Utusan Online - Pahang |
- Aktiviti Kayuhan Bandar Kuantan
- Berbasikal peluang beriadah seisi keluarga secara sihat
- 100 penduduk Sabah sertai UMNO di Kuantan
Aktiviti Kayuhan Bandar Kuantan Posted: Aktiviti Kayuhan Bandar KuantanOleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM Berbasikal sambil beriadah beramai-ramai menjadikan jarak kayuhan terasa dekat dan mengukuhkan perpaduan kaum. KUANTAN 24 Okt. - Suatu ketika dulu, tidak banyak perkara boleh dikaitkan dengan peranan basikal melainkan sekadar menjadi alat pengangkutan kepada pelajar untuk ke sekolah atau sebagai salah satu permainan kepada golongan kanak-kanak. Namun basikal yang semakin hilang kepentingan sebagai alat pengangkutan kini kembali dengan tarikan lebih besar untuk aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan seiring dengan perkembangan masa dan perubahan corak kehidupan. Basikal kini muncul dengan pelbagai reka bentuk, corak dan kegunaannya dengan harga bermula dari ratusan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit manakala penggemarnya terdiri daripada pelbagai peringkat usia. Baru-baru ini kerajaan negeri mengumumkan basikal sebagai ikon pelancongan bagi membangkitkan kembali nostalgia lampau selain dapat mendorong rakyat mengamalkan gaya hidup sihat. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pemilihan basikal sebagai ikon pelancongan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti berbasikal dijangka dapat menambah minat pelancong untuk berkunjung ke Pahang. Menurut beliau, dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi pengangkutan pada masa kini, kewujudan basikal semakin dilupakan dan sebab itu, program untuk menggalakkan aktiviti 'mengayuh' perlu diperbanyakkan. Justeru katanya, melalui program Kayuhan Bandar Kuantan atau Kuantan Townride merupakan salah satu aktiviti kesinambungan 'Pahang Basikal Mania' yang dipromosikan oleh Pelancongan Pahang baru-baru ini. Usaha itu bagi memastikan agar aktiviti berbasikal dapat diteruskan melalui kegiatan secara santai termasuk bersama keluarga. "Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga serta masyarakat dan bagi pelancong pula mereka akan dapat menikmati keindahan bandar Kuantan dengan cara yang mesra alam, sihat serta murah. "Sebagai mana yang kita tahu, dengan berbasikal ia tidak memerlukan penggunaan bahan bakar dan untuk tujuan itu, setiap hotel di sini digalakkan menyediakan sewaan basikal bagi kegunaan para pelancong," katanya ketika ditemui selepas program Kayuhan Bandar Kuantan di sini semalam. Seramai 300 peserta dari pelbagai usia terdiri daripada warga Kuantan terlibat menyertai program anjuran Pelancongan Pahang itu. Program yang turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan tersebut akan diadakan pada setiap Ahad minggu pertama dan ketiga, setiap bulan. Kata Shafik Fauzan lagi, seluruh warga Kuantan dialu-alukan untuk menyertai kayuhan tersebut dan semua jenis basikal boleh menyertainya termasuk beca, basikal tua, tandem- bike dan sebagainya. "Malah pejalan kaki dan penggemar papan seluncur juga boleh turut serta di laluan yang disediakan. Aktiviti bermula dari pukul 7 hingga 11 pagi," katanya. Tambahnya, Kayuhan Bandar Kuantan akan melibatkan beberapa laluan utama di sini bermula di Padang Kemunting sebelum peserta membuat pusingan 'U' di lampu isyarat Tanah Putih dan diikuti berkayuh melalui bangunan Telekom Malaysia dan Hospital Tengku Ampuan Afzan. Kemudian katanya, peserta akan berkayuh ke Jalan Mahkota melalui Hotel Suraya, Jalan Teluk Sisek, Jalan Beserah sehinggalah ke Jalan Dato' Wong Ah Jang dan Jalan Penjara sebelum berakhir di Taman Esplanade di sini. "Untuk tujuan keselamatan para pengayuh, satu laluan paling kiri di sepanjang jalan yang terlibat akan ditutup untuk para pengguna kenderaan bermotor dari pukul 7 hingga 11 pagi pada setiap hari kayuhan diadakan. "Bagi pengguna jalan raya lain, mereka diminta berkerjasama ketika menggunakan laluan terbabit bagi memberi ruang kepada para peserta untuk berbasikal dengan selesa dan selamat," katanya. Dalam pada itu, katanya, dengan berbasikal, peserta terlibat akan dapat berkumpul dengan kenalan baru daripada pelbagai latar belakang seterusnya membuka ruang untuk berkongsi minat sesama mereka. Bagi yang baru menceburi sukan ini pula katanya, mereka tidak harus terpengaruh dengan iklan atau sikap rakan yang sanggup membelanjakan wang beribu-ribu ringgit untuk sebuah basikal . "Sebagai permulaan, mereka hanya perlu berbelanja sekitar RM1,000 untuk sebuah basikal yang baik atau hanya sekitar RM300 sebuah bagi basikal biasa dan ia boleh ditambah spesifikasinya. "Sebelum membeli sebuah basikal seseorang perlu mengetahui spesifikasi, kategori kayuhan dan penggunaannya sama ada untuk senaman atau pertandingan," ujarnya lagi. Full content generated by Get Full RSS. |
Berbasikal peluang beriadah seisi keluarga secara sihat Posted: Berbasikal peluang beriadah seisi keluarga secara sihatKUANTAN 24 Okt. - Peserta Kayuhan Bandar Kuantan bukan sahaja gembira kerana dapat berjumpa dengan rakan-rakan baru untuk berkongsi minat yang sama, malah menerusi program itu, mereka dapat menjaga dan mengekalkan kesihatan. Seorang peserta yang sudah dua tahun mengikuti aktiviti berbasikal, Sheikh Ezneihan Sheikh Azhar, 39, berkata kerana minat yang cukup mendalam dalam sukan berbasikal, membuatkan dia teruja untuk menyertainya. "Saya seronok apabila menunggang basikal lebih-lebih lagi dalam kawasan bandar. Ada antara kami yang membawa ahli keluarga sekali gus aktiviti ini dapat merapatkan hubungan antara satu sama lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini. Ezneihan yang bertugas sebagai Pegawai Perancangan di sebuah syarikat penerbangan di Kerteh, Terengganu juga berkata, penganjuran Kayuhan Bandar Kuantan tersebut dapat mempromosi kaedah riadah yang baru kepada warga Pahang menerusi aktiviti sihat dan selamat. Bagi seorang pemilik kedai basikal di Jalan Lim Hoe Lek di sini, Tan Kuan Ann, 36, pula berkata, aktiviti berkenaan membolehkannya menjaga kesihatan selain membantu mengekalkan kehijauan alam. Dia yang tinggal di Indera Mahkota di sini berkata, selain itu, berbasikal dapat mengelakkan golongan muda daripada terjebak dalam aktiviti tidak berfaedah seperti merempit dan lumba haram. "Saya pernah mempunyai masalah kesihatan yang teruk dengan berat badan mencecah 90 kilogram sekitar 1990-an dan telah dinasihatkan oleh doktor supaya kerap bersenam. "Akhirnya saya membuat keputusan untuk berbasikal dan sekarang berat badan saya sekitar 75 kilogram. Tahap kesihatan saya juga semakin baik dan saya gembira kerana selain berasa lebih cergas, aktiviti ini memberi peluang untuk saya berjumpa kenalan baru dari pelbagai bangsa," katanya. Bagi Lim Soo Chen, 43, pula berkata, dia gembira kerana dapat berkongsi aktiviti tersebut dengan suami selain mengeratkan hubungan mereka suami isteri. "Sebelum ini hanya suami saya sahaja yang berbasikal, namun setelah dipelawa beberapa kali saya terima ajakannya dan sekarang kami berdua gembira menjalani aktiviti bersama. "Selain dapat menjaga kesihatan, aktiviti ini juga mampu menghilangkan tekanan berkerja," ujarnya. Kata Soo Chen lagi, dia bersama suaminya akan menyertai aktiviti terbabit sekiranya berpeluang dan berharap pihak penganjur mengadakan banyak lagi program sedemikian di sini. Full content generated by Get Full RSS. |
100 penduduk Sabah sertai UMNO di Kuantan Posted: 100 penduduk Sabah sertai UMNO di KuantanOleh MANIRAH ROSEDI Hazmi Mohd. Yusof (tengah) menerima borang penyerahan ahli UMNO daripada Abdul Karim Harun di Kuantan, baru-baru ini. KUANTAN 24 Okt. - Seramai 100 penduduk dari Sabah yang bekerja dan tinggal di negeri ini menyertai UMNO apabila melihat parti itu mampu membela nasib rakyat di negara ini. Majlis ringkas penerima borang kemasukan sebagai ahli UMNO itu diadakan di pejabat UMNO cawangan Taman Balok Makmur, di sini kelmarin dan ia disampaikan oleh salah seorang daripada mereka kepada Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Hazmi Mohd. Yusof. Menurut seorang pengimpal besi, Rizal Hassan, 46, dia memilih UMNO kerana yakin parti itu berjuang dan memberikan yang terbaik kepada rakyat. "Hanya dengan UMNO, nasib rakyat lebih terbela dan ini terbukti melalui pembangunan yang dilakukan kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita di sini. Sementara itu, seorang suri rumah, Suraini Abdul Kasim, 43, berkata, dia gembira kerana akhirnya dapat berjuang bersama parti itu. Menurutnya, dia akan turut bersama parti untuk memastikan kemenangan UMNO dan merampas kembali kerusi Parlimen Indera Mahkota yang dikuasai oleh pembangkang. Ketua Penaja cawangan itu, Harun Abdul Karim memberitahu, lebih 300 rakyat Sabah menetap di taman itu dan penubuhan cawangan tersebut memberikan peluang mereka untuk berjuang bersama UMNO. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan