Utusan Online - Pendidikan |
Pengetua teraju kecemerlangan sekolah Posted: Pengetua teraju kecemerlangan sekolahOleh TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
Pengetua merupakan orang penting yang boleh mencorakkan pencapaian cemerlang sesebuah sekolah melalui keterampilan, dedikasi dan keperibadian yang ada pada dirinya. Ilmu kepengetuaan pula ialah memiliki kemahiran mentadbir dan mengurus, kemahiran sosial, kemahiran berfikir dan lain-lain kemahiran yang boleh membantu mempercepatkan lagi pencapaian dan kecemerlangan sekolah. Demikianlah antara intisari ucapan perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Malaysia kali ke-50 di Subang Jaya, Selangor, Jun lalu. Persidangan tersebut dianjurkan oleh Majlis Pengetua Sekolah Menengah dengan tema 'Kepimpinan Holistik Menjana Transformasi Pendidikan Negara'. Bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020, transformasi dalam bidang pendidikan perlu dilakukan secara berterusan terutama bagi melahirkan modal insan yang holistik yang mampu mengharungi segala cabaran sama ada di peringkat domestik atau global. Tidak dapat dinafikan bidang pendidikan merupakan asas utama kepada pembangunan negara. Dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan pendidikan itu, peranan kepimpinan pengetua sering dijadikan fokus utama. Dalam hal ini pencapaian sesebuah sekolah tidak dilihat dari pencapaian akademik semata-mata tetapi yang lebih penting dapat melahirkan pelajar yang holistik iaitu mempunyai kemahiran intelek, sosial, fizikal dan berkeupayaan menyesuaikan diri dalam apa sahaja situasi dan keadaan. Banyak kajian telah dilakukan untuk melihat faktor kejayaan sesebuah sekolah dan ramai di kalangan mereka berpendapat peranan pengetua dan ditambah memiliki ilmu kepengetuaan adalah faktor yang signifikan. Kepimpinan yang berkualiti dan holistik akan dapat mengubah sekolah yang hanya dalam keadaan biasa kepada sekolah yang berkesan atau cemerlang. Dalam usaha untuk melahirkan sekolah cemerlang itu, ada beberapa kriteria yang perlu dimiliki oleh pengetua, antaranya mereka mestilah merupakan seorang yang berwawasan. Oleh itu, bagi mencapai hasrat tersebut sebagai pemimpin utama di sekolah mestilah mempunyai perancangan dan strategi tertentu. Bagi mencapai hasrat tersebut mereka juga perlu mendapat sokongan dan kerjasama kuat daripada semua peringkat warga sekolah. Bagi mencapai matlamat ke arah negara maju seperti yang digariskan dalam dasar negara, Kementerian Pelajaran telah menyediakan pelan dan garis panduan tertentu untuk dilaksanakan oleh semua sekolah. Justeru pengetua mestilah berupaya untuk memahami dan sentiasa mengamalkan dasar-dasar yang telah disediakan, keupayaan untuk menterjemahkan dasar kepada tindakan memerlukan kemahiran tertentu yang dimiliki oleh pengetua berkenaan. Dari segi peribadi pengetua yang berkesan kebiasaannya memiliki sifat dedikasi, bertanggungjawab, berkeyakinan tinggi dan tidak mudah berputus asa. Kemahiran atau memiliki ilmu kepengetuaan akan dapat membantu pengetua melaksanakan tugas dengan lancar. Pendekatan kepimpinan yang holistik dengan menggunakan pelbagai gaya kepimpinan akan dapat mempengaruhi orang bawahannya supaya bekerja untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Pengurusan sumber manusia terutama keupayaan menguruskan guru dan pelajar secara berkesan akan dapat membantu mencapai matlamat sekolah dengan cepat. Guru merupakan aset penting kepada sekolah. Dengan memberikan 'empowerment' dan kepercayaan akan membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan yakin dan sedia memberi sokongan kepada perancangan yang telah disediakan. Pengetua yang berkesan tidak akan mengabaikan hubungan baik dengan ibu bapa dan komuniti. Pelbagai aktiviti perlu diadakan secara berterusan. Masalah disiplin pelajar, kekurangan dana dan sebagainya dapat diatasi melalui perkongsian pintar dengan pihak-pihak di luar sekolah terutama dengan ibu bapa. Peranan pengetua adalah penting bagi membantu merealisasikan dasar-dasar kerajaan khususnya dalam melahirkan warga negara yang kompeten, bertanggungjawab dan sedia menghadapi cabaran masa depan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
SMK Datuk Penggawa Barat juara empat tahun berturut-turut Kuiz Pelaburan PNB Posted: SMK Datuk Penggawa Barat juara empat tahun berturut-turut Kuiz Pelaburan PNBSEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Penggawa Barat, Johor berjaya mengekal kejuaraan dalam Pertandingan Kuiz Pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk kali keempat berturut-turut. Guru pengiringnya, Norizah Abd. Karim berkata, mereka berasa gembira dan sangat bangga dengan kejayaan yang diperoleh pada pertandingan peringkat kebangsaan sejak 2008. "Kesungguhan para peserta dan usaha gigih mereka dalam memperbanyakkan ulang kaji dan membaca buku-buku berkaitan pelaburan merupakan antara faktor kejayaan pada pertandingan ini. "Selain itu, peserta juga mempunyai keberanian yang tinggi dalam membuat keputusan serta mampu bekerjasama dengan baik dalam menyelesaikan sesuatu masalah," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut di Putrajaya, baru-baru ini. Sekolah ini diwakili oleh tiga pelajar tingkatan lima iaitu Muhammad Iqmal A. Manap, Siti Nursyahira Ismail dan Ummi Hasanah Abu Hasan. Majlis disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. Kemenangan tersebut melayakkan sekolah berkenaan membawa pulang hadiah berupa unit Amanah Saham Gemilang - Pendidikan (ASG-Pendidikan) bernilai RM8,000, piala pusingan dan piala iringan. Naib johan pertandingan itu pula disandang oleh SMK St. Mary, Kuala Lumpur dan SMK Hwa Lian, Pahang di tempat ketiga. Masing-masing membawa pulang unit ASG-Pendidikan bernilai RM5,000 dan RM3,000 serta piala iringan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pendidikan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan