Sabtu, 18 Jun 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Gamat jadi sumber inspirasi

Posted:

Gamat jadi sumber inspirasi

Gamat jadi sumber inspirasi

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
Foto IZHAM JAAFAR & Ihsan PROF. DATUK DR. HASSAN YAAKOB


HEALIN, hasil penyelidikan Dr. Hassan yang tidak dapat ditandingi.


DUA kali hampir mati lemas, dua minggu terlantar di hospital akibat dipatuk ular, terpaksa diselamatkan bomba gara-gara tidak boleh turun dari pokok dan seminggu sesat di hutan sudah cukup untuk menggambarkan betapa 'nakalnya' personaliti hebat ini.

Bukan setakat itu, namakan apa saja permainan yang popular di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 60-an, kesemuanya 'dalam tangan' Prof. Datuk Dr. Hassan Yaacob yang lebih dikenali sebagai Hassan Gamat.

Semuanya mahu dicuba. Laga ayam, laga biji getah, menangkap ikan, masuk hutan mencari buluh untuk dibuat wau, bermain gitar dan pelbagai aktiviti lagi mewarnai zaman kecilnya. Dia juga pandai menganyam jala, tinju siam menjadi kegemaran sehingga mencapai peringkat berlimau.

Justeru tidak hairanlah jika dia menyifatkan adakalanya dirinya seperti mati hidup semula lantaran peristiwa-peristiwa yang dialami semasa zaman kanak-kanak dan di alam persekolahan.

Mengimbau kisah diselamatkan bomba, Dr. Hassan tersenyum. Keinginannya melihat sarang burung helang di atas pokok besar mencabar keterujaannya untuk memanjat pokok tersebut. Selepas hasrat tercapai, tatkala mahu turun baru terasa gayat apabila angin membuai dahan yang dipijak. Maka terpaksalah dia menunggu diselamatkan pasukan bomba.

Di sebalik pengalaman yang pelbagai Dr. Hassan tidak boleh lupa kejadian dia dan rakan-rakannya tersesat di dalam hutan. 'Ekspedisi' ke kawasan air terjun di Manek Urai berlangsung tanpa pengetahuan keluarga. Dari Kuala Krai, mereka menaiki van ke Manek Urai. Dari situ, kumpulan tersebut berjalan kaki selama sejam sebelum sampai ke destinasi.

Ekspedisi ke air terjun berakhir dengan tragedi sesat di dalam hutan selama seminggu menyebabkan keluarga masing-masing membuat laporan polis.

Dr. Hassan mengakui pencapaiannya semasa sekolah rendah 'below average'. Malah, sekolah bukan keutamaannya. Dia sering ponteng. Biar dipaksa mahu pun dirotan - kalau katanya tidak mahu bersekolah, maka buatlah macam mana sekali pun jangan harap dia akan ke sekolah.

Jika pun ke sekolah, perjalanan balik sering melencong ke tempat lain. Beca yang sepatutnya membawanya pulang ke rumah kebiasaannya dibiarkan menunggu lantaran ada 'dunia' lain yang menunggu untuk diteroka Dr. Hassan.

''Selalu saya balik jalan kaki sejauh lima kilometer sebab banyak benda yang diteroka. Masuk hutanlah dan main macam-macam.

''Perasaan ingin tahu sangat tinggi ketika itu lebih-lebih lagi persekitaran saya memang diwarnai dengan corak kehidupan yang aktif dengan pelbagai kegiatan,'' katanya ketika ditemui di House of Healin di Temasya Industrial Park, Shah Alam Rabu lalu.

Sains

Biar pun tidak cemerlang di sekolah dan sering duduk di kelas terakhir, namun bakatnya dalam bidang sains amat menyerlah. Markah bagi mata pelajaran sains sering menyamai malah adakalanya lebih baik berbanding pelajar kelas A.

Auranya sebagai saintis bermula apabila dia curi-curi membawa pulang asid hidroklorik dari makmal dan menggunakannya untuk menyuntik tikus-tikus yang ditangkap setiap Khamis malam Jumaat.

''Semasa sekolah menengah lagi saya dah biasa guna jarum untuk suntik tikus. Perasaan ingin tahu dan berani mencuba telah ada dalam diri saya sejak kecil lagi,'' kata pengasas Healwell Pharmaceuticals Sdn. Bhd itu.

Kecenderungan Dr. Hassan untuk berjaya dalam pelajaran terdetik apabila melihat abangnya melanjutkan pelajaran ke Scotland.

Memasuki tingkatan tiga, penuntut Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kota Bharu itu mula terasa berdebar mengingati peperiksaan LCE yang bakal didudukinya. Ketika itu dia mula 'kehilangan' rakan-rakan sepermainan yang kebanyakannya menghabiskan masa mentelaah pelajaran.

Dr. Hassan turut berbuat demikian sehingga lulus peperiksaan dan satu-satunya pelajar yang terpilih memasuki aliran sains di Maktab Sultan Ismail. Selepas itu beliau terus cemerlang dalam bidang sains sehingga ke tingkatan enam walaupun terpaksa mengulangi peperiksaan MCE kerana gagal mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Kisah budak nakal itu bertukar menjadi siri penjelajahan saintis terkenal apabila beliau atas tiket biasiswa JPA dan UM melanjutkan pelajaran ke Royal College of Surgeons (terkenal sebagai universiti pemenang Nobel Prize). Di situ segala-galanya bermula.

Dr. Hassan yang merupakan satu-satunya anak Melayu di universiti tersebut bijak menyesuaikan diri dengan masyarakat di sana tanpa ada rasa kekok jauh sekali gentar untuk bersaing. Peluang bergaul dengan 'orang putih' mengajar Dr. Hassan tentang cara hidup serta corak pemikiran masyarakat barat.

''Tidak ada budaya mengumpat, daya saing di kalangan mereka sangat tinggi selain terbuka dan bersedia menerima orang lain yang berbeza keturunan dan warna kulit,'' katanya.

Tamat pengajian dengan membawa pulang ijazah kedoktoran, Dr. Hassan meneruskan khidmat di di Jabatan Farmakologi, Universiti Malaya. Dunia penyelidikannya cuba diperluaskan namun terlalu banyak kekangan selain budaya 'yang terpakai hanya dalam jurnal dan buku'.

Keadaan itu menyebabkan kegilaan Dr. Hassan untuk melakukan penyelidikan demi penyelidikan menjadi agak terbatas. Dia cenderung mengkaji tentang gamat yang bukanlah asing bagi dirinya dan orang kampung.

''Saya masih ingat ketika itu baru pulang ke tanah air pada tahun 1989. Satu malam saya terdengar nenek yang baru menjalani pembedahan di bahagian perut mengerang kesakitan. Keesokan harinya saya suruh nenek ke hospital, tapi dia enggan.

''Hari-hari kemudiannya saya tidak lagi dengar nenek mengerang. Apabila ditanya nenek memberitahu dia menggunakan air gamat, lukanya juga sembuh,'' katanya yang memulakan projek perintis penyelidikan gamat pada 1989 iaitu selepas sembilan tahun berada di luar negara.

Biarpun penyelidikan tersebut gagal namun Dr. Hassan tidak berputus asa mahu mencari jawapan bagaimana air gamat yang berbau hanyir itu mampu merawat luka dan mempunyai kuasa penyembuh.

Dia yang teruja turun ke Pulau Pangkor, namun projeknya gagal apabila mentimun laut yang diperolehinya bukan gamat yang sebenar. Dr. Hassan memberitahu terdapat 29 jenis mentimun laut di Malaysia dan lebih 180 di seluruh dunia tetapi bukan semuanya gamat.

''Hanya satu spesies iaitu Stichopus horrens atau mentimun laut keemasan adalah gamat. Dan saya pergi ke Pulau Pangkor sekali lagi untuk melihat bagaimana ekstrak gamat diperbuat,'' katanya.

Beliau berjaya memperoleh geran penyelidikan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar menerusi program Penyelidikan Intensif dalam Bidang Keutamaan (IRPA) yang akhirnya membawa kepada kejayaan membuktikan ekstrak gamat yang ditulenkan mengandungi sebatian aktif.

Sebatian tersebut bukan sahaja mampu merawat luka tetapi kesan penyembuhan yang sangat tinggi.

Hasil penyelidikannya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Ditanya prinsip hidupnya, Dr. Hassan mengakui dia bukan seorang yang sensitif, justeru apa saja tohmahan atau cakap-cakap orang langsung tidak menjadi masalah baginya.

''Saya juga amat terbuka, bersedia menerima kritikan dan belajar daripada kritikan tersebut,'' katanya yang sinonim dengan jenama Healin serta berjaya melahirkan usahawan Melayu yang ada di antaranya berpendapatan RM1 juta.

Selepas 15 tahun berkecimpung dalam bidang keusahawan, Dr. Hassan kini masih giat menjalankan penyelidikan. Malah setiap Sabtu beliau sendiri turun padang merawat pesakitnya di Seksyen 14, Petaling Jaya. Healing membina rangkaian usahawannya sendiri sehingga diiktiraf Perbadanan Nasional Berhad (NPNS) sebagai syarikat francais terbesar dan paling berdaya maju.

Tokoh Maulidur Rasul 2008 yang juga bapa kepada tiga cahaya mata itu tekun dalam setiap apa yang dilakukannya. Membaca, berkebun dan beriadah adalah kemestian rutin hariannya. Hasratnya mahu melihat usahawan Melayu berjaya dan dia percaya peranan yang dimainkan mampu menyumbang ke arah itu.

Namun segala-galanya bermula daripada sikap serta keinginan usahawan Melayu untuk membina kejayaan, malangnya kebanyakan usahawan hanya berjaya sekerat jalan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Di sebalik kejayaan Erdogan

Posted:

Di sebalik kejayaan Erdogan

Di sebalik kejayaan Erdogan

Oleh Zin Mahmud

Walaupun parti pimpinan Recep Tayyip Erdogan memenangi pilihan raya umum Turki Ahad lalu, tetapi kegagalannya untuk memperoleh majoriti bagi mengubah perlembagaan membuatkannya berlembut dengan pihak pembangkang.

"Rakyat telah memberikan mesej bahawa perlembagaan baru harus digubal melalui tolak ansur, rundingan dan kesepakatan," ujar Perdana Menteri itu selepas pengumuman keputusan pilihan raya bermakna itu.

Sebenarnya, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) atau Adalet ve Kalkinma Partisi itu hanya kekurangan empat kerusi untuk memperoleh 330 kerusi majoriti baginya membolehkan mengubah perlembagaan.

Namun keputusan pilihan raya itu merupakan paling cemerlang bagi mana-mana parti politik dalam sejarah Turki.

AKP meraih 49.9 peratus undi yang merupakan prestasi terbaiknya dan menjadikannya satu-satunya parti Turki yang memenangi tiga kali pilihan raya berturut-turut di samping memperbaiki kedudukannya sejak ia berkuasa pada tahun 2002.

Perlembagaan baru yang diperjuangkan AKP bersifat liberal yang boleh diterima oleh Kesatuan Eropah (EU) bagi menggantikan legasi rampasan kuasa tentera tahun 1980.

Walaupun banyak pihak politik di EU memandang serong kepada Turki, apatah lagi AKP sendiri yang disifatkan sebagai parti Islam bertopengkan liberal, Erdogan meneruskan agenda demokratiknya.

Tetapi setelah dua penggal mentadbir Turki, terdapat tanggapan bahawa walaupun perlembagaan liberal berjaya digubal oleh AKP kelak, EU tidak akan menerima negara itu.

EU menolak Turki bukan kerana negara itu tidak demokratik seperti yang sering dijadikan alasan, tetapi negara itu disifatkan sebagai sebahagian daripada dunia Islam yang tidak menepati dengan jati diri Eropah.

Dalam hal ini pula, Erdogan berpendirian jelas dalam soal jati diri Turki sebagai sebuah negara Islam. Sokongannya terhadap Palestin adalah jelas dengan hubungan baiknya dengan negara-negara Islam lain, termasuk Iran, yang dimusuhi Barat.

Maka tidak hairanlah jika Erdogan berjaya menerapkan perlembagaan baru kelak, maka beliau akan mendedahkan kepada dunia tembelang Barat. Iaitu betapa negara-negara Barat khususnya EU walaupun melaungkan gagasan liberal dan demokrasi, tetapi hakikatnya mereka masih terperangkap dengan sifat perkauman dan keagamaan.

Demokrasi

Nampaknya Barat tidak akan menerima Turki sebagai sebuah negara Eropah walaupun ia mengamalkan demokrasi, liberalisme dan sekularisme yang serupa dengan nilai-nilai Barat. Penolakan mereka adalah kerana Turki beragama Islam dan berketurunan Asia. Tidakkah itu sifat perkauman dan tidak demokratik?

AKP sendiri adalah sebuah parti berfahaman konservatif, tengah-kanan dan mendokong liberalisme ekonomi.

Walaupun Erdogan serta banyak pemimpin dan pendokongnya memulakan penglibatan mereka dalam politik sebagai aktivis Islam tetapi beliau mengisytiharkan bahawa AKP "tidak berteraskan pada agama".

Beliau mahu dunia mengetahui bahawa AKP bukannya sama dengan parti-partinya sebelum ini.

Ini kerana Erdogan bermula sebagai aktivis gerakan politik Islam. Bukan saja beliau datang daripada keluarga yang kuat berpegang pada agama tetapi juga adalah merupakan lulusan Sekolah Tinggi Vokasional Agama Imam Hatip.

Di Universiti Marmara, beliau aktif dalam Kesatuan Pelajar Kebangsaan Turki yang anti-komunis. Pada tahun 1976, ketika berusia 18 tahun, beliau menjadi pemimpin pemuda Parti Penyelamat Kebangsaan atau Milli Selamat Partisi (MSP) yang berasaskan Islam.

MSP ditubuhkan pada tahun 1972 oleh Necmettin Erbakan. Ia dibubarkan selepas rampasan kuasa tentera tahun 1980 yang menghalang demokrasi dan mengharamkan parti Islam.

Erbakan kemudian menggantikan MSP dengan Parti Kebajikan (Parti Refah) pada tahun 1983 yang menetapkan fahamannya sebagai Islamis.

Erdogan menyertai Parti Refah dan memenangi kerusi di parlimen pada tahun 1991 tetapi dihalang oleh pihak tentera.

Apabila beliau menang pilihan raya Datuk Bandar Istanbul atas tiket Parti Refah, banyak pihak bimbang beliau akan mengenakan undang-undang Islam. Tetapi sebaliknya beliau bersikap pragmatik dan tumpuannya adalah pada soal kebajikan rakyat Istanbul.

Bagaimanapun, Parti Refah diisytiharkan haram kerana dianggap bercanggah dengan sekularisme pada tahun 1998. Erdogan pula dipenjarakan atas dakwaan membaca puisi Islamis dan diharamkan aktif sehingga tahun 1999.

Justeru Erdogan menubuhkan AKP yang menang besar dalam pilihan raya tahun 2002. Bagaimanapun beliau hanya boleh menjadi perdana menteri setahun kemudian,

Banyak tafsiran tentang fenomena Erdogan dan AKP kepada bukan saja politik Turki tetapi dunia.

AKP adalah parti yang mewarisi parti-parti Islam Turki sebelumnya, iaitu Parti Refah, MSP dan Parti Kaedah Kebangsaan atau Milli Nizam Partisi, MNP.

Parti ini ditubuhkan oleh Erbakan pada tahun 1970 dengan fahaman apa yang disebut sebagai Milli Gorus, iaitu fahaman bagi pelaksanaan Islam di peringkat kebangsaan, MNP diharamkan setahun kemudian kerana dianggap bercanggah dengan sekularisme. Selepas inilah Erbakan menubuhkan MSP.

Erbakan boleh dianggap sebagai pelopor politik keislaman Turki. Erbakan berjaya menjadi Perdana Menteri pada tahun 1997 melalui Parti Refah. Tetapi beliau dipaksa melepaskan jawatan setahun kemudian.

Pengalaman Erbakan dan parti-parti pimpinannya dalam berdepan dengan pihak tentera dan fahaman sekularisme mendorong Erdogan memikir kaedah lain untuk mendapatkan kuasa.

Sudah tentu jika berpegang kepada fahaman politik Islam, mereka akan terus diganggu, ditekankan dan diharamkan oleh pihak tentera, maka Erdogan mengambil langkah berbeza apabila menubuhkan AKP.

Parti beliau diisytiharkan sebagai tidak berasaskan pada agama bagi mengelakkan pengharaman seperti mana parti-parti islam terdahulu. Inilah kaedah Erdogan yang telah juga dikritik oleh rakan-rakan seperjuangannya dalam Parti Refah dahulu.

Tetapi ternyata setelah berjaya memegang kuasa selama dua penggal dan menang pilihan raya ketiga, ditambah pula dasar-dasarnya dianggap pragmatik serta popular, baik semasa menjadi Datuk Bandar Istanbul mahukan semasa perdana menteri ini, maka tentu beliau menarik perhatian dunia.

Adakah cara Turki ini lebih berjaya berbanding Iran? Dalam pemerintahannya, Turki tetap mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Tetapi dunia tahu bagaimana Erdogan membuat bantahan jelas apabila beliau keluar dewan forum di Davos kerana soal Palestin.

Bintang Erdogan mula cerah kerana kejayaannya ketika menjadi Datuk Bandar Istanbul dari tahun 1994 hingga 1998.

Beliau mengatasi masalah kekurangan air, pencemaran dan kesesakan lalu lintas. Ratusan kilometer paip baru dipasang. Masalah sampah diatasi dengan kemudahan kitar semula termoden. Bas-bas lama digantikan dengan jenis mesra alam. Lebih daripada 50 jambatan, jejambat dan lebuh raya dibina.

Kejayaan beliau di Istanbul itu memudahkan AKP menang pilihan raya di peringkat negara. Beliau tidak menggunakan slogan Islam. Tetapi apa yang dilakukan dapat dilihat dan dirasakan manfaatnya.

Apabila menjadi Perdana Menteri, cabaran beliau lebih besar. Tetapi komitmennya terhadap demokrasi adalah jelas walaupun sentiasa dicemuh dan diperli oleh media Barat.

Untuk rakyatnya, penekanan adalah kepada perkhidmatan kesihatan dan keselamatan sosial.

Apa yang dilakukan oleh Erdogan adalah melaksanakan Islam tanpa menyebut Islam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved