Utusan Online - Keluarga |
Umpama pengembaraan rohani bagi pengunjung Posted: Umpama pengembaraan rohani bagi pengunjungOleh SITI AINIZA KAMSARI
"RAMAI pengunjung yang tidak semena-mena terduduk dan mengalir air mata saat mereka menghabiskan masa mengunjungi ke pameran ini. "Mungkin selama ini kita hanya membaca sahaja akan perjalanan hidup Rasulullah tetapi kali ini mereka mula mengerti perjalanan itu apabila berpeluang berada dekat dengan segala bahan sejarah yang pernah dimiliki dan mendapat sentuhan daripada Rasulullah sendiri," kata Pegawai Galeri Taman Kesenian Islam, Yayasan Restu Malaysia, Shah Alam Selangor, Zarina Mahusin. Tidak dinafikan apabila air mata mula tergenang, sebaik sahaja memasuki ruang pameran yang dimulakan dengan latar suasana di dalam gua di Pameran Pedang Rasulullah SAW & Sahabat r.a dan Replika Kediaman Rasulullah SAW, di Taman Kesenian Islam ini. Ia seolah-olah gambaran malaikat Jibrail yang sedang mengajar baginda di Gua Hira' untuk membaca ayat pertama yang diturunkan iaitu surah al-Alaq. Ini diikuti segala macam informasi mengenai sejarah al-Quran, usaha penyebaran dan dakwah dari zaman Rasulullah sehingga ke hari ini dan diikuti bacaan-bacaan al-Quran, semua ini ada memberikan impak yang besar di hati! Pengerusi Yayasan Restu Malaysia, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, pameran yang julung-julung kali diadakan ini adalah usaha berterusan yayasan yang bukan sahaja bagi memartabatkan al-Quran tetapi membawakan realiti sebenar sejarah kepada umat Islam. "Al-Quran tetap selama-lamanya adalah satu realiti dan kebenaran sebagai Kalam Allah tetapi kali ini dengan adanya pelbagai realiti yang lainnya, akan membuatkan kita tersentak sedar dan akhirnya kita akan kembali semula kepada al-Quran," katanya. Idea mengadakan pameran ini yang menelan kos yang sangat tinggi ketika Abdul Latif mengadakan perbincangan dengan perwakilan dari kerajaan Brunei Darussalam. "Mereka datang ke sini untuk mendapatkan khidmat yayasan bagi menulis semula al-Quran untuk Mushaf Brunei. "Mereka mahukan orang Melayu Islam untuk menghasilkan mushaf ini dan dalam pada itu mereka juga sedang merancang untuk mengadakan pameran khazanah Islam seperti ini di Brunei. "Ini memberi saya idea walaupun saya terpaksa bertindak selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menanggung kos bagi menjayakan pameran ini," katanya. Konsep atau tema pameran ini benar-benar mengajak para pengunjung agar kembali kepada sejarah perjalanan hidup baginda Nabi Muhammad dengan melihat sendiri pelbagai khazanah yang dipakai, diguna dan dimiliki oleh Rasulullah. Dimulakan dengan segmen yang berlatarkan gua dengan persembahan menggunakan sistem tiga dimensi termasuk kemunculan ayat-ayat al-Quran di dinding gua. Sangat sederhana Diikuti galeri koleksi senjata pedang dan busur panah milik Rasulullah dan para sahabat, koleksi senjata di Alam Melayu Nusantara, koleksi pelbagai jenis al-Quran lama, yang asli dan disalin semula sambil diiringi dengan bantuan audio dan penerangan oleh pegawai galeri. Semua ini merupakan satu pengembaraan bersifat rohani. Ditambah peluang menjejak kaki di replika rumah atau kediaman Rasulullah dengan kedudukan ruang tamu, ruang solat, kamar puteri baginda, Fatimah Az Zahra dan kamar Rasulullah sendiri. Semuanya mengembalikan kesedaran kita kepada perjuangan dan pengorbanan Rasulullah terhadap kita selama ini "Baginda mempamerkan kehidupan yang sangat sederhana walaupun baginda adalah pemimpin yang sangat agung dan mampu mengecap pelbagai nikmat hidup, tetapi yang dipilih oleh baginda hanyalah sebuah kehidupan yang tiada bezanya seperti orang kebiasaan yang lain," kata Abdul Latiff. Maka menjadi satu permulaan yang sangat baik untuk kita mengunjungi Taman Kesenian Islam yang terletak bersebelahan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor ini sebagai satu cara kita menyambut kehadiran bulan mubarak, bulan Ramadan tidak lama lagi. Pasti akan tersemat satu semangat dan keazaman yang sangat tinggi bagi menjadikan Ramadan kali ini bulan ibadat yang paling baik dan berkualiti setelah kita berpeluang 'mendekati' sendiri Rasulullah itu di pameran ini! Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Sanggup berhabis untuk coklatOleh mariatul qatiah zakaria
INDUSTRI coklat buatan tangan semakin bersemarak dengan kemunculan ramai usahawan kecil yang kebanyakannya adalah golongan suri rumah. Senario ini berlaku kerana aktiviti ini mampu menjana pendapatan sampingan yang lumayan buat pengusahanya. Salah seorang pengusaha coklat yang ditemui baru-baru ini tidak menyangkal dakwaan tersebut. Malah disebabkan permintaan terlalu banyak, dia sanggup menghadapi risiko dengan berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian perniagaan coklatnya yang diusahakan secara dalam talian. Siti Zahrah Mat Zain, 36, pada mulanya hanya menjalankan perniagaan secara sampingan sejak dua tahun lalu. Perniagaan coklat yang diusahakan bukan sekadar coklat yang dibungkus biasa seperti yang berada di pasaran hari ini. Sebaliknya coklat yang dihasilkan Siti Zahrah mempunyai pelbagai reka bentuk menarik, pelbagai perisa serta dalam adunan warna-warna yang cantik. Disebabkan itulah coklat buatan Siti Zahrah kerap ditempah tidak kira untuk majlis keraian, hari jadi, hantaran kahwin mahupun majlis-majlis rasmi. Apa yang menarik, Siti Zahrah atau lebih mesra dengan sapaan Arah tidak mempunyai sebarang pengetahuan d dalam bidang pembuatan coklat. Oleh kerana minat yang terlalu mendalam serta mempunyai semangat untuk sama-sama memeriahkan lagi dunia perniagaan, akhirnya dengan menghadiri beberapa kursus anjuran Lembaga Koko Negara serta rujukan sendiri, dia berjaya memasarkan produk coklatnya di bawah Arahchocolate & Bakery melalui blognya www.arahchocolate.blogspot.com "Pembuatan coklat bukanlah satu perkara yang sukar tambahan apabila sudah mempunyai asasnya. "Daripada situ saya semakin berminat untuk mencuba menghasilkan pelbagai reka bentuk dan mula belajar cara mengadunkan warna bagi menjadikan ia lebih menarik. "Dan tanpa disangka, apa yang dipasarkan melalui blog mendapat sambutan yang di luar jangkaan. Alhamdulillah, hari ini coklat yang dihasilkan semakin mendapat tempat di kalangan peminat-peminat coklat,'' ujarnya. Hari ini, jika berpeluang melayari blog Siti Zaharah, anda dapat melihat sendiri pelbagai reka bentuk coklat buatan tangan di mana hasilnya memang cukup menarik dan terdapat juga reka bentuk yang begitu mengagumkan. Antara reka bentuk coklat yang ditampilkan ialah kotak atau bekas dengan pelbagai bentuk yang dilengkapi penutup, masjid, kumbang (lady bird), strawberi, bentuk hati dan bunga. Tambah menarik, coklat-coklat tersebut dihasilkan dengan pelbagai warna-warna yang menarik dalam usaha 'menghidupkan' coklat yang dihasilkan. Hari ini, coklat yang dihasilkan Siti Zaharah bukan sahaja bertambah dari hari ke sehari tetapi ia meliputi tempahan dari seluruh negara. Menyedari akan sambutan yang di luar jangkaan, dia mengembangkan lagi pembuatan coklatnya dengan mencipta kelainan seperti menghasilkan coklat-coklat yang berinti biskut atau kekacang. Dalam masa yang sama, Siti Zaharah turut mempelbagaikan reka bentuk coklat yang dihasilkan agar ia kelihatan unik. Untuk itu, dia sanggup berhabis duit untuk mendapatkan acuan dari luar negara agar pelanggannya tidak jemu. Siti Zaharah yang juga berkemahiran membuat kek cawan memberitahu, coklat yang dihasilkannya dijual serendah harga RM1 dan ada yang mencapai beratus ringgit bergantung pada reka bentuk dan saiznya. Selain menerima tempahan untuk pelbagai majlis dan perayaan, Arah turut membuka kelas belajar membuat coklat kepada sesiapa yang berminat. Bagi mereka yang berminat sama ada untuk menempah coklat ataupun menghadiri kelas membuat coklat, anda boleh layari blognya atau hubunginya di talian 013-3692824. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan