Sabtu, 6 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Tindakan berani untuk negara

Posted:

Tindakan berani untuk negara

Tindakan berani untuk negara

MELIHAT kepada jumlah penduduk Malaysia yang mencecah 28 juta adalah menakutkan jika benar jumlah warga asing mungkin mencecah sehingga enam juta sekarang.

Atas alasan ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen telah melaksanakan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P dan sebelumnya Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang sah.

Ini menurut Menterinya DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN adalah satu keperluan yang amat penting bukan saja untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara tetapi pada masa yang sama mengekang jenayah antarabangsa yang serius seperti pemerdagangan manusia dan ancaman keganasan.

Dalam pertemuan bersama wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL HAMID yang berlangsung di pejabatnya di Putrajaya, Hishammuddin turut sama menceritakan pengalamannya dalam menangani perhimpunan Bersih 2 dan isu-isu berkaitannya, persoalan mengenai KDN tidak tegas serta usaha kerajaan untuk lebih rasional dan cerdik dalam bagaimana mahu berkomunikasi dengan rakyat.

MINGGUAN: Bagaimana sambutan pihak majikan terhadap penggunaan program 6P?

HISHAMMUDDIN: Bagi saya secara ikhlas ia adalah lebih baik dari yang saya sangka. Ini kerana saya tidak menyangka bahawa pihak majikan akan menyambut baik proses pendaftaran ini kerana ia sebenarnya menyusahkan mereka. Keduanya, mereka selalu beranggapan bahawa jika tidak ada pekerja asing, mereka boleh dapat yang baru dan ia lebih mudah. Ketiganya rekod pekerja-pekerja ini akan direkodkan oleh pihak kami maka segala perkara negatif seperti penyelewengan, penderaan oleh majikan dan pelbagai lagi akan lebih mudah dikenalpasti.

Maka bila kita dapat jumlah sebenar pekerja yang sah semasa pendaftaran melalui majikan yang tampil ke hadapan, jumlahnya agak besar. Malah saya banyak menerima aduan dari pihak majikan mengenai masalah mereka dan tidak semestinya aduan mereka itu negatif. Malah saya lebih bimbang jika mereka tidak peduli. Oleh itu jika terdapat aduan dari mereka bermakna mereka berminat untuk mendaftar secara sah. Jadi secara peribadi ia lebih baik dari yang saya sangka namun kita akan terus perhatikan dalam tempoh terdekat apakah mereka ini akan terus menunjukkan komitmen yang sama.

Tidakkah bila kita membuka pendaftaran kepada pendatang tanpa izin ini bermakna kita terlalu berlembut?

HISHAMMUDDIN: Bagi saya dunia sudah semakin terbuka. Masalah globalisasi dan dunia tanpa sempadan sekarang memberi makna manusia, wang ringgit dan barangan bergerak di seluruh dunia tanpa sempadan. Dan perkara ini dari segi keselamatannya membawa kesan kepada jenayah antarabangsa yang begitu serius. Ini termasuklah penyeludupan dan pemerdagangan manusia, dadah, pelacuran, senjata, isu-isu berkaitan dengan keganasan dan terorisme, penggubahan wang haram, isu berkaitan dengan jenayah siber, dan pelbagai lagi. Ini antara jenayah yang datang bersama dengan globalisasi. Sebagai contoh seorang anggota pengganas yang baru diusir berasal dari Indonesia. Dia ditangkap di sini dengan pasport bernama Agus dan sudah di usir balik.

Dia melaporkan pasportnya hilang dan ia disahkan oleh ketua kampung dan kemudian dapat pasport baru dengan nama Halim. Bila dia masuk ke sempadan negara ini melalui Medan kemudian ke Bangkok dan datang ke Malaysia, pegawai Imigresen mendapati pasport tulen, gambar sama. Tetapi dengan adanya sistem biometrik, sudah pasti jenayah sebegini tidak akan berterusan. Satu lagi sekarang ini ramai majikan yang memegang pasport pembantu rumah untuk mengelak mereka lari. Ini kerana mereka boleh dapatkan pasport baru dan ini bukan hanya di Indonesia sahaja tetapi di mana-mana negara sekalipun. Bagi pendatang tanpa izin sebab itu kita laksanakan sistem 6P ini yang prosedurnya adalah pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran. Mereka ini perlu datang sendiri dan kemudian mendaftar dan kemudian akan disalurkan di sektor tertentu yang memerlukan khidmat mereka. Kalau tidak mereka akan terus berada di negara ini secara haram dan kemudian akan terus dieksploitasikan oleh majikan mereka. Seterusnya mereka tidak akan kembali ke negara asal atas pelbagai alasan seperti gaji yang lumayan atau mungkin sudah berkahwin.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tidak tegas, Bersih 2 dan belajar dari pengalaman

Posted:

Tidak tegas, Bersih 2 dan belajar dari pengalaman

Tidak tegas, Bersih 2 dan belajar dari pengalaman

TAPI Datuk Seri, masyarakat melihat bila tempoh dilanjutkan ia seolah-olah KDN tidak berlaku tegas?

HISHAMMUDDIN: Bagi saya ia adalah soal strategi. Saya belajar dari pengalaman sebelum ini kerana masyarakat kita ini selalu bertindak di saat-saat akhir. Nanti kita juga akan disalahkan. Tapi bila kita lanjutkan saya rasa kita tidak mampu selesaikan permohonan dua juta ini dalam masa yang singkat. Tetapi bila dilanjutkan kita akan pantau komitmen majikan dan pekerja tanpa izin ini. Bila kita tetapkan tarikh penamat nanti, mereka tidak akan ada alasan lagi. Bagi saya realitinya saya mahukan hasil dan penyelesaian, tetapi bukan melalui menetapkan tarikh tertentu. Masyarakat akan beri berbagai alasan dan selalunya mereka lakukan di saat-saat akhir. Bila sampai masa yang sesuai nanti saya akan tetapkan tarikh dan tidak akan ada sebarang alasan lagi untuk diterima. Langsung tidak timbul isu pihak kami mendapat tekanan dari pihak tertentu.

Perkara ini sudah timbul sejak sekian lama dan ia berlaku lama sebelum saya memegang kementerian ini. Saya sudah buat groundwork lebih setahun lalu dan berbincang dengan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Manusia dan beberapa lagi. Oleh kerana itu saya beri ruang untuk pihak seperti majikan untuk berlaku adil kepada mereka dan mereka juga perlu berlaku adil kepada pihak kami. Jika saya tidak buat tindakan ini kesannya nanti akan lebih banyak permintaan untuk pekerja asing yang kemudian boleh mengancam keselamatan negara jika kita tidak kawal dari sekarang. Selama ini pun seolah-olah tidak ada sistem khusus kerana ada antara pekerja asing ini yang permit mereka adalah bekerja di sektor perladangan tetapi kemudian lari bekerja sebagai tukang masak dan macam-macam lagi. Perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan lagi berlanjutan.

Selepas perhimpunan haram Bersih, ada pihak seolah-olah cuba meneruskan momentum tersebut. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

HISHAMMUDDIN: Sebenarnya memang itu tujuan mereka. Bagi saya sebagai menteri yang bertanggungjawab, perjalanan sebelum 9 Julai itu keadaan sebenar adalah lebih tertekan berbanding sebelumnya. Ini kerana majoriti rakyat faham kerana mereka sudah tahu apa yang cuba diperjuangkan tidak ada kena mengena dengan sistem pilihan raya yang adil. Pelbagai alasan yang diberikan walaupun pihak kerajaan sudah menawarkan stadium tetapi mereka menolak.

Rakyat juga faham bahawa mereka ini sanggup melakukan apa saja untuk mencemarkan nama baik polis, kerajaan dan negara dengan menggunakan pelbagai kaedah baru seperti facebook, twitter dan lain-lain. Rakyat juga sudah faham bahawa tujuan mereka adalah untuk mencemarkan nama baik negara dengan menganjurkan protes dan demonstrasi di dalam dan luar negara selain menggunakan media Barat sebagai medium mereka.

Mereka juga berlakon dengan pelbagai cara seperti menggunakan kerusi roda dan membalut leher hanya untuk memburukkan negara. Oleh itu rakyat perlu faham apa yang dilakukan selepas kejadian 9 Julai itu hanya untuk meneruskan momentum dan agenda politik mereka oleh itu saya pohon rakyat jangan terperangkap dan pihak kerajaan akan terus memberi penjelasan berterusan. Namun begitu saya akui bahawa cara kita menggunakan media baru ini masih lagi lemah. Kalau nak dibandingkan dengan apa yang berlaku di luar negara seperti di Belfast ketika saya berada di Britain bersama Perdana Menteri, cara pihak berkuasa mereka menangani kejadian itu lebih teruk lagi. Dan saya pelik kenapa pihak pembangkang tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku di sana dan membandingkan dengan kejadian perhimpunan Bersih tempoh hari.

Apakah yang menjadi pertimbangan kerajaan dalam berhadapan dengan perhimpunan haram Bersih tempoh hari?

HISHAMMUDDIN: Sebenarnya niat mereka adalah mahu memburuk-burukkan imej negara dan tidak bersikap adil terhadap kerajaan. Namun Perdana Menteri telah begitu komited dalam melakukan perubahan. Mereka hanya memutar belit apa yang cuba kita lakukan. Bila kita beri stadium mereka tak nak dan kemudian nak buat di Stadium Merdeka tetapi nak juga berarak untuk ke Stadium Merdeka. Hasilnya sama juga. Bila kita nak laksanakan sistem biometrik mereka kata tak sesuai pula dan nak penggunaan dakwat kekal. Kalau rakyat fikir dengan sedalamnya mereka boleh melihat apakah benar pihak ini ikhlas dalam memperjuangkan pilihan raya lebih bersih. Hakikatnya dibelakang isu itu ia melibatkan kepentingan dan pakatan politik. Tapi bagi saya keadaan sebelum 9 Julai itu lebih menekan kerana mereka mahu bina imej buruk terhadap kerajaan dengan mahu mereka ditangkap di bawah ISA. Mereka sebenarnya mahu kerajaan ambil tindakan keras terhadap mereka supaya mereka boleh jaja kerajaan dan undang-undang negara zalim ke seluruh dunia. Namun semua perlu faham bahawa dunia sudah berubah dan pihak pembangkang cuba membina politic of deception dengan cuba melakukan pelbagai persepsi dan cerita buruk dan tidak benar dan menyebarkannya melalui media baru. Tapi yang lebih membimbangkan terdapat pihak-pihak tertentu yang berkemungkinan menggunakan demonstrasi ini untuk memporak-perandakan negara ini. Ini adalah satu risiko yang kita tidak boleh ambil mudah.

Perkara sebegini boleh dijadikan isu besar oleh Barat yang tidak faham kehidupan di negara majmuk seperti Malaysia dan mereka akan memperbesar-besarkan isu ini. Perkara sebegini yang cuba dielakkan oleh kepimpinan Perdana Menteri malah Yang Dipertuan Agong sendiri cuba berbuat yang terbaik untuk memastikan keselamatan, harta benda dan nyawa rakyat pelbagai kaum tidak menjadi pertaruhan. Perkara inilah yang menjadi pertimbangan utama Perdana Menteri dan soal keselamatan adalah bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan.

Datuk Seri ada bercakap mengenai dunia sudah berubah. Boleh jelaskan?

HISHAMMUDDIN: Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kerajaan tidak akan membiarkan perkara buruk berlaku namun pada masa yang sama kita juga perlu mencari kaedah-kaedah lain yang tidak akan menjejaskan kehidupan masyarakat. Kita akur dengan keadaan baru dunia sekarang dan akan mencari jalan untuk memberi ruang kepada masyarakat. Mungkin untuk menangkap mereka ini dengan menggunakan ISA tidak lagi sesuai dan sudah berlalu dan ia hanya boleh digunakan terhadap kes-kes yang boleh mengancam negara seperti keganasan dan pemerdagangan manusia. Ia bukan dilakukan atas dasar perkauman, politik dan sebagainya malah saya tangkap sendiri pegawai imigresen yang melakukan kesalahan seperti ini. Oleh itu kerajaan Barisan Nasional perlu lebih rasional dan cerdik dalam bagaimana mahu berkomunikasi dengan rakyat. Jika perhimpunan Bersih 3 mahu dianjurkan sekurang-kurangnya kita sudah belajar dari pengalaman.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved