Utusan Online - Kota |
- Peniaga, pengunjung bimbang
- Samun: Polis edar gambar 2 lelaki
- RapidKL edar 500 kupon percuma untuk naik LRT, KL Monorel
Posted: Peniaga, pengunjung bimbangOleh ABDUL RAZAK IDRIS KOMPLEKS PKNS d Shah Alam selama ini menjadi tumpuan pengunjung untuk mendapatkan barangan pada harga berpatutan. SHAH ALAM 23 Sept. – Rata- rata peniaga di Kompleks PKNS di sini bimbang dengan rancangan untuk menaikkan kadar sewa pejabat dan lot kedai di situ pada Januari tahun depan. Kebimbangan mereka dirasai sama oleh pengunjung yang bimbang mereka terpaksa menanggung kenaikan harga barangan dan perkhidmatan akibat kenaikan kadar sewa. Kenaikan sewa lot perniagaan di kompleks tersebut dikaitkan dengan penjualan tiga aset milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu Kompleks PKNS, SACC Mall di sini dan Menara PKNS di Petaling Jaya kepada sebuah syarikat pelaburan, Amanah Raya Real Estate Investment Trust (ARREIT). Menurut seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Abang Mat, dia menerima surat pada 12 September lalu menyatakan sewa tapak kedainya akan dinaikkan pada tahun depan atas alasan mengikut kadar sewa bangunan sekitar. "Apa yang dipersoalkan surat pemberitahuan sewa naik menyatakan tentang pengambilalihan tiga bangunan milik PKNS oleh syarikat pelaburan tersebut. Mengapa tiba-tiba timbul cerita kenaikan sewa seolah-olah ada udang di sebalik batu. "Kenaikan sewa dengan alasan ingin membuat pengubahsuaian ruang perniagaan secara berperingkat bukanlah alasan kerana kompleks ini mempunyai keunikan tersendiri untuk menarik kehadiran pengunjung," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berharap kenaikan sewa lot kedai ditangguhkan kerana bimbang ia akan menjejaskan sambutan pengunjung. Katanya, ini kerana peniaga terpaksa menaikkan harga barang bagi menyerapkan kenaikan sewa lot kedai. Seorang penyewa lot pejabat yang ingin dipanggil sebagai Tuan Haji menganggap keputusan menaikkan sewa selepas Hari Raya Aidilfitri dan menjelang sesi baru persekolahan awal tahun hadapan sebagai tidak masuk akal. "Tindakan menaikkan sewa seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi untuk meminta penyewa keluar secara sukarela jika enggan mematuhinya," katanya. Seorang pengunjung, Noor Hisham Shaharom, 38, berharap sewa tidak dinaikkan dalam masa terdekat kerana ia akan menyebabkan harga barang yang dijual dinaikkan. "Saya bersimpati dengan para peniaga yang terpaksa menyerap kenaikan sewa 100 peratus. Sepatutnya PKNS bermuzakarah dengan peniaga agar situasi menang-menang dapat diwujudkan," katanya. Eddie Idris, 30, pula berkata, PKNS sepatutnya tidak terlalu terikut dengan kadar kenaikan sewa bangunan sekitar kompleks tersebut kerana dalam keadaan ekonomi sekarang, peniaga masih berusaha untuk menstabilkan perniagaan mereka. |
Samun: Polis edar gambar 2 lelaki Posted: Samun: Polis edar gambar 2 lelakiSHAH ALAM 23 Sept. - Polis hari ini mengedarkan gambar dua lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes samun wang tunai berjumlah RM938,085 membabitkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 16 September lalu. Dua lelaki terbabit, T. Sritharan yang memegang kad pengenalan bernombor 790131-14-5015 dengan alamat terakhirnya di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh manakala D. Nagarajan (770408-02-6273) yang mempunyai dua alamat iaitu di Bandar Sri Damansara dan Sri Petaling, dekat sini. Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, Nagarajan didapati memiliki rekod jenayah dan pernah ditahan membabitkan kes samun pada 2009. "Justeru, kami minta ahli keluarga atau rakan-rakan dua individu itu tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi terus pegawai penyiasat Asisten Supritendan Zaharul Idris di talian 019-6664953 bagi membantu siasatan," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di sini hari ini. Tun Hisan turut memaklumkan bahawa pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu termasuk membabitkan tiga pegawai SPRM berusia antara 20-an dan 35 tahun yang telah ditahan pada 19 September lalu. Tiga pegawai terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor apabila hadir untuk memberi keterangan selepas dipercayai terbabit dalam kes samun seorang pengurup wang warganegara asing yang masuk ke negara ini bagi urusan perniagaan. Mengenai dakwaan salah seorang daripada suspek yang ditahan bergelar Datuk, Tun Hisan menafikan perkara itu sebaliknya mengakui mereka yang ditahan antaranya berpangkat Asisten Komisioner. |
RapidKL edar 500 kupon percuma untuk naik LRT, KL Monorel Posted: RapidKL edar 500 kupon percuma untuk naik LRT, KL MonorelKUALA LUMPUR 23 Sept. - Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) hari ini mengedarkan 500 kupon percuma kepada pengguna perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan KL Monorel di Stesen Bukit Jalil menghala ke Gombak, hari ini. Pemberian kupon percuma bagi perjalanan sehala ini adalah antara aktiviti Kempen Kurang Kenderaan, Kurang Pencemaran anjuran RapidKL bersempena dengan Hari Bebas Kenderaan Sedunia. Kupon tersebut boleh digunakan pada hujung minggu atau cuti umum ke mana-mana stesen LRT dan KL Monorel dan sah sehingga 31 Disember tahun ini. Jurucakap Rapid KL berkata, ini adalah antara usaha pihaknya untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dalam menyokong Hari Bebas Kenderaan Sedunia. Program itu juga mendapat kerjasama radio Era FM dan disiarkan secara langsung pada program Riuh Pagi Era. Tiket percuma ini diberikan oleh, pengacara dan deejay radio terkenal, Aznil Nawawi. Pengguna boleh melayari Facebook RapidKL di www.facebook/myrapid atau Twitter RapidKL di MyRapidKL untuk mengetahui tarikh pemberian kupon percuma seterusnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan