Utusan Online - Pahang |
Posted: RM22j baiki jalanOleh M.RIZAL NOR JERANTUT 6 Ogos - Kerajaan memperuntukkan RM22 juta untuk membaiki dan menyelenggara jalan utama yang menghubungkan bandar ini dengan Benta, Lipis, dekat sini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, peruntukan tersebut hanya digunakan untuk membaiki dan menyelenggara jalan dan bukannya membina jalan baru. "Jalan Jerantut-Benta rosak teruk dan saya dihujani dengan pelbagai aduan serta tohmahan terutama dalam laman sosial Facebook. "Penduduk menuduh saya tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sedangkan kerja untuk membaiki dan membina jalan baru menggunakan peruntukan banyak dan wang tersebut datangnya dari kerajaan Pusat," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini. Lau Lee berkata, beliau kesal dan kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang sentiasa membuat tuduhan tidak berasas terhadap wakil rakyat apabila kehendak mereka tidak ditunaikan terutama masalah jalan raya. "Saya mengakui bahawa kerosakan jalan tersebut agak teruk namun, berharap penduduk bersabar kerana peruntukkan untuk membina jalan baru masih belum diterima," katanya. Menurutnya, peruntukan RM5 juta yang diterima sebelum ini digunakan untuk membina dua jambatan baru di Kampung Baharu dan Damak dekat sini. Beliau memberitahu, kerosakan di jalan tersebut disebabkan takungan air setiap kali hujan dan sering dijadikan laluan kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan. Katanya, masalah hujan tidak boleh dielak tetapi kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan boleh diatasi dengan adanya pemantauan daripada pihak berkuasa. "Saya menyeru pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat pemantauan kerana kenderaan berat sering menggunakan laluan tersebut dengan membawa muatan yang tidak sepatutnya dan turut mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain," katanya. | ||
Waspada kes pecah rumah - Polis Posted: Waspada kes pecah rumah - Polis
JERANTUT 6 Ogos - Polis meminta penduduk daerah ini agar sentiasa berwaspada dengan jenayah membabitkan kes pecah rumah terutamanya ketika pulang bercuti pada musim perayaan di kampung halaman masing-masing. Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zakaria Kassim, kes pecah rumah dan kecurian antara jenayah yang kerap berlaku setiap kali musim perayaan, khususnya ketika penduduk pulang ke kampung atau bercuti. "Rumah yang ditinggalkan terdedah dengan kejadian jenayah dan untuk itu, polis akan kerap turun padang mendekati masyarakat sambil menyebarkan risalah untuk orang ramai mengambil langkah berwaspada," katanya selepas mengedarkan risalah Bersama Memerangi Jenayah Bersama Polis dan Komuniti kepada pengunjung di Bazar Ramadan di sini, baru-baru ini. Turut hadir, Setiausaha Majlis Daerah Jerantut, Wan Norizan Wan Badaruzzaman. Menurut Zakaria, mereka yang ingin bercuti digalakkan melaporkan ketiadaan mereka pada jiran dan balai polis berdekatan supaya kediaman itu dapat diawasi. "Kegembiraan pulang ke kampung untuk memeriahkan sambutan hari raya tidak bermakna jika seseorang itu cuai dan mengambil mudah risiko keselamatan kediamannya," katanya. | ||
Peniaga jangan ambil kesempatan Posted: Peniaga jangan ambil kesempatanTEMERLOH 6 Ogos - Peniaga bazar Ramadan dinasihatkan tidak mengaut keuntungan berlebihan sepanjang bulan ini kerana perbuatan itu bertentangan dengan syariat Islam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Inovasi dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, mereka perlu bertimbang rasa dengan menjual harga berpatutan kepada pengguna. "Selain itu, peniaga perlu menyediakan makanan berkualiti dan bersih, bukannya dimasak sambil lewa semata-mata mendapat keuntungan kerana ia boleh mengancam kesihatan pengguna. "Perbuatan seperti itu tidak baik kerana salah dari segi niat berniaga pada bulan puasa untuk membantu umat Islam membeli juadah berbuka puasa," katanya kepada pemberita selepas melawat bazar Ramadan bandar Temerloh di sini, semalam. Beliau juga meminta peniaga mempamerkan tanda harga pada barangan jualan masing-masing kerana didapati masih terdapat kalangan mereka tidak berbuat demikian. Selain itu, beliau menerima banyak rungutan daripada pengguna berikutan terdapat makanan yang dijual oleh peniaga, basi dan tidak sempat dimakan pada waktu sahur. Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Datuk Tarif Abdul Rahman berkata, terdapat 321 peniaga berniaga di bazar itu sepanjang bulan Ramadan ini dan meminta mereka menjaga kebersihan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan