Jumaat, 23 September 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Panggilan telefon tertuduh dikesan

Posted:

Panggilan telefon tertuduh dikesan

Panggilan telefon tertuduh dikesan

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 23 Sept. – Nombor telefon bimbit yang didaftarkan atas nama firma guaman milik N. Pathmanabhan dikesan membuat beberapa panggilan di sekitar kawasan Subang Jaya antara pukul 9.55 malam dan 11.46 malam pada hari Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi didakwa dibunuh.

Pakar Teknologi di Bahagian Keselamatan, Maxis Mobile Sdn. Bhd., Ahmad Safuan Shaharani, 32, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini berkata, panggilan daripada nombor 012-2051243 dibuat kepada dua nombor telefon bimbit lain serta peti simpanan suara.

Menurutnya, kesemua panggilan yang dibuat daripada nombor yang didaftarkan atas nama Pathma Nalli & Patners itu berjaya disambungkan berdasarkan bayaran yang dikenakan bagi setiap panggilan tersebut.

''Pada pukul 9.55 malam, 30 Ogos 2010, nombor itu (dikesan) membuat panggilan kepada nombor 016-2123641 selama 12 saat dan pemanggil berada di Subang Jaya.

''Pada pukul 10.30 malam hari yang sama, nombor tersebut membuat panggilan kepada nombor peti simpanan suara. Panggilan itu berjaya dan pemanggil berada di SS12, Subang Jaya,'' jelas beliau semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimul Azami Mohamad Nor.

Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Keterangan dua saksi yang merupakan anggota polis sebelum ini mengesahkan kereta BMW dengan nombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil ditemui di tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, berhampiran Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada 6 September tahun lalu.

Sementara kereta BMW X5 hitam dengan nombor pendaftaran WTL 11 yang dinaiki Sosilawati dan Kamaruddin pula ditemui di Flat Angsana, USJ 1, Subang Jaya pada hari yang sama.

Menurut Ahmad Safuan, panggilan dibuat sekali lagi kepada nombor 016-2123641 pada pukul 11.12 malam dengan pemanggil ketika itu berada di SS15, Subang Jaya.

Sementara pada pukul 11.19 malam pula, nombor tersebut membuat panggilan kepada nombor lain iaitu 019-2689282 ketika berada di SS17 Subang Jaya.

Kata saksi pendakwaan ke-46 itu juga, panggilan terakhir dibuat pada pukul 11.46 malam kepada nombor yang sama dari SS12, Subang Jaya.

''Nombor 012-2051243 juga turut menerima panggilan daripada 019-2689282 pada pukul 10.26 malam, hari yang sama,'' katanya lagi.

Menurut saksi, rekod panggilan menunjukkan nombor firma guaman tertuduh pertama itu juga membuat panggilan ke nombor 019-3124041 pada pukul 1.33 petang sebelum itu di Pekan Teluk Datok, Banting.

Jelasnya, satu khidmat pesanan ringkas (SMS) turut dihantar menggunakan nombor itu kepada nombor telefon bimbit yang didaftarkan atas nama Sosilawati pada pukul 7.53 malam melalui stesen pemancar Batu Laut 2, Banting.

Kata Ahmad Safuan, selain mencetak perincian pelanggan, rekod panggilan dan SMS bagi nombor milik firma guaman Pathmanabhan, dia juga melakukan perkara yang sama bagi tiga lagi nombor iaitu 012-2222541, 012-9775266 dan nombor yang didaftarkan atas nama anak jutawan kosmetik itu, Erni Dekritawati Yuliana Buhari.

Sementara itu, beberapa minit selepas prosiding hari ini bermula, mahkamah tiba-tiba dikejutkan oleh bunyi tembakan meriam sempena majlis keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah selepas mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari di Selangor.

Tembakan meriam yang dilepaskan di Dataran Dewan Undangan Negeri Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang terletak bersebelahan dengan kompleks mahkamah itu menyebabkan satu mentol lampu berhampiran tempat duduk Hakim Datuk Ahtar Tahir terjatuh.

Hakim Akhtar kemudian menangguhkan seketika prosiding bagi memberi laluan sehingga tembakan sebanyak 21 das itu selesai.

Perbicaraan yang masuk hari ke-33 hari ini bersambung Isnin ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved