Utusan Online - Timur |
- Cuba redah api, selamatkan buku
- Urusan terima aduan air dikendalikan swasta
- PGM rampas 14 ekor lembu seludup
Cuba redah api, selamatkan buku Posted: Cuba redah api, selamatkan bukuOleh SITI AIRUNNISA ALAUI Mangsa, Muhammad Zamani Mansor ditenangkan oleh anggota bomba dan penduduk kampung setelah gagal menyelamatkan buku dan pakaian sekolah selepas rumahnya hangus dijilat api. – UTUSAN/AZLAN BAHRUM KUALA TERENGGANU 22 Sept. – Ketika api marak membakar sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Beng di sini semalam, seorang kanak-kanak sanggup membahayakan nyawanya untuk meredah api semata-mata ingin menyelamatkan buku dan pakaian sekolahnya. Namun tindakan Muhammad Zamani Mansor, 10, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Komplek Gong Badak itu dihalang anggota bomba dan jirannya. Dia yang kelihatan tidak bermaya ditenangkan anggota bomba wanita yang bertugas ketika itu dan penduduk kampung. Rumah dua tingkatnya yang dihuni tiga keluarga seramai 11 orang termasuk keluarga Muhammad Zamani musnah dalam dalam kebakaran kira-kira pukul 5 petang dan penghuninya tinggal sehelai sepinggang. "Api kuat sangat masa hendak ambil buku sekolah. Macam mana hendak pergi sekolah esok sebab buku, baju sudah tiada. Saya takut cikgu marah," katanya yang ditemui di tempat kejadian di sini, semalam. Anggota bomba berusaha mengawal api di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Terengganu, semalam. Menurut, bapa saudara Muhammad Zamani, yang turut tinggal di rumah sama, Mat Su Ibrahim, 57, memberitahu api bermula dari sebuah bilik di tingkat atas yang disedarinya ketika naik untuk solat Asar. "Saya terkejut apabila melihat api telah marak di sebuah bilik milik anak saudara yang jarang-jarang digunakan itu. Ketika kejadian, tujuh orang ada di dalam rumah itu namun hanya saya yang berada di tingkat atas. "Saya segera turun ke tingkat bawah dan minta semua ahli keluarga keluar menyelamatkan diri," ujarnya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamed Kassim memberitahu, pihaknya menerima panggilan kebakaran di lokasi kejadian pada pukul 5.08 minit dan tiga buah jentera dengan 18 orang anggota diarahkan ke tempat kejadian. "Ketika tiba 80 peratus rumah terbabit telah hangus terbakar dan sehingga kini punca masih lagi disiasat dan anggaran kerugian tidak kurang RM100,000," katanya. Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman turut melawat keluarga itu dan menghulurkan sumbangan. |
Urusan terima aduan air dikendalikan swasta Posted: Urusan terima aduan air dikendalikan swastaKUALA TERENGGANU 22 Sept. - Terengganu menjadi negeri pertama menyerahkan urusan menerima aduan pengguna berhubung masalah bekalan air kepada syarikat swasta bagi memendekkan tempoh yang diambil untuk mengatasi masalah berkenaan. Melalui kerjasama yang dimeterai, pusat panggilan Talian Aduan Syarikat Air Terengganu (SATU) kini dikendalikan Syarikat VADS Bhd., rakan penyumberan luar pusat panggilan pelanggan terkemuka di negara ini. Selain menerima panggilan masuk, VADS akan menyalurkan maklumat, pertanyaan atau aduan yang diterima kepada pejabat-pejabat SATU daerah, melakukan panggilan susulan kepada pelanggan serta memaklumkan perkembangan masalah mereka. Setiap masalah yang dikemukakan berhubung bekalan air di negeri ini dijangka dapat diatasi dalam tempoh sehari atau paling lama tiga hari jika masalah tersebut lebih serius. Majlis menandatangani perjanjian dan pelancaran Talian Aduan SATU, antara SATU yang merupakan syarikat milik kerajaan negeri dan Syarikat VADS Bhd disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di sini, hari ini. SATU diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Husain Embong manakala VADS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ghazali Omar. Serentak dengan itu juga, Ahmad menyempurnakan pelancaran Talian Aduan Satu 1-300-88-2111 sebagai salah satu lagi usaha memastikan pengguna air di negeri itu mendapat perkhidmatan terbaik. Bagi mengelakkan masalah kesukaran komunikasi di antara pelanggan, seramai sembilan kakitangan disediakan di pusat panggilan Talian Aduan SATU yang terdiri daripada anak-anak negeri yang lebih memahami loghat, budaya dan kehendak pelanggan di negeri itu. Husain berkata, walaupun secara fizikalnya pusat pengendalian itu berada di Kuala Lumpur, namun para pelanggan SATU tidak akan menghadapi masalah komunikasi. "Dalam tempoh enam bulan percubaan menggunakan talian itu mulai November tahun lalu, kami menerima lebih 22,000 aduan melibatkan paip bocor, gangguan bekalan dan akaun bil air dan daripada jumlah itu 95 peratus dapat diselesaikan," katanya. Dalam pada itu, Ahmad berharap rakyat negeri itu dapat memanfaatkan penggunaan talian aduan dengan bersikap lebih sensitif untuk membantu SATU dengan melaporkan kesulitan mahupun masalah yang dihadapi berkaitan bekalan. |
PGM rampas 14 ekor lembu seludup Posted: PGM rampas 14 ekor lembu seludupANGGOTA PGM Pengkalan Kubor merampas lembu seludup dalam serbuan di Kampung Atas Kok, Simpangan, Tumpat, baru-baru ini. TUMPAT 22 Sept. - Hasrat sekumpulan penyeludup untuk membawa masuk lembu ke negeri ini tidak kesampaian apabila kegiatan haram itu dihidu oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor di sini, malam kelmarin. Dalam operasi di Kampung Atas Kok, Simpangan itu, PGM merampas 14 ekor lembu dari jenis Brahman yang bernilai RM42,000. Pegawai Pemerintahnya, Deputi Supritendan Tan Cheng San berkata, operasi membanteras penyeludupan itu melibatkan lapan anggota yang membuat intipan selama dua jam di tempat kejadian. "Pihak kami menerima maklumat pada pukul 7.30 petang. Hasil intipan selama hampir dua jam, kami ternampak enam lelaki yang dipercayai penyeludup sedang menarik lembu-lembu tersebut menyeberangi Sungai Golok. "Sebaik sahaja sampai di kawasan sawah di Kampung Atas Kok, anggota PGM telah melakukan serbuan, bagaimanapun enam lelaki tersebut melarikan diri dan meninggalkan haiwan tersebut," katanya. Dalam pada itu, Chen San memberitahu pihaknya tidak menolak kemungkinan permintaan tinggi di pasaran menjelang Hari Raya Aidiladha menyebabkan penyeludupan haiwan itu meningkat. "Kita percaya kesemua lembu ini adalah untuk pasaran tempatan dan setiap seekor lembu ini dijual dengan harga RM3,000 di pasaran tempatan," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan