Utusan Online - Dalam Negeri |
- Bot PATI balik raya awal karam
- Biasiswa JPA: 86 dibiayai ke IPTS
- Penerima biasiswa enggan pulang akan disaman
Bot PATI balik raya awal karam Posted: Bot PATI balik raya awal karamOleh NURUL HUDA HASSAN dan ZULHISHAM ISAHAK
KOTA TINGGI 1 Jun - Cubaan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) rakyat Indonesia menyelinap keluar dari negara ini ke Batam untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri, berakhir dengan tragedi apabila bot pancung mereka karam di perairan Tanjung Ayam, Pengerang di sini awal pagi ini. Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, 17 daripada mereka berusia 26 hingga 46 tahun berjaya diselamatkan manakala usaha mencari dan menyelamat (SAR) bakinya termasuk seorang tekong sedang giat dijalankan oleh pihak terlibat. Tujuh daripada mangsa diselamatkan kapal dagang dari China, MT Huo Tuo, bot Petir 11 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia - Maritim Malaysia (enam), bot CP90 milik Tentera Laut Diraja Malaysia - TLDM (tiga) dan Pasukan Pengawal Pantai Singapura (seorang). Semua mangsa termasuk seorang yang melecur di perut dibawa ke Kompleks Jeti Penumpang dan Marina di Tanjung Pengelih, Pengerang untuk rawatan Jabatan Kesihatan Sungai Rengit selain tindakan selanjutnya. Difahamkan, kesemua PATI menaiki bot pancung terbabit dari Sungai Rengit ke Batam, Indonesia, pukul 2 pagi namun karam dipukul ombak selepas berselisih dengan sebuah feri pada kedudukan 3.5 batu nautika (6.3 kilometer) di selatan Tanjung Ayam. Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili Maritim Malaysia, Komander Abdul Razak Johan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Pasukan Khas Maritim Singapura pada pukul 7.45 pagi dan usaha SAR masih diteruskan sehingga kini. "Beberapa mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut kepada tong air, tong minyak dan serpihan kayu sebelum diselamatkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata, sebanyak lima bot dan dua helikopter Maritim Malaysia, sebuah bot TLDM dan sebuah bot Pasukan Gerakan Marin (PGM) dengan kekuatan 80 anggota telah digerakkan untuk SAR. Mengulas lanjut, Abdul Razak memberitahu, siasatan awal mendapati, terdapat sebuah lagi bot pancung yang dipercayai membawa PATI rakyat Indonesia wanita turut berlepas dari tempat dan waktu yang sama. "Kita percaya PATI di negara ini sudah mula pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kita juga sudah mengenal pasti beberapa laluan tikus disyaki digunakan mereka untuk keluar dari negara ini. "Sehubungan itu, pihak kami akan giat menjalankan pemantauan di kawasan panas bagi memastikan tiada lagi nahas seumpama ini berlaku di kawasan perairan negara," tegasnya. Sementara itu, gerakan SAR kesemua tujuh mangsa yang masih hilang dihentikan pukul 7 petang ini dan akan disambung semula esok. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Biasiswa JPA: 86 dibiayai ke IPTS Posted: Biasiswa JPA: 86 dibiayai ke IPTSOleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR 1 Jun - Seramai 86 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal memperoleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan dibiayai untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. Menurut beliau, berdasarkan keputusan tersebut, pelajar berkenaan yang sebelum ini memohon untuk mendapatkan biasiswa JPA ke luar negara akan ditaja mengikut jurusan yang dipohon mereka di IPTS. "Perdana Menteri dan Kabinet bersetuju untuk menempatkan mereka ke IPTS tempatan. Ia lebih menjimatkan berbanding kita membiayai mereka ke luar negara. Jika mereka ditempatkan ke IPTS tempatan, ia akan melibatkan kos sebanyak RM21.6 juta tetapi kalau ke luar negara, kosnya RM52.1 juta. "Daripada 86 pelajar terbabit, tiga adalah Melayu, seorang bumiputera Sarawak, 71 pelajar Cina dan 11 lagi pelajar India," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di bangunan Parlimen hari ini. Mengulas lanjut Mohamed Nazri berkata, mengikut pecahan, seorang pelajar akan mengikuti pengajian dalam bidang pergigian di Universiti AIMST manakala dalam bidang perubatan 15 pelajar akan dihantar ke Monash University kampus Sunway, 18 pelajar (International Medical University) dan seorang ke Royal College of Medicine Perak. Untuk jurusan kejuruteraan katanya, tujuh pelajar akan ditempatkan di Monash University kampus Sunway, 12 pelajar (Universiti Teknologi Petronas) dan 13 pelajar (Universiti Multimedia Malaysia). Selain itu jelasnya, dua orang pelajar akan mengikuti jurusan sains di Monash University kampus Sunway manakala masing-masing dua pelajar akan ditempatkan di Universiti Multimedia Malaysia bagi jurusan ekonomi dan perakaunan. "Bagi jurusan bioteknologi pula, kita akan menempatkan seorang pelajar di Monash University kampus Sunway, seorang dalam jurusan pengurusan perniagaan di University of Nottingham kampus Malaysia dan 11 lagi pelajar akan mengikuti bidang farmasi di Taylor's University College," ujarnya. Katanya, selain isu penempatan pelajar berkenaan, Kabinet juga bersetuju untuk mengkhususkan penawaran matrikulasi mengikut bidang yang dipohon pelajar. "Sebelum ini tawaran bagi bidang dalam matrikulasi adalah bersifat terbuka tetapi kali ini kita tetapkan bidang yang akan ditawarkan seperti matrikulasi pergigian dan sebagainya. "Kabinet juga bersetuju untuk menawarkan tempat matrikulasi kepada pelajar yang memperoleh keputusan 8A+ yang sebelum ini ditawarkan mengikuti diploma," tambahnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Penerima biasiswa enggan pulang akan disaman Posted: Penerima biasiswa enggan pulang akan disamanKUALA LUMPUR 1 Jun - Kerajaan melalui Pejabat Peguam Negara akan menyaman penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang enggan pulang untuk berkhidmat di tanah air selepas menamatkan pengajian di luar negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, jumlah penerima yang enggan pulang itu ada dalam senarai pejabat berkenaan yang telah diarah untuk mengambil tindakan sewajarnya. "Jumlahnya ada. Kebanyakan yang enggan pulang adalah mereka yang menuntut dalam jurusan perubatan. Sudah tentu kita mahu mereka ini pulang (berkhidmat di tanah air). Tetapi, kalau tidak balik, kita kena (terpaksa) menyaman atas apa yang telah kita bayar (biasiswa) untuk mereka," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di pejabatnya di bangunan Parlimen hari ini. Mesyuarat Kabinet hari ini antara lain memutuskan untuk membiayai 86 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal memperoleh biasiswa JPA, melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan. Kabinet juga memutuskan untuk mengkaji semula dasar pembiayaan biasiswa JPA yang bakal dilaksanakan tahun depan. Mengulas lanjut Mohamed Nazri berkata, penerima biasiswa JPA di luar negara perlu pulang berkhidmat di tanah air memandangkan kerajaan telah mengeluarkan perbelanjaan yang mencecah jutaan ringgit untuk mereka. "Justeru, mereka kenalah 'bayar' balik (berkhidmat). Cuba bayangkan untuk jurusan perubatan sahaja, lebih RM1 juta pembiayaan biasiswa telah kita sediakan. "Ini melibatkan pembiayaan untuk jurusan itu di Ireland dan United Kingdom," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan