Utusan Online - Jenayah |
Posted: Pencuri kekenyangan diberkasOleh YATIMIN ABDULLAH
KOTA BHARU 21 Julai - Tindakan seorang pencuri mabuk menjamu selera dengan mi segera dan minum kopi di rumah yang dicerobohnya membawa padah apabila dia ditangkap polis selepas tertidur di sebuah bilik di rumah itu kerana kekenyangan. Kejadian pukul 11.30 pagi di kawasan perumahan Jalan Bayam pada Sabtu lalu itu disedari pemilik rumah yang juga pesara guru, Foo Ai Siew, 63, sebaik sahaja pulang daripada menziarahi anaknya di Kampung Wakaf Stan dekat sini. Ketika ditemui, lelaki berusia 30-an itu turut mengambil sebuah kipas di ruang tamu untuk keselesaan semasa tidur di dalam bilik di tingkat bawah rumah. Menurut Ai Siew, dia ke rumah anaknya pada malam Khamis lalu kerana mempunyai urusan dan hanya pulang dua hari kemudian. "Ketika cuba hendak buka pintu rumah, saya hairan apabila mendapati pintu tidak berkunci sedangkan saya menguncinya sebelum meninggalkan rumah tempoh hari. "Sebaik sahaja membuka pintu, saya terkejut mendapati rumah dalam keadaan berselerak dan semua laci kabinet televisyen terbuka selain alat pemain cakera digital juga hilang," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini. Dia yang curiga membuat keputusan untuk tidak masuk ke dalam rumah kerana bimbang akan keselamatannya dan segera menelefon anaknya, Wong Hwee Hoon, 35. "Sejurus sampai, anak saya segera masuk ke dalam rumah dan melihat pencuri itu sedang tidur nyenyak malah turut membawa masuk kipas dari ruang tamu ke dalam bilik untuk lebih selesa. "Saya meminta bantuan daripada jiran-jiran dan mereka menasihatkan supaya memanggil polis untuk menahan pencuri tersebut. Beberapa minit kemudian polis datang dan menahan lelaki berkenaan," ujarnya. Tambahnya, dia kerugian hampir RM1,000 selepas kehilangan alat pemain cakera digital, beberapa set pinggan mangkuk dan set minuman kesihatan serta beberapa bungkus mi segera serta minuman tin. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan tersebut. Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Syabu dalam bukuOleh NAZARUDIN SHAHARI SEREMBAN 21 Julai - Cubaan seorang lelaki Nigeria menyeludup masuk dadah jenis syabu seberat lapan kilogram yang disorokkan di dalam enam buku tebal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam semalam, gagal apabila berjaya dipatahkan pihak berkuasa. Suspek berusia 25 tahun yang berlagak seperti seorang pelajar itu ditahan anggota Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejurus tiba di KLIA dari Dubai, pukul 11.53 malam. Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Liah Omar berkata, hasil pemeriksaan mesin pengimbas terhadap bagasi dibawa suspek menunjukkan imej yang mencurigakan. "Berikutan itu, pemeriksaan lanjut dilakukan dan menemui enam buku tebal yang mencurigakan dalam bagasi tersebut. "Kita dapati setiap helaian muka suratnya sukar untuk diselak seperti digam. Apabila dikoyakkan, kami dapati bahagian tengah buku-buku itu telah ditebuk dan bahan kristal jernih ditemui di situ. "Ujian awal menunjukkan bahan itu adalah dadah jenis syabu dengan nilai pasaran dianggarkan RM2 juta," katanya pada sidang akhbar di pejabat Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan, Nilai, dekat sini, hari ini. Menurut beliau, pihaknya mendapatkan perintah mahkamah bagi menahan reman suspek selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Liah menambah, suspek yang pernah ke negara ini pada 2008 melakukan perjalanan dari Logos ke Dubai sebelum ditahan di KLIA. Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyeludupan dadah boleh menghubungi JKDM di talian bebas tol 1-800-88-8855 atau talian terus pejabat Cawangan Narkotik, 06-7917792/7587. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan