Khamis, 21 Julai 2011

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Menghitung hari menjelang Oktober

Posted:

Menghitung hari menjelang Oktober

Menghitung hari menjelang Oktober

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ISMAIL KAMADIN


YASMIN Hani kini sedang menghitung hari menjelang hari bahagianya pada bulan Oktober ini.


MENGENALI Yasmin Hani atau lebih mesra disapa Hani ini, dia lebih selesa untuk bercerita tentang dunia seninya berbanding mencanangkan kisah peribadi.

Yang pasti, Hani mempunyai pendiriannya sendiri apabila membicarakan soal peribadi. Tidak mahu orang akan mencebik dan mengata, kata Hani.

Seperti mana lazimnya, kalau bertemu dengan Hani, dia memang tidak kenal erti duduk diam. Ada sahaja cerita yang mahu dikongsi dengan pihak media.

Seperti lazimnya, apabila berpeluang duduk bersembang dengan Hani, pelbagai pertanyaan akan dilontarkan kepada wanita kacukan Melayu-Inggeris ini.

Ada cerita yang diberi lampu hijau oleh Hani untuk ditulis manakala selebihnya, adalah untuk pendengaran telinga sendiri sahaja atau dalam istilah etika kewartawanan, off the record.

Dan, mengenali Hani, dia memang cukup terbuka dalam memberikan jawapannya dan ini termasuklah perkhabaran tentang perkahwinannya bersama buah hati tersayang, Sha'arin Mohammed Razali, 41.

Barangkali hubungan cintanya dengan jejaka kacak berusia 41 tahun itu bukan lagi satu rahsia bagi sesetengah pihak. Dalam erti kata lain, ia adalah rahsia terbuka (open secret).

Selepas lebih setahun menyulam cinta bersama Sha'arin, Hani secara terus-terang memberitahu dia bakal menamatkan zaman bujangnya bersama buah hatinya itu sekitar pertengahan bulan Oktober ini.

"Tetapi, saya mahu meminta maaf kepada semua pihak bahawa majlis perkahwinan saya akan diadakan secara kecil-kecilan sahaja.

"Saya hanya akan menjemput mereka yang rapat dengan saya sahaja bagi meraikan hari bersejarah itu. Majlis saya itu cukup ringkas apabila kami hanya akan bernikah dan bersanding sahaja. Malah, tiada juga majlis pertunangan," katanya tanpa selindung.

Hani ditemui usai majlis pelancaran drama bersiri, Wasiat di Cathay Cineleisure, The Curve, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung bicara, Hani menjelaskan memang dia mahu mengadakan sebuah majlis perkahwinan yang kecil namun meriah dengan kehadiran mereka yang memainkan peranan penting dalam kehidupannya.

"Saya tidak perlu mengikut trend seperti orang lain. Masing-masing ada hak dan cita rasa untuk mengadakan majlis yang mereka idamkan. Begitu juga dengan diri saya.

"Buat apa kalau mengadakan majlis besar-besaran tetapi hanya akan mengundang kata-kata yang kurang manis serta dilabelkan sebagai mahu menunjuk-nunjuk.

"Saya tidak mahu menjadi seperti itu. Adalah lebih afdal apabila menghadiri mana-mana majlis perkahwinan untuk mendoakan yang terbaik untuk pasangan pengantin. Itulah yang saya mahukan daripada semua orang untuk mendoakan kesejahteraan hidup saya dan bakal suami," kata pemilik nama penuh Yasmin Hani Richardson Ismail Richardson ini penuh jujur.

Dalam usianya yang sudah mencecah 32 tahun itu, kata Hani, dia memang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.

Baginya, untuk menjadi seorang ibu dan isteri yang baik ia tidak akan datang dengan sendirinya melainkan perlu menempuhi alam perkahwinan itu bagi merasai sendiri pengalaman tersebut.

"Bagaimana kita hendak merasai pengalaman itu seandainya kita sendiri tidak melaluinya. Semua ini adalah proses pembelajaran dan kita tidak akan menjadi bagus hanya dalam sehari," ujarnya lagi.

Mengimbas kenangan perkenalan mereka, Hani memberitahu dia memang sudah lama mengenali Sha'arin sewaktu jejaka kacak itu masih lagi bekerja di Astro.

Namun, pada ketika itu, mereka hanya saling bertegur sapa seperti rakan setugas yang lain sehinggalah bibit cinta mula timbul lebih setahun yang lalu.

Selama tempoh mengenali Sha'arin yang juga merupakan abang kepada pengacara dan pelakon Qi Razali itu, Hani menyifatkan buah hatinya itu sebagai seorang yang cukup memahami.

Malah kata Hani, ada sikap dan sifat yang dimilikinya tiada dalam diri Sha'arin dan begitulah juga sebaliknya lalu berjaya mencipta keserasian antara mereka dalam melayari dunia percintaan.

"Sehinggakan ada ahli keluarganya sendiri tidak tahu bahawa dia memiliki sifat-sifat tersembunyi yang mana hanya saya sahaja yang tahun," kata Hani yang merupakan adik kepada bekas pelakon filem Penyair Malam, Yasmin Suraya ini sambil ketawa.

Walaupun sudah berkahwin nanti, Hani memberitahu dia akan meneruskan kariernya dan mendapat sokongan penuh daripada Sha'arin.

Rindu jadi pengacara

ANAK jati Kuala Lumpur ini mula menempa populariti sebagai artis apabila bakatnya mula meraih perhatian menerusi program hiburan, Muzik @ Ria terbitan Astro, beberapa tahun lalu.

Siapa yang dapat lupa tanda pengenalan Hani menerusi program itu, Wacha! sehingga dia sendiri digelar dengan panggilan itu.

"Jujurnya, memang saya cukup merindui dunia pengacaraan. Kalau diberi peluang mengacarakan Muzik@Ria lagi sekali pun, saya tidak kisah untuk melakukannya.

"Namun, dalam masa yang sama, saya mahu menongkah arus dan mencabar diri saya sendiri untuk menjadi pengacara bagi program lain.

"Salah satunya adalah sebuah program bual bicara seperti The Oprah Winfrey Show yang bukan hanya memberi maklumat dan mesej berguna kepada masyarakat tetapi juga beramal menerusi program itu.

"Bukan itu sahaja, saya juga mahu menjadi hos untuk sebuah program berbentuk pelancongan dan rekreasi. Tetapi, saya tidak mahu menjadi hos yang sudah kerap ditonton di televisyen.

"Saya mahu menjadi hos program yang dapat melakukan pelbagai aktiviti dan sukan ekstrem kerana saya percaya bahawa saya mampu melakukannya," kata Hani yang dilahirkan pada 11 Jun 1979 ini yang pernah mengacarakan program realiti, Keynote, tahun lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Terus setia bersama MTV Asia

Posted:

Terus setia bersama MTV Asia

Terus setia bersama MTV Asia

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


KUMPULAN Pop Shuvit merupakan salah sebuah kumpulan yang akan membuat persembahan pada MTV World Stage Live In Malaysia, Ahad ini.


WALAUPUN sudah 13 tahun menjadi hos untuk MTV Asia, nampaknya Greg Uttsada Panichkul atau lebih dikenali sebagai Utt terus selesa dengan saluran hiburan itu.

Di kala teman-teman seperjuangannya yang lain sudah meninggalkan saluran yang cukup digemari ramai itu, namun, Utt mempunyai alasan sendiri mengapa dia mahu kekal dengan MTV Asia.

Bukan tidak pernah dia mendapat tawaran lumayan daripada stesen lain, tetapi Utt memberitahu MTV Asia memiliki nilai sentimental sendiri untuk ditinggalkan.

"Saya cukup sedar rakan-rakan saya yang lain semuanya sudah hidup berkeluarga dan membawa haluan masing-masing.

"Saya juga tidak menafikan bahawa saya memang merindui kawan-kawan saya itu. Tetapi saya sudah mencintai bidang ini dan memang sukar untuk saya meninggalkannya.

"Selagi saya terdaya melakukannya, saya akan tetap bersama MTV Asia. Bagi saya, saluran ini adalah `universiti' tempat saya menimba pengalaman sebagai seorang pengacara," kata Utt tanpa selindung dalam satu pertemuan di Empire Shopping Gallery, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Kehadiran Utt untuk sekian kalinya ke negara ini adalah untuk melunaskan tanggungjawabnya pengacara MTV World Stage Live In Malaysia yang akan berlangsung di i-City, Shah Alam, Selangor pada 24 Julai ini.

Sekadar menyingkap sejarahnya sebagai hos MTV Asia sejak tahun 1998, Utt boleh dianggap sebagai 'adik bongsu' kepada beberapa pengacara sebelumnya seperti Sarah Sechan, Mike Kasem, Nadya Hutagalung, Jamie Aditya dan Sonia Couling.

Namun, selepas mereka meninggalkan saluran itu, hanya Utt sahaja pengacara asal yang terus kekal sehingga ke hari ini bersama beberapa orang pengacara baru lain.

"Saya boleh dikatakan agak bertuah kerana saya sudah merasai zaman kegemilangan MTV Asia yang bukan hanya terletak kepada kehebatan pengacaranya sahaja.

"Tetapi juga kepada kandungan dan format program sebelum teknologi baru mengambil alih segala-galanya.

"Dan, sekarang saya melalui fasa baru dalam dunia pengacaraan dan saya berpeluang menyaksikan transformasi itu dalam dunia pengacaraan kini," kata jejaka kacukan Thailand-Amerika Syarikat ini sambil mengukir senyuman.

Walaupun memberitahu dia akan terus kekal bersama MTV Asia selagi termampu, namun, itu bukan bermakna Utt tidak memikirkan masa depannya.

Sejak tiga tahun lalu, dia bersama beberapa orang rakan kongsinya telah menubuhkan syarikat pengurusan acara dan pengurusan artis, Seven95ive Artistes yang merupakan sebuah syarikat yang memiliki reputasi cemerlang di Singapura.

"Semuanya adalah sebagai persediaan apabila mungkin satu hari nanti khidmat saya sudah tidak diperlukan sebagai pengacara MTV Asia (ketawa)," katanya penuh optimis.

Menyentuh sedikit tentang transformasi kandungan MTV Asia ketika ini, ujar Utt, saluran itu tidak lagi menayangkan program berbentuk hiburan semata-mata.

Sebaliknya, mereka turut menayangkan program berbentuk khidmat masyarakat dan ia juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial MTV Asia kepada masyarakat.

Minat Pop Shuvit

MENYENTUH tentang MTV World Stage Live In Malaysia pula, Utt mengakui dia cukup teruja untuk mengacarakan konsert yang ditunggu-tunggu itu.

Walaupun pernah menjadi hos untuk acara yang serupa beberapa kali sebelum ini, namun, Utt tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan gementarnya.

Untuk tahun ini, Utt memberitahu dia akan cuba yang terbaik untuk menyuntik semangat penonton.

Dalam masa yang sama, anak kelahiran California, Amerika Syarikat ini juga melahirkan keinginan yang meluap-kuap untuk melihat aksi kumpulan rap dan hip hop tempatan, Pop Shuvit di pentas itu.

"Bagi saya, mereka mempunyai tenaga yang sangat luar biasa di atas pentas. Saya pasti mereka akan memberikan persembahan yang hebat pada malam itu nanti.

"Bukan sekadar memuji tetapi saya percaya dengan kehebatan bakat-bakat dari rantau ini yang mampu setanding dengan artis antarabangsa," katanya lagi.

Selain Pop Shuvit, MTV World Stage Live In Malaysia turut menampilkan dua kumpulan muzik dari Amerika Syarikat, 30 Second To Mars dan Neon Trees selain kumpulan kelahiran Korea Selatan, Beast.

Bagi mereka yang mahu berinteraksi dan mengenali Utt dengan lebih lanjut bolehlah melayari akaun Twitter miliknya, @uttsada dan juga di laman sosial Facebook iaitu facebook.com/uttpage.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved