Utusan Online - Utara |
Posted: Warta lokasi batu sempadanOleh OPAT RATTANACHOT BOON Som Inong (dua dari kiri) menunjukkan garisan sempadan kepada Voradet Viravakin (tiga dari kiri) dan Mohd. Hadzir Ismail (dua dari kanan) semasa melawat monumen batu sempadan lama di Kampung Terat Batu, Kedah semalam. PADANG SERAI 22 Sept. – Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan diminta mewartakan monumen sejarah batu sempadan di Kampung Terat Batu, Mukim Sidam Kanan di sini, sebagai tapak warisan negara. Ahli Dewan Negara, Senator Boon Som Inong berkata, saranan itu dibuat sebagai usaha memulihara khazanah berkenaan di samping menjadikannya produk baharu pelancongan berunsur sejarah pada masa akan datang. "Berdasarkan semakan sejarah, batu sempadan ini dipercayai dibina oleh Kerajaan British dan Siam sekitar 1831 iaitu pada zaman penaklukan Kompeni Hindia Timur Inggeris di sini. "Pembinaan monumen ini juga bertujuan membahagikan kawasan antara negeri Kedah atau Saiburi yang ketika itu di bawah Siam dengan Pulau Pinang yang ditakluki oleh British. "Selepas beratus tahun berlalu, batu sempadan ini dibiarkan tanpa terurus dan ada di antaranya musnah atau terjatuh ke dalam Sungai Muda," katanya kepada pemberita ketika melawat monumen tersebut bersama Konsul Jeneral Diraja Thailand ke Pulau Pinang, Voradet Viravakin di sini, hari ini. Hadir sama ialah Setiausaha Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Kedah, Datuk Mohd. Hadzir Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Terat Batu, Marzuki Abd. Rahman. Boon Som berkata, selain itu, penemuan batu sempadan berkenaan merupakan salah satu bukti penting mengenai kewujudan masyarakat Siam di negara ini sejak beratus-ratus tahun lalu. "Ini juga bermakna bahawa masyarakat Siam berada di kawasan ini sejak turun-temurun dan mereka adalah bumiputera dan bukannya kaum pendatang atau imigran yang dibawa masuk oleh British sebelum merdeka," jelasnya. Voradet pula berkata, pihaknya bersedia menawarkan bantuan daripada segi kepakaran dan khidmat nasihat kepada Kerajaan Malaysia untuk membantu memulihara monumen berkenaan bagi tatapan generasi akan datang. "Jika diwartakan, saya percaya ia boleh dijadikan produk pelancongan menarik di samping mengukuhkan lagi fakta sejarah bagi kedua-dua negara," ujarnya. Sementara itu, Mohd. Hadzir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas berkata, berdasarkan makluman penduduk setempat, sebelum ini, terdapat lebih lima batu seumpamanya di kawasan terbabit. Bagaimanapun, batu berkenaan musnah atau rosak ekoran kegiatan pertanian dan mengorek pasir di pinggir Sungai Muda. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, tulisan yang terpahat pada bahagian tengah batu tanda sempadan itu tertulis ayat berhuruf besar British Siamese Boundary diikuti tulisan Thai bermaksud Garis Sempadan Kompeni Bersambung Dengan Siam. Selain itu, terdapat juga tulisan Jawi yang terpahat pada bahagian bawah batu tersebut, tetapi tidak dapat dibaca dengan jelas kerana mengalami kerosakan. |
Posted: Keselamatan diri terancamOleh ZABRY MOHAMAD PULAU PINANG 22 Sept. – Cadangan supaya nelayan diberi kuasa untuk menahan bot pukat tunda yang menceroboh zon pantai tidak akan menyelesaikan masalah tersebut, sebaliknya boleh mengancam nyawa mereka sendiri. Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 2, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kapten Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, tanggungjawab tersebut seharusnya diberikan kepada agensi-agensi terbabit yang sememangnya mempunyai kepakaran dan dilengkapi aset bagi tugas-tugas itu. "Yang menceroboh ini pun kawan-kawan mereka. Takut nanti mereka bergaduh sesama sendiri. "Pernah tercetus pergaduhan kerana tidak berpuas hati apabila mereka ditahan oleh rakan sendiri kerana dituduh menceroboh," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Maritim Malaysia Daerah Maritim 2 di sini, hari ini. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom sebelum ini mencadangkan supaya nelayan diberi kuasa untuk menahan bot pukat tunda yang menceroboh zon A yang dikhaskan kepada nelayan pantai. Robert memberitahu, sejak Januari lalu, lebih 50 tangkapan dilakukan pihaknya terhadap nelayan pukat tunda yang menceroboh kawasan lain. Katanya, Maritim Malaysia sentiasa menukar kaedah rondaan termasuk membuat penyamaran bagi mengelak dikesan. "Kadang-kala kami terpaksa menggunakan bot nelayan untuk membuat rondaan kerana ada tonto memerhati dan terus menghubungi nelayan yang menceroboh sebaik melihat bot Maritim Malaysia keluar dari pangkalan," ujarnya. |
Hidup ketakutan kerana ugutan ah long Posted: Hidup ketakutan kerana ugutan ah longSEORANG penjamin hutang ah long menunjukkan pintu kaca yang pecah dibaling batu oleh dua lelaki dipercayai anggota geng ah long di rumahnya, Taman Saga, Alor Mengkudu, Alor Setar, baru-baru ini. ALOR SETAR 22 Sept. - Sebuah keluarga yang tinggal di Taman Saga, Alor Mengkudu di sini hidup dalam ketakutan setelah rumah mereka dibaling batu dan diugut oleh sekumpulan lelaki dipercayai ceti haram atau ah long sejak awal bulan ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi kelmarin, cermin kereta Honda Accord dan cermin pintu depan rumah mereka pecah kerana dibaling batu oleh dua lelaki yang menaiki motosikal. Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Mr. Lau berkata, kejadian itu berpunca daripada anak lelakinya yang menjadi penjamin kepada rakannya untuk meminjam duit dengan salah seorang ceti haram tersebut. "Tahun lalu anak saya telah menjadi penjamin kepada kawan-kawannya yang meminjam duit daripada ah long melibatkan jumlah lebih RM300,000. "Tetapi kawan-kawannya lari dan tidak membayar hutang tersebut. Jadi, anak saya serta kami sekeluarga yang menjadi sasaran ah long tersebut dan ini merupakan kali keempat rumah kami dibaling batu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Saga di sini, semalam. Menurutnya, mereka telah membayar kira-kira RM160,000 kepada ah long tersebut, namun hutang mereka semakin meningkat kerana sistem bunga yang tidak munasabah dikenakan. "Sehari bunga hutang boleh naik sehingga RM1,000 dan anak saya hanya bekerja sebagai jurujual, sudah tentu dia tidak mampu untuk membayarnya. "Kami sekarang hidup dalam ketakutan dan tidak lena tidur kerana sering diugut oleh ah long yang mahu kami membayar RM5,000 sebulan untuk melunaskan hutang itu," jelasnya. Tambahnya, dia juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan berharap pihak polis dapat mengambil tindakan segera. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan