Utusan Online - Dalam Negeri |
- Alauddin tangkis spekulasi
- Jabatan Penjara arah kursus motivasi dihentikan
- Bekalan kelapa ditambah tiga juta biji
Posted: Alauddin tangkis spekulasiOleh NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA 5 Ogos - Presiden Mahkamah Rayuan kelapan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff yang bersara esok, menangkis spekulasi kononnya faktor kesihatan menjadi punca utama beliau memilih untuk bersara setahun lebih awal daripada tarikh persaraan wajib. Alauddin yang bakal menyambut ulang tahun ke-65 pada Ahad ini, sebaliknya menggariskan tiga alasan bagi beliau memilih untuk menjadi Presiden Mahkamah Rayuan yang pertama bersara lebih awal. Beliau menjelaskan, jangka masa perkhidmatan yang panjang selama 40 tahun menyebabkannya memilih untuk meninggalkan 'Istana Kehakiman' lebih awal bagi membolehkannya berehat seketika. Anak kelahiran Kulim, Kedah berkelulusan undang-undang dari Inner Temple, London itu berkata, meskipun keadaan kesihatan adalah satu daripada faktor tersebut tetapi ia bukan pada tahap kritikal. Ujar Alauddin, faktor ketiga yang turut dipertimbangkan adalah rancangan masa depan untuk meneruskan karier dalam bidang berkaitan perundangan seperti timbang tara. Beliau turut sedia menimbangkan pelawaan jika terdapat peluang untuk berkongsi pengalaman sebagai pensyarah. Namun setakat ini, belum ada tawaran dikemukakan oleh mana-mana pihak. ''Memang betul saya memilih bersara awal atas faktor kesihatan tetapi ia bukan sebab utama. Cuma ramai yang membuat macam-macam spekulasi,'' ujar beliau ketika ditemui di Istana Kehakiman di sini hari ini. Selepas bercuti sebulan bermula 5 Julai lalu, Alauddin hadir sesi fotografi bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang turut disertai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria. Beliau berkata demikian ketika ditanya rancangan jangka panjangnya apabila meninggalkan badan kehakiman setelah berkhidmat selama 40 tahun bermula dengan jawatan majistret di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 1971. Beliau dilantik pada 18 Oktober 2008 sebagai Presiden Mahkamah Rayuan kelapan selepas mengambil alih jawatan itu daripada Zaki yang dilantik ke jawatan Ketua Hakim Negara. Berdasarkan hierarki sistem kehakiman negara, Presiden Mahkamah Rayuan merupakan jawatan nombor dua selepas Ketua Hakim Negara. Ia diikuti oleh Hakim Besar Malaya dan disusuli oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak. Kini terdapat tujuh hakim Mahkamah Persekutuan. Alauddin pernah mempengerusikan sidang panel hakim melibatkan sejumlah kes penting termasuk isu perlembagaan yang menjadi nas undang-undang antaranya pertikaian mengenai status Menteri Besar Perak. Menjawab soalan lanjut pemberita, beliau secara tulus berterima kasih terhadap keyakinan yang diberikan oleh kerajaan khususnya Ketua Hakim Negara, sambil melahirkan kegembiraan kerana berpeluang menyumbang bagi meningkatkan imej institusi kehakiman. Sewaktu diminta 'kata-kata' terakhirnya untuk disiarkan media, Alauddin secara berlapik memohon agar kenyataannya tidak disalah lapor sambil merujuk satu peristiwa yang pernah berlaku ketika beliau bertugas sebagai hakim di Alor Setar. Menurut beliau, keputusan kes yang diumumkan olehnya itu disalah lapor menyebabkan dia memanggil wartawan terlibat selain menghubungi akhbar berkenaan bagi membetulkan keadaan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Jabatan Penjara arah kursus motivasi dihentikan Posted: Jabatan Penjara arah kursus motivasi dihentikanKUALA LUMPUR 5 Ogos - Jabatan Penjara mengarahkan semua kursus anjuran Kopen Training Consultant yang mengendalikan program motivasi pencegahan jenayah di Pusat Latihan Penjara Kluang, Johor, dihentikan. Ketua Pengarahnya, Datuk Zulkifli Omar berkata, pihak pengurusan tertinggi jabatan itu juga tidak membenarkan mana-mana pihak lain menggunakan sebahagian atau sepenuhnya modul yang melibatkan pihak penjara untuk melaksanakan kursus, bengkel, seminar atau sebarang program anjuran mereka. Katanya, ia bagi membolehkan kajian semula dibuat terhadap semua aspek termasuk kesesuaian modul dengan latar belakang peserta, maklum balas, perundangan, prosedur, operasi serta bentuk perjanjian dan persetujuan yang akan terlibat. ''Pihak jabatan turut merasakan simulasi kursus membabitkan unsur-unsur sentuhan badan, gunting rambut dan bergari perlu dikaji semula,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Baru-baru ini media melaporkan dakwaan 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda di Johor Bahru dibotakkan, dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan dipaksa menggunakan pakaian banduan semasa menghadiri kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lalu. Menurut Zulkifli, hasil siasatan Lembaga Siasatan Jabatan Penjara yang ditubuhkan dua hari lalu mendapati aduan terdapat penderaan fizikal seperti disepak, ditumbuk, ditempeleng dan dicekik adalah tidak benar. Pihak jabatan, jelas beliau, tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana kakitangan sekiranya hasil siasatan polis mendapati mereka menggunakan kekerasan atau mengambil tindakan di luar batasan Peraturan Penjara serta perundangan terlibat. | ||
Bekalan kelapa ditambah tiga juta biji Posted: Bekalan kelapa ditambah tiga juta bijiPUTRAJAYA 5 Ogos - Kerajaan mengambil langkah drastik dengan mengimport tiga juta biji kelapa bagi memastikan bekalannya mencukupi sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang diberi tanggungjawab ini akan mendapatkan bekalan dari Indonesia dan Thailand. Katanya, dengan penambahan bekalan itu, kementerian memberi jaminan tidak akan berlaku kekurangan bekalan kelapa menjelang hari raya. "Kita mengambil langkah drastik ini memandangkan permintaan bahan mentah itu meningkat pada bulan Ramadan, malah ia akan lebih meruncing menjelang hari raya. "Kelapa yang diimport akan dijual kepada orang ramai melalui pasar tani FAMA yang dibuka diseluruh negara," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat pasar tani di sini hari ini. Menurut Mohd. Johari, peniaga dan juga pemborong yang kekurangan bekalan kelapa boleh berhubung dengan FAMA. "Dengan penambahan bekalan ini, kementerian yakin tidak ada peniaga mahupun pemborong yang dapat mengaut keuntungan dengan menaikkan harga kelapa apabila kekurangan bekalan," katanya. Dalam pada itu, Mohd. Johari berkata, FAMA juga mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Pasar Tani Khas Pra Perayaan yang bertujuan memastikan pengguna memperoleh bekalan makanan yang mencukupi dengan harga berpatutan. Katanya, sebanyak 75 buah pasar tani telah dibuka di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan dan 110 buah Pasar Tani Pra Aidilfitri juga akan beroperasi menjelang hari raya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan