Utusan Online - Mahkamah |
Bekas Pengarah Transmile didenda, penjara Posted: Bekas Pengarah Transmile didenda, penjaraKUALA LUMPUR 28 Okt. - Dua bekas Pengarah Bukan Eksekutif Transmile Group Bhd. (Transmile) didenda RM300,000 dan penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengemukakan pernyataan mengelirukan dalam laporan syarikat kargo tersebut kepada Bursa Malaysia Securities Bhd. Jika gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara ke atas kedua-dua tertuduh, Chin Keem Feung, 46, yang kini merupakan seorang peguam dan Shukri Sheikh Abdul Tawab, 47, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak didakwa di mahkamah, boleh ditambah enam bulan lagi. Kedua-duanya bagaimanapun berjaya mendapat penangguhan pelaksanaan hukuman selepas Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh membenarkan permohonan mereka. Hakim itu menjatuhkan hukuman tersebut pada akhir kes pembelaan selepas meneliti keterangan 11 saksi pendakwaan dan keterangan bersumpah kedua-dua mereka. Ketika membacakan keputusannya, hakim menyatakan, pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes berkenaan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shanti Geoffrey dan dibantu oleh pegawai pendakwa, Nor Rifhan Rozi manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Firuz Jaffril dan Tan Hock Chuan. Keem Feung dan Shukri, didakwa pada 14 November 2007 atas tuduhan secara sedar memberi kuasa untuk mengemukakan pernyataan yang mengelirukan berhubung syarikat Transmile di dalam Laporan Keputusan Kewangan Sebelum Audit Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2006. Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 122B(b)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 122B akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM3 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya. Ketika mengemukakan rayuan, Keem Feung menyatakan, sebarang hukuman akan menyebabkan lesen guamannya ditarik balik sedangkan dia adalah penanggung tunggal keluarga. Shanti bagaimanapun menegaskan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh menyebabkan ramai pelabur tertipu. Full content generated by Get Full RSS. |
Impian jadi juruterbang tak kesampaian Posted: Impian jadi juruterbang tak kesampaianOleh SITI NOORALINA AHMAD KERJAYA sebagai juruterbang sinonim dengan lelaki yang berkarisma 'membelah' awan, beruniform kemas dan segak, sering merantau ke seluruh pelosok dunia serta bergaji lumayan. Justeru, banyak pemuda yang menyimpan keinginan untuk menjadi juruterbang. Jika bukan juruterbang komersial, pilihan lain yang lebih hebat juga ada iaitu sebagai juruterbang pesawat tentera. Manakala bagi individu yang tidak layak pula pastinya cemburu melihat gaya hidup golongan ini yang sering dipandang hebat di mata masyarakat. Namun, untuk menjadi seorang juruterbang bukannya mudah. Yuran pengajiannya sahaja sangat tinggi sementara kelayakan akademik pula haruslah cemerlang. Itu belum lagi dikira risiko dan cabaran yang perlu ditempuhi. Jadi tidak hairanlah sekiranya ramai penuntut yang gagal memenuhi aspek-aspek tersebut. Perkara yang sama turut dialami oleh seorang anak muda bernama Johan Jamaludin, 19. Perasaannya begitu teruja selepas melihat tawaran menarik di sebuah akhbar tempatan mengenai kemasukan ke akademi latihan penerbangan di syarikat HM Aerospace Sdn. Bhd. (HM Aerospace). Tawaran itu dilihatnya sebagai pembuka pintu kepada impiannya untuk menjadi seorang juruterbang komersial yang berjaya. Tawaran itu menyatakan, syarikat tersebut akan memberikan biasiswa RM30,000 dan menjamin pinjaman pembelajaran sebanyak RM100,000 bagi individu yang berhasrat mendaftar bagi kemasukan April 2010. Dia yang dibiayai oleh abangnya, Mohd. Farrel, 28, hanya dikehendaki membayar RM10,000 sebagai wang pendahuluan. Namun selepas membuat pembayaran, remaja itu diberi notis oleh pihak pengurusan HM Aerospace supaya menjelaskan bayaran yuran pembelajaran RM70,000 selepas seminggu menandatangani perjanjian kemasukannya. Manakala baki RM200,000 pula harus dijelaskan secara ansuran sebanyak empat kali dalam tempoh sembilan bulan berada di akademi tersebut. Terkejut dan rasa diperdaya, itulah perasaannya apabila mendapati tawaran yang didakwa diberikan sebelum diterima masuk, berbeza dengan apa yang terpaksa ditempuhi. Dia seterusnya memutuskan untuk tidak meneruskan pengajian di situ dan beberapa kali meminta pihak pengurusan syarikat tersebut memulangkan semula wang RM10,000. Keengganan syarikat terbabit memberi kerjasama membuatkan abangnya, Mohd. Farrel terpaksa mengheret HM Aerospace ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Tingkat 16, Putra Place, Jalan Putra di ibu negara. Selepas mendengar tuntutan tersebut baru-baru ini, Presiden TTPM, Mohd. Nasrim Mohd. Salleh memerintahkan HM Aerospace membayar semula RM10,000 kepada penuntut dalam tempoh 14 hari. Sekiranya syarikat itu gagal mengikut perintah, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan