Isnin, 10 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Tiada kompromi soal akidah

Posted:

Tiada kompromi soal akidah

Tiada kompromi soal akidah

ISU murtad ternyata tidak dipandang sepi oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dari kalangan umat Islam.

Sehubungan itu bagi menunjukkan semangat perpaduan bagi menghalang dan membanteras gerakan berkenaan, Himpunan Sejuta Umat atau ringkas HIMPUN akan diadakan pada 22 Oktober ini.

Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, Pengerusi Bersama Sekretariat HIMPUN, MOHD. AZMI ABDUL HAMID memberikan butir terperinci berhubung acara yang akan diadakan di Stadium Shah Alam itu bermula pukul 2 petang.

UTUSAN: Apa yang mendorong kepada kewujudan gagasan Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) ini?

MOHD. AZMI: Beberapa minggu lalu beberapa pimpinan NGO Islam telah mengadakan perbincangan mengenai isu kes-kes murtad yang dilaporkan berlaku di kalangan orang Melayu dan mualaf di negara ini.

Kami mendapati sejak kelakangan ini ada perkembangan tidak sihat mengenai gejala pengembangan agama selain Islam di kalangan orang Islam. Walaupun larangan hal ini jelas tertera dalam Perlembagaan Persekutuan, namun ternyata ada pihak yang mencari celah untuk melepasi halangan ini dengan melakukan penyebaran secara halus.

Kami mengesan hal ini bukan sebagai suatu reaksi spontan kepada satu atau dua kes tetapi ternyata ada gambaran lebih besar lagi sedang berlaku di sebalik apa yang kelihatan di lapisan atas.

Sementara ada usaha halus pihak pengembang agama Kristian mendekati orang Islam, ada pula kes-kes mencabar kedudukan undang-undang Islam dalam mahkamah dan juga mempersoalkan kedudukan Islam dalam pelbagai forum dan tulisan dalam media di negara ini atas nama hak kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.

Walaupun murtad ada yang menganggap suatu isu yang terpencil di kalangan orang Melayu namun hal ini nampaknya tidak seperti yang dibayangkan.

Ada rancangan yang teratur dan penuh strategi untuk memurtadkan orang Melayu dan mualaf. Kejadian yang berlaku di beberapa bandar di negara ini yang dikesan ada kegiatan pemurtadan orang Melayu ternyata bukan suatu gejala yang patut dilihat secara angka.

Akan tetapi hendaklah dibaca sebagai suatu gerakan untuk menggugat hal yang paling asasi dalam pegangan umat Islam iaitu akidah.

Oleh itu HIMPUN ditampilkan sebagai suatu kebangkitan umat Islam bahawa persoalan akidah umat dan kedudukan Islam di negara ini tidak boleh dikompromi.

Bagi kami kes murtad jangan hanya dilihat pada satu atau dua kes sahaja. Cukup satu kes sudah sepatutnya menyedarkan umat Islam bahawa akidah umat perlu diselamatkan.

Kenapa diistilahkan sejuta? Bukankah jumlah sejuta itu tidak realistik?

MOHD. AZMI: Keprihatinan umat terhadap persoalan akidah kami yakini adalah lebih besar daripada cuma angka sejuta. Sejuta adalah simbol keprihatinan semua umat Islam yang ada di Malaysia khususnya dan umat Islam seluruh dunia amnya.

Jeritan sejuta adalah lambang semarak suara umat yang tidak akan diam bila menyentuh soal akidah dan kedudukan Islam. Kami yakini pada hari perhimpunan itu di Stadium Shah Alam nanti, seluruh umat Islam di negara ini bersama-sama sehati dan sejiwa untuk menegaskan mesej mempertahankan akidah Islam.

Apa matlamat HIMPUN?

Ia bermatlamat menyatukan umat Islam dalam satu saf yang sama untuk menegaskan pendirian mempertahankan akidah Islam. Ia akan merupakan "permuafakatan akbar" seluruh umat Islam tanpa mengira aliran mahupun kepentingan agar bersatu mempertahankan akidah.

HIMPUN juga bermatlamat mengangkat keprihatinan, menggugah kesedaran dan menuntut tindakan supaya pihak-pihak yang berkuasa serta pihak yang berniat untuk menggugat akidah umat Islam berhenti daripada meneruskan agenda itu.

HIMPUN meletakkan hadaf yang utama iaitu memastikan bukan sahaja akidah Islam dipertahankan malah penghayatannya hendaklah disemarakkan agar seluruh aspek kehidupan umat akan tunduk dan diselaraskan dengan prinsip yang terkandung dalam makna akidah tauhid berdasarkan al-Quran dan as-sunnah.

Sementara itu kami juga ingin menyampaikan mesej kepada seluruh rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini bahawa umat Islam mahu kedudukan istimewa Islam dihormati. Matlamat kami ialah agar jangan dilihat isu murtad ini isu sampingan dan dilihat dari sudut kebebasan beragama seperti negara lain.

Apakah acara yang akan berlaku dalam HIMPUN?

Perhimpunan akan diserlahkan dengan acara yang memenuhi matlamat tersurat dan tersirat iaitu menyatukan umat Islam dengan kalimah tauhid dan membina kekuatan menangkis segala rancangan pihak luar untuk menghakiskan kuasa umat Islam dan menukar pegangan umat Islam.

HIMPUN akan menghadirkan pemidato-pemidato khas dari dalam dan luar negara untuk menyatakan keperluan semua umat Islam mengambil sikap waspada terhadap gugatan akidah.

Apakah HIMPUN melibatkan politik?

HIMPUN mengundangkan seluruh umat Islam dari semua kelompok. Ia merentas aliran politik. Ia tidak didalangi oleh kelompok politik tetapi didokong oleh seluruh umat.

Perhimpunan ini hanya mahu menumpu kepada persoalan pegangan akidah umat Islam yang mahu diperkukuh dan dipertahankan. Mana-mana umat Islam dari mana-mana aliran politik diundang bersama-sama memikul tanggungjawab agar semua kaum Muslimin bersatu atas akidah tauhid.

Apa kesan yang diharap akan dicapai oleh HIMPUN?

HIMPUN berharap umat Islam akan berhimpun secara besar-besaran seterusnya berlanjutan menjadi saluran penyuaraan umat untuk mengangkat isu akidah dan kedudukan Islam di negara ini.

Malah HIMPUN boleh menjadi penggerak supaya ia akan menyatukan umat Islam di peringkat nasional dan serantau.

Pelbagai gerak kerja lanjutan di peringkat negeri dan daerah akan dilaksanakan. Kempen nasional dan serantau akan digerakkan secara massa bagi membangkitkan kesedaran berpersatuan di kalangan umat Islam. Risalah, buku serta forum mengenai murtad akan diketengahkan kepada masyarakat.

Full content generated by Get Full RSS.

Bajet terbaik dalam sejarah

Posted:

Bajet terbaik dalam sejarah

Bajet terbaik dalam sejarah

KASSIM AHMAD ialah penulis bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

TAJUK ini saya petik daripada kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang saya setujui. Atau bajet sejahtera, seperti yang disifatkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Bukan saja ia satu bajet yang mengiktiraf dan mengganjari semua kelompok dalam masyarakat kita; ia berlainan daripada bajet-bajet dulu, kerana ia mengangkat martabat pertanian dan penternakan negara kita.

Dulu kita mengimport banyak bahan makanan, termasuk beras, kambing, lembu dan sayur-syuran atas hujah bahawa mengimport lebih murah daripada kita mengeluarkannya sendiri. Hujah ini, nampaknya, ditolak dalam bajet ini.

Hujah yang dipakai hujah kepentingan bagi rakyat. Beras, daging lembu dan kambing, dan sayur-sayuran itu penting sebagai bahan makanan. Kita tidak boleh bergantung kepada penghasilan di luar negara. Hujah penting mengatasi hujah murah.

Ada beberapa perkara lain yang perlu diperhatikan oleh kita tentang bajet ini. Pertama, ia disediakan oleh pakar-pakar dari Kementerian Kewangan dan institusi-institusi kerajaan yang berkaitan. Ini menjamainkan kemantapannya.

Kedua, simpanan antarabangsa kita tinggi pada kadar RM414.5 bilion (pada 15 September, 2011), yang mampu membiayai import tertangguh untuk sembilan bulan. Perhatikan kadar biasa di negara-negara lain empat atau lima bulan. Ia menyeluruh, mengambil kira kehendak dan kepentingan semua kelompok masyarakat serta mengganjari mereka sedikit atau pada tahap sederhana.

Tidak ada kelompok yang ketinggalan. Ini semua satu kejayaan besar. Namun demikan, seperti biasa, pihak pembangkang memperlekehkannya.

Dalam hal ini, pentinglah rakyat kita mengkaji semula sistem dwi-parti demokrasi Barat yang kita pakai selama ini. Adakah sistem ini paling baik? Kita perlu wujudkan satu sistem lain yang lebih baik dan yang memartabatkan permuafakatan besar dalam masyarakat majmuk kita.

Setelah berkata itu semua, saya ingin menarik perhatian kerajaan kepada wawasan kita (yang diucapkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad) untuk mencapai bilangan penduduk 70 juta. Mungkin ramai daripada kita telah lupa tentang perkara yang penting ini. Nampaknya, Menteri Kewangan kita pun lupa tentang perkara ini!

Kelupaan ini bahaya. Bangsa kita boleh menjadi bangsa orang tua yang tidak cukup bilangan generasi muda, seperti yang telah berlaku kepada negara-negara maju.

Kita harus melaksanakan dasar antara tiga hingga lima orang anak hitung panjang. Dua atau tiga generasi dulu, bangsa kita memiliki ramai anak, kadang-kadang sampai 9 atau 10 orang.

Kebelakangan ini kita terpengaruh dengan konsep perancangan keluarga. Dua atau seorang anak menjadi kebiasaan. Ini akibat inflasi dan kenaikan belanja hidup. Ini pula hasil daripada ekonomi yang berasaskan riba.

Seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, riba itu tidak mengembangkan, malah meruntuhkan, ekonomi. Seperti kata seorang ahli ekonomi Amerika Syarikat, riba, seperti kutu anjing, setelah menghisap darah anjing dan mematikannya, dia sendiri akan mati!

Oleh itu, kerajaan kena menggalakkan dasar meramaikan penduduk hingga mencapai 70 juta dalam tahun 2020. Sesuatu pasangan monogami harus digalakkan ada tiga hingga lima orang anak.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved