Utusan Online - Timur |
- Pusat labur RM300 juta
- Bilal terima anugerah keluarga mithali terbilang
- Setiap NGO Terengganu dapat RM250,000
Posted: Pusat labur RM300 jutaOleh YULPISMAN ASLI
KOTA BHARU 30 Julai - Kerajaan Pusat merupakan pelabur terbesar di Bandar Baru Tunjong iaitu projek kerajaan Pas Kelantan, membabitkan pelaburan sebanyak lebih RM300 juta bagi membina enam pejabat kerajaan. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaburan terbesar melibatkan pembinaan Terminal Agribisnes Negara (Teman) bernilai RM124 juta di kawasan seluas kira-kira 20.8 hektar yang turut memberi peluang kepada usahawan di kalangan nelayan dan petani tempatan memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna. "Ini adalah satu kejayaan bagi kita di mana nelayan dan petani yang jadi usahawan ada tempat untuk menjalankan perniagaan, jika dahulu mereka berniaga di merata-rata tempat. "Bandar Baru Tunjong ini hampir kesemuanya bangunan milik kerajaan Pusat, maknanya kalau tidak ada kerajaan Pusat kawasan ini tidak dibangunkan. Jadi kita harap rakyat Kelantan akan celik mata, akan melihat apa yang telah kita sumbangkan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Setempat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan Groom Big di Terminal Agribisnes Makanan (Teman) Kota Bharu dekat Tunjong di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) kementerian, Nik Rahmat Nik Taib; Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ahmad Ishak dan Presiden Persatuan Groom Big Kelantan, Che Hasmah Hassan. Groom Big merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk membangunkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan produk mereka secara terus di bawah satu bumbung. Pada majlis itu Mustapa turut menyaksikan dua majlis pertukaran dokumen perjanjian antara Dome Technologies Sdn. Bhd. dengan Sime Darby Food Marketing Sdn. Bhd. dan Dome Technologies dengan FAMA. Mustapa berkata, beberapa jabatan Kerajaan Pusat telah pun membeli tanah di kawasan Tunjong dan sedang mengusahakan peruntukan bagi membolehkan bangunan pejabat dibina. "Sekarang ini kebanyakan jabatan kerajaan di Wisma Persekutuan dan tempat itu sudah pun sesak, tidak ada tempat lagi dan banyak jabatan bercadang untuk berpindah dan antara tempat yang dipilih ialah Tunjong," katanya. Mengenai Groom Big di Teman, Mustapa berkata, ia merupakan yang pertama seumpamanya kerana sebelum ini pengusaha terbabit hanya memasarkan produk mereka secara bergerak di merata-rata tempat. "Kelantan ini terkenal dengan barangan industri asas tani, jadi dengan adanya tempat ini kalau ada mana-mana syarikat atau pasar raya hendak membeli boleh datang ke sini untuk melihat keluaran. Kita harap dengan adanya pusat ini akan meningkatkan lagi hasil jualan kerana itulah matlamat Groom Big supaya usahawan menjadi lebih besar dan berjaya," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Bilal terima anugerah keluarga mithali terbilang Posted: Bilal terima anugerah keluarga mithali terbilang
SETIU 30 Julai - Bilal Masjid Kampung Pondok Paku, Jabi, Mat Yusof Salleh, 61, terpilih menerima Anugerah Keluarga Mithali Terbilang Peringkat Dewan Undangan Negeri Jabi, kelmarin. Bapa kepada empat anak yang kesemuanya berjaya dalam hidup mereka itu menerima wang tunai RM1,000 berserta sijil yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali. Meskipun hidup dalam kemiskinan, Mat Yusof yang juga seorang tukang rumah dan aktif dalam kerja kemasyarakatan masih mampu mendidik anak-anaknya sehingga ke peringkat tinggi. Pada majlis sama yang diadakan di sebuah resort dekat sini, Ab. Halim A. Rahman, 50, yang bekerja sebagai pembantu tadbir pula memenangi Anugerah Keluarga Gemilang sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM700. Sementara itu, Anugerah Keluarga Cemerlang pula dimenangi oleh Che Amat Yaacob, 69, dengan hadiah wang tunai RM500 manakala Anugerah Ibu Tunggal Terbilang dimenangi oleh Wan Rubiah Wan Daud, 52, seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain. Wan Rubiah yang juga aktif dalam kerja kemasyarakatan menerima hadiah wang tunai RM1,000 manakala Anugerah Ibu Tunggal Gemilang pula dimenangi oleh Azizah Ahmad, 53 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM700. Dalam pada itu, seorang bapa tunggal, Zakaria Draman, 62, terpilih memenangi Anugerah Khas Bapa Tunggal dan memenangi hadiah wang tunai RM500 ekoran kegigihannya mendidik lapan anaknya sehingga berjaya. Terdahulu, Ramlan dalam ucapannya berkata, kejayaan penerima anugerah dalam mendidik anak-anak sehingga berjaya meskipun dalam keadaan hidup yang miskin boleh dijadikan model oleh masyarakat. Katanya, pengalaman yang dimiliki dalam membentuk institusi keluarga itu boleh dimanfaatkan bersama anggota masyarakat untuk mewujudkan suasana kehidupan yang lebih harmoni dan sejahtera. "Keharmonian institusi keluarga sebenarnya merupakan antara resipi yang membantu anak-anak untuk berjaya dalam pelajaran mereka meskipun taraf hidup keluarga hanya bergantung kepada kais pagi makan pagi," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Setiap NGO Terengganu dapat RM250,000 Posted: Setiap NGO Terengganu dapat RM250,000KUALA TERENGGANU 30 Julai - Kerajaan negeri bersetuju memberi peruntukan pentadbiran permulaan RM250,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui Majlis Panel Perundingan (MPP) NGO untuk bantuan pentadbiran. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pemberian itu diharap dapat menyemarakkan lagi kegiatan dan aktiviti NGO di negeri ini ke arah membangunkan masyarakat secara keseluruhan. Menurut beliau, kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus menyokong sebarang usaha ke arah meningkatkan kemahiran dan perhubungan kesukarelaan dengan menghantar mereka mengikuti kursus dan latihan kemahiran. Katanya, MPP NGO merupakan badan induk kepada NGO yang ada di seluruh negeri dan kerajaan bersedia membantu dalam bentuk nasihat, tunjuk ajar serta kewangan. "Sehubungan itu, apa juga aktiviti perlu seimbang kerana kekuatan perpaduan dalam kalangan rakyat menjadi teras utama dalam mempertahankan negara yang kita cintai ini,'' katanya. Beliau berkata demikian pada majlis penutup Taklimat Pembangunan Negeri Terengganu kepada Pemimpin NGO di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. habis Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar. Hadir sama, Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri (Makro), Mohd. Zulkifli Muda dan Timbalan Pengerusi MPP, Razali Idris. Menteri Besar berkata, melalui aktiviti NGO juga dapat membantu kerajaan menjayakan program pembangunan modal insan, sekali gus memudahkan proses penyaluran maklumat hingga ke akar umbi. Beliau juga melahirkan rasa yakin dengan kekuatan semangat dan minat mendalam ahli NGO yang akan menjadi penentu kesinambungan dan kelangsungan hayat negara. Kira-kira 500 peserta yang mewakili 26 NGO di bawah MPP NGO menyertai taklimat tersebut. Terdahulu, peserta diberi taklimat mengenai hala tuju dan pembangunan Terengganu oleh Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri menjelang 2020. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan