Utusan Online - Keluarga |
Posted: Bersikap terbuka bicara seksOleh NOOR FAZRINA KAMAL
fitrah manusia dianugerahkan dengan akal fikiran, perasaan, nafsu dan keinginan. Justeru perkahwinan dilihat sebagai satu saluran untuk memberi kedamaian dan ketenteraman dua jiwa antara lelaki dan wanita dalam memenuhi fitrah tersebut. Dalam Islam, ia juga sebagai menghalalkan perhubungan kelamin supaya mendapat keberkatan daripada Allah. Namun jika perhubungan intim suami isteri tidak menjadi seperti yang diharapkan pasti sedikit sebanyak memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga. Sebab itu sering kedengararan bahawa seks dan meraih kepuasan daripadanya bukanlah perkara utama dalam perhubungan suami isteri. Tetapi benarkah itu yang ada dalam hati mereka? Atau mereka sebenarnya malu dan tabu untuk membicarakan hal seks kerana tidak mahu disalah anggap sebagai bercerita hal dalam kelambu masing-masing? Tetapi ramai yang tidak sedar atau lupa bahawa komunikasi adalah kunci utama bagi permasalahan seks suami isteri. Ia nampak kecil. Tetapi sebenarnya ia ibarat bom jangka yang tidak mustahil akan meletuskan perbalahan lebih besar jika tidak ditangani. Apabila membicarakan soal kepuasan seks dalam rumah tangga, apakah kunci atau ukuran sebenar kepuasan seksual dan keintiman antara lelaki dan perempuan? Menerusi kaji selidik oleh syarikat farmasutikel terkenal, Pfizer, mendapati kebanyakan pasangan di Malaysia berpendapat tahap ketegangan merupakan kunci utama kepuasan seksual. Bukti yang diperolehi menerusi hasil kaji selidik yang dinamakan Kajian Seks Ideal itu diadakan pada bulan Disember tahun lalu. Ia melibatkan 3,282 responden lelaki dan wanita dari 10 buah negara Asia Pasifik termasuk Malaysia. Kajian itu sememangnya amat diakui kepentingannya memandangkan ia satu isu yang agak tabu dan kurang dibicarakan secara terbuka oleh pasangan di negara ini. Dalam pada itu ia juga perlu demi memahami pemikiran lelaki dan wanita dalam menentukan persekitaran yang ideal. Ia turut merumuskan pandangan lelaki dan wanita tentang bentuk badan, kesihatan organ reproduktif, personaliti, gaya hidup yang diidamkan, hubungan seksual mengikut ukuran Erection Hardness Score (EHS). Pakar Urologi dari Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. George Lee berkata, kualiti ketegangan atau ereksi bukan sahaja memberi kepuasan kepada kaum lelaki secara fizikal, psikologi dan emosi tetapi ia juga sama penting untuk pasangan mereka. "Dalam penjagaan kesihatan khususnya, memang wujud diskriminasi. Cuba kita utarakan persoalan ini, antara lelaki dan wanita mana yang mudah jatuh sakit? Jika secara rambang, pasti jawapannya lelaki. Namun mengikut kajian, perempuan lebih mudah jatuh sakit dari lelaki. "Jika ditanya siapa umur lebih panjang? Wanita hidup lebih lama dari lelaki. Ini kerana lelaki dikaitkan dengan kuat merokok dan minum alkohol. Padahal yang sebenarnya lelaki susah mengakui yang mereka sedang sakit. Sehinggalah penyakit tersebut jadi kronik barulah mereka mahu merujuk kepada doktor," jelasnya pada satu sesi perbincangan anjuran Pfizer di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Tambah Dr. Lee, bukan mudah mengubah tanggapan lelaki bahawa isu mati pucuk itu satu penyakit. "Lelaki terlalu tabu untuk membicarakan tentang seks, terutama yang melibatkan kekurangan mereka. Sekiranya seseorang lelaki mendapat ereksi optimum, dia mencapai kemampuan seksual yang lebih baik dan boleh memuaskan pasangannya. "Dengan gaya kehidupan seksual yang membahagiakan, lelaki yang baik pada prestasi seksnya mempunyai imej diri dan keyakinan yang lebih baik. Mereka merasa lebih berjaya dari orang lain," jelas Dr. Lee yang juga merupakan salah seorang panel pengkaji dalam Kajian Seks Ideal untuk Malaysia. Selain daripada pengalaman seks yang ideal, kajian itu juga menunjukkan kaitan di antara kualiti ereksi lelaki dan kaitannya dengan status kesihatan mereka. "Apa yang kebanyakan lelaki tidak tahu ialah kegagalan fungsi ereksi merupakan salah satu tanda awal bagi penyakit kardiovaskular. Lazimnya ia berlaku seiring dengan diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung. "Akibat daripada kadar kolesterol dan diabetes yang tinggi, salur darah akan dihalang oleh pengumpulan lemak di sepanjang dinding arteri. Lama kelamaan salur darah ini akan mengeras dan menjadi sempit, mengakibatkan pengaliran darah tidak mencukupi ke organ-orang penting. "Salur darah di bahagian kelamin lelaki lebih kecil berbanding tubuh lain. Jadi apabila bahagian ini bermasalah, bahagian tubuh lain turut terlibat terutama sekali jantung," katanya. Dr. Lee berkata, mengambil berat akan kualiti ereksi dan mendapat rawatan pencegahan melalui khidmat nasihat profesional bukan sahaja meningkatkan pengalaman seksual dan imej diri malahan ia boleh meningkatkan keseluruhan tahap kesihatan anda. Kesimpulannya, amat baik pasangan berbincang dan mengambil bahagian dalam proses kaunseling bersama doktor. Tetapi, pasangan perlu pastikan komitmen mereka jika mahukan hasil yang berkesan. Adakalanya, beberapa sesi kaunseling seksual berupaya membantu lelaki yang akan menjalani rawatan berkaitan mati pucuk. Ia sekali gus menjadikan mereka bersedia dari segi minda dan mempunyai perasaan positif untuk menjalani kehidupan yang lebih baik selepas itu. Saranan kaunselor juga mampu mendorong pasangan untuk memperbaiki komunikasi seksual dan hubungan cinta mereka. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Banyak berfikir jejas prestasi seks Posted: Banyak berfikir jejas prestasi seks
BENARLAH seperti yang sering diluahkan oleh rakan sepejabat, kerja yang banyak duduk lebih memenatkan daripada kerja yang menggunakan tulang empat kerat. Pekerjaan yang memerlukan seseorang itu banyak berfikir memang memberi kesan kepada kesejahteraan minda. Lebih-lebih lagi jika individu tersebut tidak pandai menyeimbangkan dan mengambil langkah awal sekiranya menghampiri masalah. Pakar psikiatri dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari tidak menafikan kebanyakan hubungan seks bermasalah yang dirujuk kepadanya adalah dari kalangan mereka yang bekerja pejebat. "Pekerjaan yang memerlukan banyak berfikir memang memberikan kesan. Apabila diselidiki didapati mereka ini ada masalah disfungsi erektil (ED) atau dalam bahasa mudahnya mati pucuk. "Masalah ini berbeza daripada mereka yang bekerja dengan menggunakan kudrat. Inilah trend yang kami dapat perhatikan di sini," jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini. Jadi menurutnya, adalah amat baik bagi seseorang pekerja itu menyeimbangkan antara kerjaya dan kehidupan. "Perlu peruntukan cuti dan mesti memaksimumkan masa sebaiknya dengan pasangan masing-masing," ujarnya. Dr. Muhsin berkata, adalah amat mustahak untuk setiap pasangan berkomunikasi secara terbuka tentang masalah yang mereka alami. "Ia bukan sekadar gangguan rumah tangga seperti orang ketiga, keluarga mertua atau masalah hidup berasingan, tetapi ini melibatkan masalah seksual. "Memang ia sukar dikesan kerana setiap pasangan terutama di pihak lelaki amat tabu untuk membicarakan soal ini secara terbuka dengan isteri sendiri apatah lagi dengan ahli profesional. "Sebenarnya masalah seks juga menjadi penyumbang kepada keretakan rumah tangga," ujarnya. Dr. Muhsin berkata, masalah seksual terutama yang melihatkan prestasi seksual lelaki seperti ED adalah masalah yang boleh dirawat. "Ada juga kes di mana pasangan suami isteri itu sudah enam tahun berkahwin dan tidak mempunyai anak, bila diselidik rupanya suami ada masalah ED. "Sebab itu komunikasi amat penting dan perlulah tahu bahawa ada rawatannya," ujarnya. Menurutnya, para psikiatri akan memastikan tiada penyakit fizikal lain yang menyumbang. Jika ada ia perlu dirawat satu persatu. "Masalah ED ini bersangkut paut dengan masalah lain. Tetapi jika tidak diluahkan kita tidak tahu puncanya. Mungkin asalnya masalah tersebut datang dari tempat kerja dan melarat hingga ke rumah. "Jika pendam masalah ketidakpuasan seks ini dan tidak dirawat boleh menjurus ke arah kemurungan. Bila jadi lebih teruk ia diibaratkan seperti kitaran pula apabila akan menimbulkan pelbagai lagi masalah lain, katanya. Klinik terapi seks Menurut Dr. Muhsin, mungkin tahap kepuasan seks di Malaysia tidaklah seburuk di Singapura yang menubuhkan klinik khas bagi terapi seks. Namun tidak mustahil satu hari nanti ia akan jadi seperti itu kerana cara hidup yang berubah dengan arus pemodenan dan tekanan sekeliling. "Di Malaysia belum ada klinik khusus untuk terapi seks. Namun masalah berkaitan psikologi seks ini boleh dirujuk kepada ahli psikiatri dan psikologi. "Memang tidak ada salahnya jika mewujudkan klinik terapi seks namun tidak dinafikan stigma masyarakat Malaysia yang masih tabu dengan isu ini menjadi halangan kejayaannya. "Namun alternatif tetap ada. Di PPUM sendiri, kami mempunyai klinik untuk wanita yang boleh membincangkan masalah berkaitan peribadi untuk mendapat penyelesaian yang terbaik bagi mereka. "Memang lelaki lebih ego, namun jika ia berkaitan dengan masalah ED ketahuilah ada rawatannya dan ia bersifat sementara. Sebagai individu yang ingin meningkatkan taraf hidup mereka harus juga berkorban mengubah gaya hidup kepada yang lebih baik," ujarnya. Dr. Muhsin menegaskan, sebaiknya setiap pasangan suami isteri bersikap terbuka dan berkomunikasi. "Cuba fahami pasangan anda dan bebanan emosi yang mereka tanggung. Dan jika sudah diutarakan rasa tersebut, suami atau isteri itu carilah rawatan. "Masyarakat perlulah bersikap terbuka sebab kebanyakan kes yang berlarutan adalah apabila ia tidak dibicarakan dari peringkat awal. "Apabila ia berlarutan bukan sekadar memberi kesan negatif kepada rumah tangga malah produktiviti kerja juga terjejas," jelasnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan