Utusan Online - Johor |
Posted: Rumah baru menjelang Ramadan Oleh HAMDAN TAWADI
BATU PAHAT 22 Julai - Kira-kira 70 keluarga Orang Asli di Kampung Desa Sri Banang, Minyak Beku, di sini akan menerima kunci rumah baru sebelum Ramadan ini. Mereka telah memperjuangkan untuk mendapat penempatan baru itu sejak 50 tahun dulu ekoran kampung asal yang terletak berhampiran pantai sering dinaiki air terutamanya ketika air pasang. Masyarakat Orang Asli itu terdiri daripada penduduk di Kampung Teluk, Kampung Pantai dan Kampung Punjut yang terdedah kepada hakisan pantai menyebabkan semakin lama, rumah mereka semakin dekat dengan pantai. Atas inisiatif Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, projek penempatan baru di Sri Banang dilaksanakan bermula September 2009 dan akhirnya siap pada Mei tahun ini, tetapi penduduk masih tidak dapat memasuki rumah itu kerana tidak dilengkapi bekalan air dan elektrik. Utusan Malaysia baru-baru ini menyiarkan kekeliruan tentang pihak mana iaitu antara Orang Asli dan pemaju yang perlu membayar deposit utiliti bekalan air dan api menyebabkan penduduk masih tidak dapat memasuki rumah baru itu. Sehubungan itu, Ahli Dewan Negara yang mewakili masyarakat Orang Asli, Senator Muhammad Olian Abdullah yang melawat penempatan baru itu baru-baru ini, memberi jaminan bahawa Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memperuntukkan RM100,000 untuk mengatasi masalah itu. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman memberi jaminan, masyarakat Orang Asli akan menerima kunci rumah itu minggu depan. "Semua sudah siap termasuk bekalan air dan elektrik juga sudah ada. Cuma tinggal serah kunci sahaja sebelum Ramadan iaitu pada minggu depan," katanya semasa lawatan kerja ke Parlimen Batu Pahat di sini semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ja'affar Hashim dan ADUN Rengit, Ayub Jamil dan ADUN Penggaram, Datuk Koh Chee Chai. Penempatan baru di Kampung Desa Sri Banang itu mengandungi 100 unit rumah di tanah seluas 14.5 hektar itu menelan belanja kira-kira RM8.4 juta. Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli dari Kampung Teluk, Yatimah Dan, 49, berkata, jaminan diberikan itu menyebabkan dia sekeluarga tidak sabar untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri di rumah baru itu. "Dua tahun dulu, cucu saya yang berumur setahun mati lemas ketika bermain di pantai yang terlalu dekat dengan rumah kami. Waktu itu ibunya sibuk memasak dan sejak itu kami bimbang keselamatan anak-anak," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Klinik bergerak golongan miskin Posted: Klinik bergerak golongan miskinJOHOR BAHRU 22 Julai - Persatuan Kebajikan Xing Jun Johor melancarkan klinik bergerak khusus untuk membantu memberi rawatan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dan sekitarnya secara percuma. Klinik itu yang beroperasi dalam sebuah bas yang diubah suai menjadi klinik, dibuka setiap Sabtu dan Ahad bermula pukul 9 hingga 11 pagi, 2 hingga 4 petang dan 7 hingga 9 malam. Pengerusi persatuan itu, Albert Lee berkata, klinik tersebut menawarkan khidmat dan rawatan alternatif dengan menggunakan perubatan tradisional berasaskan herba. "Antara rawatan dan ubat yang akan diberi adalah untuk penyakit strok, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Kita sediakan 20 doktor sukarelawan tetapi pada satu hari hanya dua doktor yang akan bertugas. "Rawatan ini kita sasarkan kepada mereka yang berpendapatan rendah di kampung dan flat," katanya selepas perasmian klinik itu di Taman Puteri Wangsa baru-baru ini oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman. Turut hadir ADUN Stulang, Mok Chek Hou dan Penasihat persatuan tersebut, Brian Tan Chong Beng. Albert berkata, klinik bergerak menelan kos RM320,000 dan rawatan itu bukan sahaja untuk kaum Cina tetapi semua lapisan masyarakat bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang biasanya kurang mampu mendapatkan rawatan alternatif. Sementara itu, Abdul Halim berharap klinik tersebut dapat ditambah pada masa hadapan dan beroperasi ke beberapa kawasan lain dan bukan sahaja di kawasan Puteri Wangsa. Pada majlis itu, beliau yang mewakili Menteri Besar turut menyerahkan replika cek RM300,000 sumbangan kerajaan negeri kepada persatuan tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan