Utusan Online - Selatan |
- Malaysia wajar guna insinerator
- Rungutan harga naik sekadar khabar angin
- Karnival Bazar Raya Ramadan
Malaysia wajar guna insinerator Posted: Malaysia wajar guna insineratorOleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
MELAKA 20 Julai - Isu tapak pelupusan sampah Krubong di sini yang penggunaannya telah mencapai tahap maksimum akan dapat diatasi melalui cara mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula dan menjadikannya bahan mudah reput. Pengurus Teknikal Eksport Sisa Pepejal Bandaraya Kitakyushu, Jepun, Shinsuke Takauchi yang mengemukakan cadangan itu berkata, langkah itu perlu dilakukan segera bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh kerajaan negeri dalam menghadapi penambahan jumlah sisa pepejal setiap tahun. Menurut beliau, ia juga dapat mengelakkan masalah kawasan pelupusan yang terhad selain turut dapat mengurangkan risiko kebakaran yang sering berlaku di pusat pelupusan sampah itu berikutan pelepasan gas metana. "Pengurusan yang betul untuk melupuskan sisa pepejal perlu dipertingkatkan untuk kebaikan semua terutama untuk mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar. "Malaysia menggunakan sistem pelupusan sampah secara konvensional, oleh itu pengurusan perlu teliti dengan melakukan pengasingan bagi bahan tertentu bagi mengelakkan tapak pelupusan itu penuh dalam tempoh singkat," katanya selepas melawat tapak pelupusan sampah itu baru-baru ini. Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Sanusi Awi. PPSPPA mengadakan kerjasama dengan Bahagian Strategi Alam Sekitar Antarabangsa Bandaraya Kitakyushu, Jepun selama lima hari bermula 17 Julai lalu bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi pengurusan sisa pepejal. Menurut Takauchi, peningkatan jumlah penduduk akan menyebabkan penambahan sisa pepejal daripada pelbagai sumber dan cara terbaik menguruskan sampah itu adalah melalui teknologi insinerator. "Penggunaan insinerator adalah cara paling cekap bagi menguruskan sisa pepejal sebagai alternatif bagi mengatasi masalah mencari ruang untuk melupuskan bahan buangan. "Saya berpendapat kerajaan Malaysia sepatutnya sudah bersedia ke arah itu untuk kebaikan pada masa depan," katanya. | ||
Rungutan harga naik sekadar khabar angin Posted: Rungutan harga naik sekadar khabar anginMELAKA 20 Julai - Belum pun bulan Ramadan, pengguna mula merungut kenaikan mendadak harga barangan di Pasar Besar Melaka Sentral di sini. Bagaimanapun, rungutan tersebut sekadar khabar angin yang sengaja disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ekoran itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Mohamad dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri (PPDNKK) membuat lawatan mengejut ke Pasar Besar Melaka Sentral hari ini. Ghazale ketika ditemui selepas melakukan lawatan tersebut berkata, dakwaan mengatakan peniaga menaikkan harga barangan adalah tidak benar. ''Saya telah berjumpa dengan peniaga dan pengguna tetapi tidak timbul pula soal kenaikan harga barangan atau peniaga menaikkan harga barangan. ''Saya puas hati kerana semua peniaga di Pasar Besar Melaka Sentral menjual mengikut harga yang telah ditetapkan dan bekalan barang-barang keperluan juga mencukupi menjelang Ramadan bulan depan," katanya. Turut sama dalam lawatan mengejut itu ialah Ketua Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Jamil Buang. Pada lawatan tersebut menurutnya, harga ayam masih pada harga asal iaitu RM7.90 sekilogram, ikan pula berlaku kenaikan tetapi tidak ketara. ''Cuma harga cili merah berlaku kenaikan daripada RM7 sekilogram naik kepada RM10 sekilogram," ujarnya. Keadaan itu katanya, berlaku disebabkan cili merah bukan barang terkawal dan kenaikannya disebabkan faktor bekalan tidak mencukupi dan masalah cuaca. ''Keseluruhannya, saya puas hati tidak ada barangan yang naik dengan harga yang tidak munasabah dan kalau ada pun ia disebabkan faktor bekalan yang kurang," ujarnya. Sementara itu Jamil berkata, seramai 26 penguat kuasa telah ditugaskan untuk memantau sebarang kenaikan harga barangan di semua pasar besar di negeri ini. ''Mereka akan meronda dan akan bertindak ke atas peniaga yang menaikkan harga barangan sesuka hati hingga membebankan pengguna," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Karnival Bazar Raya RamadanOleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN TELUK KEMANG 20 Julai - Pantai peranginan Teluk Kemang, Port Dickson di sini tidak akan sunyi lagi pada waktu malam apabila Karnival Bazar Raya Ramadan 2011 akan mula beroperasi pada 1 Ogos depan. Pengerusi karnival, Mohd. Azam Zakaria berkata, gerai perniagaan sempena Ramadan itu akan dibuka sehingga 29 Ogos bermula 10 pagi hingga waktu sahur. ''Kita menyediakan banyak tapak perniagaan untuk disewa sepanjang Ramadan itu untuk orang ramai dan kami menggalakkan generasi belia terlibat dengan aktiviti ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. Karnival yang akan berlangsung di Dataran Kemang di sini dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Teluk Kemang, Persatuan Peniaga dan Pengusaha Pantai Teluk Kemang, Koperasi Bazar Rakyat Port Dickson dan Persatuan Belia Kampung Teluk Kemang. ''Selain orang ramai, kita juga mempelawa agensi kerajaan membuka gerai mereka di situ sebagai organisasi yang menyebarkan maklumat dan dasar kerajaan," katanya. Katanya, karnival itu akan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang yang juga Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 019-6649234 (Mohd. Azam) atau 019-6336770 (Mohd. Shahril Salihin). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan