Utusan Online - Muka Hadapan |
Posted: Pilihan raya masjid ditangguhOleh ZABRY MOHAMAD
PULAU PINANG 17 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menitahkan pilihan raya masjid di negeri ini ditangguhkan bagi mengelak institusi agama itu dicemari dengan unsur politik yang boleh memecah belah umat Islam. Sehubungan itu, proses pilihan raya yang dijadualkan bermula esok dibatalkan dengan tempoh pelantikan semua jawatankuasa kariah masjid sedia ada yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember ini dilanjutkan setahun lagi iaitu hingga 31 Disember 2012. Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Ellias Zakaria (gambar) berkata, titah itu disampaikan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan beliau ketika mereka menghadap Tuanku Mizan di Istana Negara kira-kira pukul 9 pagi hari ini. Menurut Ellias, dalam pertemuan selama setengah jam itu, Seri Paduka bertitah supaya semua pihak sentiasa memelihara dan melindungi kehormatan serta kesucian institusi masjid dan tidak tercemar dengan unsur-unsur yang boleh mencemar imej Islam dan perpaduan ummah. "Sehubungan itu, Seri Paduka memperkenankan proses pemilihan jawatankuasa kariah bagi seluruh masjid di Pulau Pinang ditangguhkan. "Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Pulau Pinang mahu kaedah atau tatacara pemilihan jawatan kuasa kariah masjid mestilah bersandarkan atas semangat sukarela, harmoni dan berkasih-sayang," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur hari ini. Sehubungan itu, Ellias menjelaskan, Tuanku Mizan menitahkan MAIPP supaya membentuk satu jawatankuasa bebas yang pelantikan ahlinya mesti mendapat perkenan Seri Paduka bagi merangka kaedah sesuai untuk menjalankan proses pemilihan jawatankuasa kariah masjid pada masa depan. "Apa-apa kaedah atau tatacara yang dibentuk oleh jawatankuasa bebas ini nanti perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu," ujarnya. Beliau menambah, disebabkan proses pembentukan jawatankuasa bebas itu akan memakan masa, Tuanku Mizan berkenan supaya tempoh pelantikan semua jawatankuasa kariah masjid sedia ada yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember ini dilanjutkan setahun lagi iaitu hingga 31 Disember 2012. Utusan Malaysia pada 6 Jun lalu mendedahkan keputusan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya bagi jawatankuasa masjid mulai tahun ini dan perkembangan itu dilihat bakal menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian. Keputusan itu mencetuskan bantahan banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri ini yang menyifatkan ia sebagai agenda untuk melemahkan institusi masjid sebagai wadah perpaduan umat Islam. Kontroversi juga timbul memandangkan pelaksanaan proses pemilihan berkenaan didakwa tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di Pulau Pinang. Kerajaan negeri bagaimanapun mempertahankan pelaksanaan kaedah pemilihan tersebut dengan alasan ia mengikut Seksyen 104(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 dan Seksyen 22(4) Enakmen MAIPP. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Kerajaan DAP Pulau Pinang akur titah Agong Posted: Kerajaan DAP Pulau Pinang akur titah AgongPULAU PINANG 17 Jun - Kerajaan DAP Pulau Pinang akur dengan keputusan supaya 'pilihan raya masjid' yang sepatutnya diadakan buat pertama kali di negeri ini esok ditangguhkan. Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim berkata, berikutan titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perkara itu, maka proses pemilihan tersebut ditangguhkan. "Saya selaku Exco Hal Ehwal Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah diberitahu melalui telefon oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Ellias Zakaria bahawa hasil daripada satu pertemuan yang diadakan di Istana Negara pagi ini, Yang di-Pertuan Agong menitahkan pemilihan jawatankuasa kariah masjid ditangguhkan buat sementara waktu. "Oleh yang demikian, pemilihan yang dijadualkan pada 18 dan 19 Jun ini ditangguhkan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini. Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menitahkan kaedah pilihan raya masjid ditangguhkan. Titah tersebut disampaikan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan Yang Dipertua MAIPP ketika kedua-duanya menghadap baginda di Istana Negara hari ini. | ||
Posted: TAPIR SESAT
PASUKAN penyelamat dan penduduk cuba menarik keluar tapir jantan berumur 15 tahun yang terjatuh ke dalam parit bersimen di kawasan perumahan Kempadang Perdana, Kuantan setelah disedari oleh penduduk pada kira-kira pukul 12 malam semalam. Usaha menarik haiwan seberat 350kg itu dengan menggunakan tali dan tangga gagal kerana keadaan yang terlalu gelap. Tugas menyelamatkan haiwan itu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk setempat. Haiwan itu hanya berjaya dilepaskan kira-kira 8.30 pagi semalam dengan menggunakan umpan daun senduduk menyusuri parit sepanjang 500 meter terus ke kawasan paya berdekatan. KUANTAN 17 Jun – Penduduk di Kempadang Perdana, Jalan Pantai Sepat di sini, hari ini gempar apabila menemui seekor tapir sesat yang terjatuh ke dalam longkang konkrit di kawasan perumahan itu. Tapir seberat 350 kilogram itu dipercayai terjatuh ke dalam longkang tersebut kira-kira pukul 12 tengah malam sebelum ditemui oleh penduduk di kawasan itu. Bagaimanapun, tapir jantan itu berjaya diselamatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Pengarah Perhilitan negeri, Khairiah Mohd. Shariff berkata, lima kakitangan jabatan itu bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan penduduk. "Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk setempat turut bersama-sama menyelamatkan tapir tersebut. "Haiwan itu gagal dikeluarkan kerana keadaan gelap. Di samping itu, saiz parit simen yang dalam dan lebar serta kelakuan haiwan tersebut yang lebih agresif pada waktu malam menyukarkan usaha memindahkannya," katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurut Khairiah, pihaknya berjaya mengeluarkan haiwan terbabit dari longkang itu selepas usaha memujuk menggunakan umpan daun senduduk berjaya dilakukan kira-kira pukul 8.30 pagi ini. Selepas berjaya dikeluarkan, kata beliau, pihaknya mendapati haiwan berkenaan mengalami kecederaan ringan pada beberapa bahagian badan akibat terkena dinding longkang itu. Ujarnya, tapir tersebut kemudian dihalau masuk ke kawasan hutan berhampiran yang dipercayai menjadi habitatnya sebelum ini. "Saya memuji sikap prihatin penduduk yang segera menghubungi kami sebaik sahaja melihat tapir itu jatuh ke dalam parit. "Tindakan itu secara tidak langsung menyelamatkan nyawa haiwan liar berkenaan yang kini semakin berkurangan," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan