Utusan Online - Megabait |
MyBracelet ganti pengenalan diri Posted: MyBracelet ganti pengenalan diriOleh SITI AINIZA KAMSARI
SEBELUM ini pasukan ini telah berjaya menciptakan satu inovasi yang mungkin tidak pernah terfikir dek akal fikiran akan kepentingannya kepada kita semua. Ciptaan itu adalah alat Pengimbas Badan 3D untuk menjayakan Kaji Selidik Kebangsaan Mengukur Saiz Badan Penduduk Malaysia (Malaysian Sizing Survey). Ini kerana selama ini, bagi menentukan standard saiz pakaian sama ada S, M dan L itu rupa-rupanya kita menggunakan peninggalan Barat! Bukannya mengikut saiz sebenar yang mewakili penduduk negara ini! Bertambah malang, standard itu pula datangnya sama ada dari United Kingdom yang tentunya juga berlainan dengan standard saiz dari Amerika Syarikat! Namun, kedua-dua negara inilah yang selama ini mempengaruhi saiz pemakaian kita selama ini! Jadi, apabila ada penentuan standard saiz kita sendiri, bukankah itu satu inovasi yang sangat bermakna dan sangat kita hargai? Ini kerana dengan adanya standard atau piawaian Malaysia maka ia boleh diaplikasi ke dalam beberapa industri seperti pakaian, automobil dan produk kesihatan! Malah kita boleh memberikan syarat piawaian Malaysia ini kepada pengeluar kereta asing yang ingin memasarkan kereta mereka di negara ini! Jika tidak, tentu sahaja tidak selesa jadinya apabila saiz tempat duduk kereta itu adalah mengikut saiz Barat yang terkenal dengan besar dan lebar itu! Pasukan yang berjaya mencipta mesin atau alat Pengimbas Badan 3D yang mampu menghasilkan saiz kita yang sebenar ini (ingat, penggunaan pita atau tali pengukur bukan cara yang bijak bagi mendapatkan saiz Piawaian Malaysia ini) adalah hasil kumpulan penyelidik yang dikenali MySize Project daripada pensyarah dan pelajar Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Mereka adalah dari Pusat Penyelidikan Perkomputeran Sains dan Informasi Biologi, Bioindustri, Alam Sekitar, Pertanian dan Kesihatan (Crystal) Institut Sains Biologikal Fakulti Sains, UM. MySize itu kini menjadi projek utama Cystal, tetapi tahukah anda, hebatnya pasukan ini apabila berjaya mencipta satu lagi inovasi terbaru, tetapi mereka sifatkan ia sebagai projek sampingan Crsytal sahaja! Ia dinamakan MyBracelet yang sebenarnya satu inovasi yang sangat canggih dan berteknologi tinggi. Namun kepada mereka yang memakai gelang ini maka ia merupakan cara paling mudah anda dikenali! Sebelum ini apabila bercakap mengenai gelang ini, maka yang terbayang tentulah Gelang Pengenalan Haji (GPH) misalnya. Ia adalah seutas rantai atau gelang tangan besi yang tercatat padanya nama jemaah, nombor telefon, nombor haji dan negara Malaysia bagi memudahkan jemaah tersebut dikenali jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Namun pasukan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Amir Feisal Merican al Junid Merican ini berjaya mencipta sebentuk gelang besi keluli yang dilengkapkan dengan satu sistem kod bar (2D). Ia mengandungi pelbagai maklumat pengenalan diri, paparan imej dan gambar, sehinggalah maklumat kesihatan, jenis darah dan sebagainya. Direka dengan rekaan begitu sofistikated, teknologi termaju, anti calar terutama pada paparan kod bar, berciri keselamatan, MyBracelet bukan sebarang gelang, ia gelang bermaklumat! Menurut Dr. Amir Feisal, gelang ini boleh membantu bagi tujuan identifikasi si pemakai dengan cara diimbas dengan menggunakan telefon yang disediakan kemudahan pengimbasan seperti yang terdapat pada telefon bimbit yang beroperasi menggunakan sistem Android, Windows Mobile, Java, Symbian, BlackBerry dan Brew. "Apabila diimbas pada kod bar gelang tersebut, maka semua segala maklumat akan terpapar pada skrin dan identiti si pemakai boleh dikenalpasti," katanya. Semua ini beliau cipta sebagai tindak balas pengalaman beliau ketika menunaikan haji. Semasa mengerjakan haji, katanya, para jemaah dikehendaki membawa dokumen seperti pasport, buku kesihatan dan kad pengenalan yang disimpan dalam sebuah beg gantung. "Kadang kala membawa beg ini seperti satu beban, malah menjadikan kita terlalu berhati-hati untuk menjaga beg gantung ini daripada hilang mahupun diragut sehingga menghilangkan tumpuan terhadap ibadat. "Jadi apabila pulang ke tanah air, fenomena beg gantung ini memberikan saya ilham dan inspirasi untuk saya mencipta MyBracelet ini," katanya. Maka menjadi harapan Dr. Amir Feisal agar ciptaan inovasi terkini yang terdapat pada MyBracelet ini boleh dimanfaatkan oleh Lembaga Tabung Haji untuk diguna pakai oleh para jemaah haji. Menurut beliau, rekaan MyBracelet ini sebenarnya bukan untuk menggantikan gelang GPH yang sedia ada, cuma mereka berjaya menaik tarafkan gelang tersebut dengan rekaan anak tempatan sesuai untuk semua keadaan terutamanya ketika di Tanah Suci. "Ini supaya para jemaah tidak lagi perlu membawa segala macam dokumen-dokumen penting untuk dimasukkan ke dalam beg gantung kecuali dengan memakai sahaja MyBracelet ini sahaja, segala maklumat ada di dalamnya," kata Dr. Amir Feisal. Selain itu, MyBracelet juga boleh digunakan oleh para banduan sama ada ketika berada di dalam mahupun luar penjara, para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), anggota tentera, pesakit di wad-wad hospital. Bagaimana sebenarnya ia berfungsi dan bagaimana ia mungkin boleh membantu anda untuk tujuan peribadi dan sebagainya. Semua ini dan lebih banyak lagi inovasi bercirikan ciptaan sains dan Islam boleh ditemui pada Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan 2011 yang bertemakan: Inovasi Teras Tamadun Ummah di Masjid Negara dan Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Kuala Lumpur yang berlangsung sejak 2 Jun hingga 5 Jun 2011. MyBracelet adalah antara 60 produk inovasi Islam yang dipamerkan sepanjang karnival yang diadakan buat kali kedua selepas berjaya diadakan tahun lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Kesemua produk ini tentu sahaja merupakan hasil-hasil inovasi tempatan yang sangat menarik untuk kita iktiraf dan kagumi! Alangkah rugi, jika segala macam ciptaan inovasi ini dan kemeriahan karnival ini dilepaskan begitu sahaja, sedangkan segala inovasi itu diciptakan khas bukan untuk sesiapa, tetapi kepada anda juga! Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Megabait To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan