Utusan Online - Hiburan |
Posted: Tanda aras baru Pierre AndreOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL SERIUS... Aksi Pierre Andre (kiri) sebagai pengarah sewaktu di lokasi filem Al-Hijab. MEMULAKAN kerjayanya anak seni hampir tujuh tahun lalu sememangnya telah memberi banyak pengalaman untuk anak muda ini. Daripada seorang pelakon, Pierre Andre perlahan-lahan membina namanya sehingga dia berjaya menjadi salah seorang aktor generasi baru yang cukup diminati ramai. Bersandarkan bakat lakonannya yang semula jadi yang sudah tentu diwarisi daripada ibu tercinta, Khatijah Tan, memang tidak syak lagi, Pierre telah meletakkan statusnya sebagai aktor dalam liga tersendiri. Memiliki aspirasi dan jiwa seni yang cukup besar, Pierre tidak mahu menghabiskan hidupnya hanya dengan menjadi seorang pelakon. Sebaliknya, dia mencabar dirinya dengan mengorak langkah sebagai seorang pengarah filem apabila diberi peluang mengarahkan filem pertamanya, 9 September pada tahun 2007. Biarpun dihambat dengan kritikan yang menyifatkan dirinya terlalu muda untuk menduduki kerusi pengarah ketika itu, namun ia langsung tidak menghalang Pierre untuk meneruskan minatnya dalam dunia pengarahan filem. Dua buah filem selepas itu, I'm Not Single (2008) dan Jangan Tegur (2009) membuktikan bahawa Pierre memiliki sentuhan tersendiri dalam menzahirkan naskhah nukilannya ke layar perak. Jika hendak dibandingkan dengan filem romantik yang sudah diarahkan Pierre, harus diakui, sentuhan anak muda berusia 26 tahun ini menerusi genre seram lebih memberikan impak luar biasa. Lihatlah sahaja bagaimana kejayaannya menghasilkan lakon layar filem Jangan Pandang Belakang dan Jangan Tegur yang telah mencatatkan rekod luar biasa dalam sejarah sinema Melayu. Terbaru, filem Al-Hijab yang sudah pun ditayangkan sejak 6 Oktober lalu juga sekali lagi membuktikan kehebatan dan keunggulan Pierre sebagai pembikin filem seram. Tidak hanya menghasilkan skrip dan lakon layar untuk Al-Hijab, Pierre juga telah melunaskan tanggungjawab sebagai seorang pengarah dengan cukup baik sekali seperti mana yang diamanahkan oleh penerbit filem itu, Empat Semudra Plantation Sdn. Bhd. Melihatkan kepada kejayaan terbarunya itu, memang tidak syak lagi gelaran Raja Filem Seram wajar dimahkotakan kepada pemilik nama penuh Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre ini. "Kalau ada yang mahu memberikan gelaran itu kepada saya, mengapa tidak? Saya tidak kisah seandainya ada yang menggelarkan saya sebagai Raja Filem Seram. "Memang saya tidak menafikan semua ini adalah daripada badi filem Jangan Pandang Belakang yang telah membuka mata masyarakat terhadap bakat saya dalam genre seram. "Malah, saya sendiri mendapat maklum balas yang sangat positif daripada peminat dan penonton filem Melayu yang merasakan sentuhan saya untuk genre seram lebih menjadi berbanding romantik komedi. "Saya menyifatkannya sebagai satu penghargaan buat diri saya. Setidak-tidaknya, sebagai seorang pengarah, saya berjaya mencipta identiti saya sendiri," ujar Pierre dalam nada optimis. Pelakon filem Gol & Gincu dan Salon ini berkata demikian ketika ditemui usai majlis pratonton filem Al-Hijab di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Filem itu juga menyaksikan Pierre memegang watak utama sebagai Rafael selain dibantu aktres muda, Nur Fathia, Maimon Mutalib, Nor Albaniah, Aziz M. Osman, Nasrizal Ngasri, Pekin Ibrahim dan Khir Mohd. Noor. Menyambung bicara, kata Pierre, sebagai seorang karyawan dia cukup sedar akan kemampuannya dalam membikin sesebuah filem. Atas alasan itu, dia tidak kisah jika berterusan menghasilkan filem seram kerana kata Pierre, ketika ini, belum ada seorang karyawan filem tempatan yang dikenali dengan genre itu. Dalam konteks ini jelas Pierre, dia cukup gemar untuk mengambil contoh terbaik idolanya iaitu pengarah filem kelahiran Jepun, Hideo Nakata yang cukup terkenal dengan filem-filem seram seperti Ring, Ring 2 dan Dark Water. Begitu juga dengan sutradara legenda Hollywood, Wes Craven yang cukup dikenali dengan filem-filem bercorak serupa. "Sebagai seorang pembikin filem, saya perlu mengikut gerak hati. Saya tidak boleh menjadi seperti orang lain kerana saya tahu hasilnya tidak akan menarik. "Saya cukup bangga dengan teman seperjuangan saya yang lain seperti Syamsul Yusof yang berjaya dengan genre aksi. Kadang-kala cemburu juga melihat kejayaannya yang berjaya menghasilkan filem yang hebat. "Tetapi di penghujungnya, kita harus percaya pada diri sendiri dan meneruskan apa yang kita mampu lakukan," jelas Pierre yang pernah menerima pencalonan untuk Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 (2009) bagi filem Jangan Tegur. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Album Inggeris Siti di pasaran dunia Posted: Album Inggeris Siti di pasaran duniaOleh ABD. AZIZ ITAR
DATUK Siti Nurhaliza menjadi penyanyi sepenuh masa sejak dia berusia 17 tahun. Sepanjang 15 tahun dia telah menghasilkan lebih daripada 10 album termasuklah album kompilasi. Sebelum ini, semua album yang dihasilkan penyanyi berusia 32 tahun itu hanya berbahasa Melayu dan cuma diedarkan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei sahaja. Bagaimanapun, Siti mula mengorak langkah lebih luas apabila tampil dengan album Inggeris pertamanya berjudul All Your Love pada 24 September lalu untuk pasaran di seluruh dunia. Menurut penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini, album terbitan What's Up Entertainment Sdn. Bhd., itu bukan setakat dijual secara pasaran terbuka. Sebaliknya, ia juga dijual secara talian dan muat turun di Internet yang kini menjadi trend dalam mana-mana juga industri muzik di seluruh dunia termasuklah di negara ini. "Album ke-14 Siti itu juga boleh dibeli dengan cara muat turun lagu-lagu daripada album tersebut di Internet selain bentuk album secara fizikal iaitu CD (cakera padat). Ini sesuatu yang baru bagi Siti. "Siti berharap cara ini akan memperluaskan lagi jualan album itu. Kini album itu boleh dipasarkan di seluruh dunia. Semua orang walau berada di mana pun boleh mendengar album itu," katanya. Penyanyi nombor satu tanah air ini menjelaskan, biarpun pertama kali menghasilkan album Inggeris tetapi dia berpuas hati dengan sambutan awal yang telah diberikan oleh para peminat setianya. Contohnya kata Siti, tidak sampai empat hari All Your Love berada di pasaran, album itu telah berjaya dijual sebanyak 3,000 unit di mana ia kini diulang cetak buat kali kedua. "Siti juga berasa terkejut apabila album Inggeris itu bukan sahaja dibeli oleh peminat Melayu tetapi ramai juga peminat kaum Cina dan India yang membeli serta memberi maklum balas yang baik. "Ini menunjukkan lagu-lagu Siti mampu pergi lebih jauh melangkaui batas agama dan bangsa. Cuma baru sekarang Siti dapat peluang itu selepas sekian lama menjadi penyanyi," ujarnya. Jelas Siti, dia berterima kasih kepada anak tirinya, Adib Khalid melalui What's Up Entertainment yang mempunyai inisiatif tinggi sehinggalah mereka berjaya menerbitkan album Inggeris tersebut. Adib yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengarah di syarikat rakaman itu, kata Siti berasakan sudah sampai masanya dia menghasilkan album dalam bahasa Inggeris. "Sebelum ini, Siti tidak dapat peluang merakamkan album Inggeris kerana kurang persediaan daripada banyak segi. Sekarang ini Siti lebih yakin untuk menyanyikan lagu-lagu Inggeris. "Adib amat meminati bidang muzik hingga dia menubuhkan syarikat rakamannya sendiri. Mulanya tidak percaya tetapi lama kelamaan kesungguhannya itu terserlah," jelasnya. Album All Your Love mengandungi 10 lagu termasuk sebuah lagu duet dengan penyanyi popular kelahiran Amerika Syarikat, Sean Kingston bertajuk Remember Me. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan