Utusan Online - Rekreasi |
Posted: Bila mula menyelamOleh AMIR SARIFUDIN
MENGENALI dunia skuba, pasti sesuatu yang baru dalam kehidupan seseorang. Pelbagai perasaan akan dirasai apabila seseorang itu mahu mengenali dunia skuba. Seronok, bimbang, takut dan sebagainya, pasti bermain di fikiran para penyelam. Dari mula menjejakkan kaki ke dasar laut hinggalah kepada beberapa selaman seterusnya, pasti banyak perkara baru akan dipelajari. Bagi para penyelam baru, apa yang dilalui seboleh mungkin hendak dikongsi bersama. Ini kerana pengalaman tersebut dianggap amat berharga. Pengalaman dunia skuba yang dirasai itu memang sukar diceritakan melalui kata-kata, sebaliknya perlu dilalui sendiri. Baru-baru ini, sekumpulan penyelam baharu bersama beberapa wartawan dan kakitangan agensi kerajaan berkaitan pelancongan, menyertai aktiviti mendapatkan lesen menyelam di Kampung Genting, Pulau Tioman, anjuran Tourism Pahang dan kerajaan negeri Pahang. Melalui aktiviti itu, diharap dapat mengetengahkan industri pelancongan Pahang kepada orang ramai selain membantu agensi-agensi berkaitan meningkatkan pencapaian ekonomi. Harapan mereka, pengalaman mengambil lesen menyelam itu dapat memberi pendedahan lebih meluas kepada orang lain dan ini secara langsung mampu meningkatkan industri berkaitan. Aktiviti mengambil lesen menyelam itu merupakan sebahagian daripada program Start In Tioman (SIT) sebagai usaha menggalakkan pelancongan ke Pahang selain mempromosikan destinasi-destinasi menarik. Untuk itu, seramai 24 orang mendaftarkan diri untuk mengambil lesen menyelam di bawah SIT. Bermula hari pertama, kalangan peserta diberikan pendedahan secara teori mengenai disiplin-disiplin yang terdapat dalam kemahiran skuba. Sebelum mencecahkan kaki ke dalam laut, mereka perlu menyertai kelas teori selama lebih tiga jam. Ia meliputi disiplin-disiplin keselamatan sebelum menyelam, nama serta jenis-jenis peralatan dan banyak lagi. Ini termasuk langkah-langkah yang perlu diambil apabila berlaku kecemasan dalam air selain teknik-teknik menyelam. Para peserta juga diberi penerangan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sewaktu menyelam. Antara perkara penting diajar ialah cara-cara bernafas ketika menyelam. Kelas teori itu merupakan pendedahan pertama bagi memberi gambaran sebenar mengenai dunia skuba. Semasa di tepi pantai iaitu kawasan air cetek, keadaan berjalan lancar hasil kesungguhan setiap peserta. Masuk hari kedua, kalangan peserta memulakan latihan selam di kawasan agak dalam sekitar 5 hingga 8 meter. Ketika ini pelbagai ragam dapat dilihat apabila peserta dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap kumpulan dilatih oleh tiga orang penyelam mahir. Para peserta terlebih dahulu diminta terapung dan berenang dari tepi pantai hingga ke kawasan dalam. Pada waktu ini, beberapa peserta bertanyakan 'kenapa mereka tak boleh bergerak', ada yang kata tak boleh berenang, tak boleh terapung dan sebagainya. Ada juga yang memberitahu 'air masuk ke dalam mulut ketika terapung'. Banyak lagi ragam para peserta, maklumlah mereka kini berada di kawasan air dalam yang secara tidak langsung mempengaruhi minda masing-masing. Kini tiba pula ragam seterusnya apabila para peserta tadi diminta membuang udara dalam 'BCD' bagi membolehkan mereka tenggelam dan memulakan selaman. Beberapa peserta dilihat tidak dapat tenggelam ke dasar laut walaupun udara dalam BCD sudah dibuang sepenuhnya. Namun tunjuk ajar para tenaga pengajar akhirnya membolehkan kesemua peserta memulakan selaman di kawasan dalam. Memang sesuatu yang menarik dan menakjubkan bagi para peserta tersebut yang pertama kali menjejakkan kaki di dasar laut. Ia bagaikan berada di sebuah dunia baru kerana sebelum ini mereka hanya mengetahui keindahan di daratan. Pengurus Urusan Damai Tioman Resort, tempat penginapan para peserta terbabit, Syed Nassir Syed A. Bakar memberitahu, kehadiran peserta itu secara tidak langsung dapat memperkenalkan pelancongan Tioman melalui dunia skuba. Menurutnya, selain peserta mengambil lesen skuba, program SIT itu turut disertai kira-kira 100 penyelam mahir. ''Antara pengisian program ialah pemasangan plak di tukun tiruan di kawasan perairan berhadapan Damai Tioman Resort. ''Plak istimewa ini ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,'' katanya. Semasa selaman keempat, pada mulanya para penyelam begitu gembira melihat kecantikan dasar laut. Setelah kira-kira 30 minit menyelam, mereka kemudian naik ke permukaan air. Keadaan menjadi sedikit kelam-kabut apabila berlaku ribut dan hujan dengan ombak besar. Sebaik sahaja naik ke permukaan air, ombak besar telah menyebabkan para peserta tadi sukar untuk bergerak. Bagaimanapun, para peserta itu tidak panik dan mereka berada dalam satu kumpulan bagi memastikan keselamatan. Pengalaman baru dan pertama kali dilambung ombak itu tidak mematahkan semangat mereka yang akhirnya berjaya memperoleh lesen menyelam. Program SIT kali ini, turut dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan rock, Wings. Kumpulan Wings bersama para penyelam diberi penghormatan meletakkan plak yang ditandatangani Perdana Menteri pada hari keempat program. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan