Journal, Times dan Newsweek dan sesekali oleh akhbar-akhbar British.

Apabila Singapura disingkirkan dari Malaysia maka kepimpinan republik itu yang diketuai oleh Lee Kuan Yew mendapat sokongan dari media Barat dalam menggambarkan kerajaan Malaysia sebagai kerajaan Melayu yang tidak adil kepada semua kaum dan menjalankan pemerintahan beraja dengan keistimewaan kepada orang Melayu.

Bersambung esok...

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN ialah

Karyawan Tamu Institut Pemikiran

Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved