Jumaat, 23 September 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Peluang BN di Kedah

Posted:

Peluang BN di Kedah

Peluang BN di Kedah

KETEGASAN Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang mahu wakil rakyat atau pemimpin UMNO bersedia menyokong siapa sahaja dipilih sebagai calon, amat relevan khususnya dalam situasi politik di Kedah.

Ia kerana Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah turut berpendapat, resipi Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula Kedah daripada pembangkang ialah semua pemimpin UMNO berpakat untuk menyokong calon walaupun diri sendiri tidak dicalonkan.

Wartawan Utusan Malaysia, SAHBULAH DARWI dan jurugambar, ABDUL HALIM KHALID menemuramah Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, DATUK AHMAD BASHAH MD.HANIPAH bagi mendapatkan pandangan beliau.

UTUSAN: Ketika berucap di Selangor, Perdana Menteri mahu semua pihak memastikan kemenangan calon BN tanpa mengira siapa sahaja dipilih, apa pandangan Datuk?

AHMAD BASHAH: Saya amat setuju apa yang disebutkan kerana yang penting adalah semangat setia kepada parti.

Kalau sesuatu kawasan itu sudah diputuskan untuk ditandingi oleh Gerakan, MCA dan MIC, rakan-rakan lain dalam komponen BN, kita kena berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kemenangan. Namun begitu apa yang merisaukan kita ialah kriteria calon boleh menang terutama dalam kalangan UMNO sendiri.

Sebab itulah apabila diputuskan oleh pucuk pimpinan siapapun calon pilihan raya nanti maka kita sebagai orang parti, ahli UMNO, sayangkan parti, kita harus memenangkan parti kita

Semangat tersebut perlu ada dalam diri kita hari ini, jangan semangat individu itu, tetapi semangat kepartian kena kuat.

Kalau kita buat sesuatu yang memudaratkan parti seperti sabotaj dan sebagainya, kita menjadi pengkhianat kepada parti. Ia disebabkan yang akan kalah adalah parti bukannya individu.

Jika esok adalah hari mengundi, bagaimana peluang BN untuk menawan semula Kedah jika unsur-unsur negatif ini tiada lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Jika unsur negatif tersebut mampu disingkirkan sudah pasti peluang kita cukup cerah, kerana PRU-13 bukan seperti PRU Ke-11 atau PRU Ke-12.

Kali ini kita boleh menang, tetapi secara jujurnya mungkin dari segi jumlah undi majoriti bukan seperti PRU-11 atau PRU-10 dulu yang mana kita dapat majoriti antara 7,000 atau 6,000 undi.

Sebab itu, kita tidak boleh ada langsung unsur-unsur merajuk, sabotaj calon dan sebagainya.

Ia kerana dalam pilihan raya umum lalu, kita kalah di kubu kuat kita dengan majoriti kecil seperti Dewan Undangan Negeri (DUN Bukit Lada, Tanjung Dawai, Air Itam, Jeneri dan sebagainya. Selain itu kawasan sedia ada dimenangi BN seperti DUN Kuah dan Padang Mat Sirat (Langkawi), Bukit Kayu Hitam dan Jitra (Kubang Pasu), Pedu dan Kuala Nerang (Kuala Nerang) dan beberapa kawasan lain akan terus dipertahankan.

Selain itu, kita ada kira-kira 10 kerusi yang boleh dianggap selesa manakala kira-kira lapan kerusi yang 50-50. Sekurang-kurangnya sasaran 26 daripada 36 kerusi DUN boleh dapat dalam tangan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah. Kita juga tahu kubu kuat Pas sebenarnya tidak begitu banyak kecuali di Sala, Anak Bukit, Tokai dan Kuala Ketil sahaja.

Apakah ada faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang?

Pertamanya, kewibawaan dan kepimpinan Najib, ini menjadi aset utama kita. Hari ini semua orang bercakap dan menilai kewibawaan kepimpinan Najib dan mereka begitu yakin untuk menaruh harapan buat generasi akan datang di bawah apa yang dizahirkan Perdana Menteri.

Kedua, dengan apa yang berlaku selama tiga tahun di bawah pemerintahan Pas, rakyat Kedah merungut, maka pilihan raya kali ini adalah masa untuk menterjemahkan sokongan kepada BN dan menolak Pas.

Saya serahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian dan membuat keputusan bagaimana hari ini dan untuk terus ke depan. Ini kerana apabila datang pilihan raya umum nanti maka kuasa diberi semula kepada rakyat jadi rakyat kena buat keputusan yang bijak dan terbaik untuk memilih pemimpin mereka.

Mengenai calon boleh menang, ramai yang mengatakan kriteria dan cita rasa pengundi di Kedah berbeza dengan negeri lain. Dari segi apa perbezaan itu?

Saya setuju, cita rasa pengundi kadang-kadang berlainan mengikut negeri. Mungkin di negeri yang maju seperti Selangor pendekatannya berlainan dengan Kedah. Di sini pengundi mahu calon itu berdamping selalu dengan mereka. Pengundi juga mahu lihat kemampuan, kehebatan dan kewibawaan calon itu.

Perdana Menteri sudah kata, kata calon nanti tidak semestinya orang yang jadi ketua bahagian atau pemimpin bahagian. Kita sebagai pemimpin peringkat bahagian kena terima keputusan Presiden parti, kita kena buat sampai parti menang, maka itu baru orang kata dia adalah pemimpin yang hebat.

Bagaimana pula dengan tuduhan kononnya wujud masalah berpuak-puak dalam UMNO Kedah?

Soal isu berpuak-puak ini, sikit-sikit itu biasalah. Dalam parti, perkara seperti ini tidak akan habis, isu kelompok-kelompok kecil ini, tetapi bila tiba pilihan raya kita akan bersatu dan bekerja bersama-sama. Saya lihat keadaan sudah banyak berubah. Perubahan ke arah yang lebih positif dan banyak masalah sudah selesai, jadi saya yakin perkara itu tidak menjejaskan usaha untuk menawan semula Kedah.

Bagaimanapun, saya lihat semangat parti iaitu sayangkan UMNO iaitu tidak mahu melakukan sesuatu yang negatif terhadap parti dalam kalangan ahli UMNO sudah nampak jauh berubah.

Jadi saya yakin, apabila sampai masanya nanti apa yang diterapkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebut, kita mesti menjadi orang parti, bila orang parti kita tak kira individu maka kita boleh menang, insya-Allah.

Sejauh manakah Majlis Penerangan UMNO baru-baru ini memberi hasil dan kesan positif kepada akar umbi?

Ia adalah perhimpunan lebih 4,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai golongan yang dianggap berjaya dan berkesan dalam menyebarkan mesej ke peringkat akar umbi.

Contohnya, rata-rata peserta berpuas hati dengan penerangan khususnya yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan tugas dan tanggungjawab mereka, isu-isu semasa, persediaan pilihan raya umum tidak lama lagi.

Kita juga mendapat maklum balas positif khususnya daripada pegawai-pegawai peti undi dan jentera BN daripada parti-parti komponen. Para peserta termasuk juga persatuan guru-guru besar yang memberi respons mahu mesej perhimpunan itu seperti tanggungjawab rakyat, isu-isu semasa yang perlu disampaikan ke akar umbi.

Selain itu peringkat parti-parti komponen akan buat program penerangan susulan di peti undi pada Oktober ini. Kita akan turun ke bahagian-bahagian, di satu-satu bahagian kita turun serentak di 15 hingga 20 buah tempat pada satu malam.

Selain itu, jentera kita sudah siap sedia walaupun ada sedikit sebanyak masalah di sana sini yang diselesaikan tetapi secara umumnya kita sudah bersedia dengan strategi, perancangan dan pelaksanaan yang dipantau oleh ibu pejabat parti.

Dari segi manifesto juga, mungkin negeri seperti Selangor akan ada manifesto sendiri tetapi bagi Kedah, kita akan guna manifesto BN Pusat dan ia menjadi keutamaan, tetapi lepas itu, kita akan tokok tambah mengikut keperluan negeri.

‘Nyanyian’ lama Nik Aziz bergema semula

Posted:

'Nyanyian' lama Nik Aziz bergema semula

'Nyanyian' lama Nik Aziz bergema semula

Oleh Zulkiflee Bakar

APABILA Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Aziz Nik Mat kembali bercakap soal pelaksanaan hukum hudud, percayalah ia hanyalah kenyataan politik menjelang pilihan raya.

Malah lebih daripada itu, Mursyidul Am Pas tersebut akan dilihat hendak mengalih perhatian rakyat terhadap isu tragedi Bukit Kepong yang dicetuskan oleh Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu.

Sebenarnya, kalau Pas benar-benar ikhlas hendak melaksanakan hukum hudud sudah pasti parti itu akan bermati-matian mempertahankan perjuangan negara Islam yang dipeloporinya.

Tetapi semua itu terkulai layu dalam muktamar tahunan parti tersebut baru-baru ini, apabila Pas menyatakan ingin memperjuangkan negara berkebajikan dan ia disusuli dengan pelancaran manifesto mengenainya minggu lalu.

Oleh itu, kita perlu bertanya kepada Nik Abdul Aziz, apakah pelaksanaan hukum hudud ini sudah mendapat restu Pas pusat atau ia sebagai 'gula-gula' Pas Kelantan untuk menghadapi pilihan raya?

Nik Abdul Aziz amat memahami rakyat Kelantan kini semakin menyedari kemampuan Pas selepas 21 tahun mereka memerintah, kalau mengikut kepada 'cuaca politik' sekarang, pemerintahan Pas akan berakhir di negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut.

Apatah lagi, Nik Abdul Aziz dan Pas Kelantan melihat semakin ramai orang Melayu di negeri itu yang sebelum ini begitu percaya bahawa Pas akan melaksanakan hukum hudud dan mempertahankan perjuangan Islam mendapati penantian mereka hanya sia-sia.

Pas Kelantan amat memahami situasi ini apatah lagi dari semasa ke semasa banyak kemelut berlaku melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.

Justeru Nik Abdul Aziz kembali mendendangkan lagu 'hukum hudud' dalam usaha untuk menarik perhatian pengundi-pengundi Kelantan.

Dan seperti diduga 'nyanyian sumbang' berkenaan mendapat tentangan daripada DAP yang boleh dianggap 'pengkritik tetap' terhadap 'sandiwara' Pas dalam soal hukum hudud dan penubuhan negara Islam.

Berdasarkan hakikat itu, tidak payahlah kita terpengaruh dengan polemik baru antara Pas dan DAP dalam isu hukum hudud ini, sebaliknya tidak harus melupakan dua isu berkaitan kedua-dua parti berkenaan yang berlaku sekarang.

Pas sedang berusaha mencuci imej berikutan isu tragedi Bukit Kepong yang dicetuskan oleh Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu manakala DAP pula berhadapan dengan isu menggantikan Jalur Gemilang yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M.Manoharan.

Isu hudud hanyalah 'peluru-peluru' terakhir yang terpaksa digunakan bagi mengalihkan isu-isu berkenaan, namun pujian perlu diberikan kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sentiasa konsisten menentang penubuhan negara Islam dan hukum hudud.

Ertinya dari segi sikap konsisten dalam pendirian politik, Karpal Singh dan DAP jauh lebih baik daripada Pas yang bersedia mengubah pendiriannya semata-mata untuk meraih sokongan politik.

Jika Pas benar-benar mahu memperjuangkan hukum hudud, Pas sudah pasti tidak akan berganjak daripada perjuangan negara Islam tetapi apa kata Nik Abdul Aziz pada 25 Jun 1999?

Antara lain beliau berkata, "Pas Sedia gugur slogan negara Islam, jadi untuk mencari perdamaian itu, setakat mana yang boleh kita hendak kepada Islam, tapi kalau nampak menyusahkan tak apa...".

Itu kata Nik Abdul Aziz sendiri tetapi kenapa baru sekarang Menteri Besar Kelantan itu hendak bercakap soal hukum hudud? Bukankah dari satu segi ia sudah 'nampak menyusahkan' kerjasama dengan DAP?

Sebenarnya perjuangan untuk melaksanakan hukum berkenaan sudah lama tidak ada dalam diari politik Pas, malahan pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Pas mengeluarkan manifesto bertemakan, ''Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih' Menuju Negara Berkebajikan.''

Kalau Pas Kelantan benar-benar ikhlas untuk melaksanakan hukum hudud mereka sudah berusaha bersungguh-sungguh apabila diberi peluang untuk memerintah Kelantan bagi penggal kelima pada pilihan raya umum lalu.

Tetapi Pas tidak berbuat demikian sebaliknya tumpuan utama parti itu termasuk di Kelantan ialah membantu pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).

Malahan sepanjang keterujaan ke Putrajaya berkenaan tidak ada satu pun konvensyen , seminar atau muktamar dianjurkan oleh Pas bagi menunjukkan keseriusan mereka untuk melaksanakan hukum hudud.

Maknanya, jelaslah apa yang diperkatakan oleh Nik Abdul Aziz hanyalah mainan politik Pas Kelantan sahaja dalam usaha mengekalkan kuasa pemerintahan di negeri itu.

Bagi Pas pusat pula, walaupun mereka mengetahui bahawa tindakan Nik Abdul Aziz hanya akan mencetuskan polemik dengan DAP tetapi mereka pastinya akan mendiamkan diri.

Ia kerana sekurang-kurangnya tindakan Nik Abdul Aziz itu boleh meredakan ketegangan akibat isu yang dicetuskan oleh Mohamad Sabu.

Kalau benar Pas bersama-sama Nik Abdul Aziz mahu memperjuangkan hukum hudud dan negara Islam sudah pasti Pas tidak akan bersedia bekerjasama dengan DAP sejak awal lagi.

Pas sudah tahu pendirian konsisten DAP dalam soal berkenaan tetapi Pas bersedia bekerjasama dan seterusnya menggadaikan segala-galanya kerana Pas tidak mahu ketinggalan 'kapal kekuasaan' yang sedang diusahakan oleh pakatan pembangkang.

Jika Pas menganggap bahawa polemik dengan DAP bukanlah usaha untuk mengalih isu, maka Nik Abdul Aziz sebagai tokoh yang paling dihormati dalam Pas perlu membuat kenyataan untuk mendesak Pas keluar daripada pakatan pembangkang.

Tindakan itu bukannya aneh kerana pada tahun 1990, Pas yang terlalu ingin berkuasa bersedia bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat (S46) dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) tetapi enggan bekerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif.

Jika tindakan ini tidak dilakukan, maka anggaplah sahaja apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz hanyalah sekadar sandiwara politik menjelang pilihan raya semata-mata dan ia akan sunyi kembali apabila pilihan raya berakhir.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved