Sabtu, 31 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Polis yakin selesai kes rompak bank

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 30 Mei - Polis yakin dapat menyelesaikan kes rompakan beberapa buah bank di Pulau Pinang dalam masa terdekat selepas meneliti pelbagai bukti mengenai kejadian itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya mendapati penjenayah terbabit menggunakan modus operandi yang sama dalam enam kejadian rompakan yang berlaku di seluruh negeri itu sepanjang tahun ini.

"Melalui bantuan orang awam serta rakaman kamera litar tertutup saya yakin pihak polis akan memberkas penjenayah terbabit dalam masa terdekat.

"Kita telah mengenal pasti modus operandi penjenayah termasuk kejadian terbaharu di Sungai Dua dekat George Town petang semalam mengakibatkan kerugian kira-kira RM60,000," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang semalam, dua penjenayah mengugut akan membakar bank yang dirompak dengan mencurahkan minyak petrol ke lantai sebelum melarikan wang tunai sambil seorang rakan mereka menunggu di luar bank itu.

Dalam pada itu, Abdul Rahim mengucapkan tahniah kepada bekas Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Azman Abd. Lah yang bersara selepas menabur bakti selama empat tahun di daerah tersebut.

Tempat Azman digantikan Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor.

Pada majlis itu juga, Azman dan isteri diarak menaiki jip yang ditarik oleh pegawai kanan polis termasuk Abdul Rahim dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah.

Rusli dalam ucapan aluannya berkata, tanggungjawab yang dipikul sebagai Ketua Polis Daerah adalah sesuatu yang mencabar dan akan berusaha untuk mengenali segenap aspek daerah SPT dan Pulau Pinang.

"Saya mengharapkan kerjasama dan tunjuk ajar daripada semua termasuk Ketua Polis Negeri dan rakan-rakan serta pegawai di IPD ini untuk mencapai misi dan visi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menurunkan indeks jenayah.

"Saya juga berharap dapat bekerjasama dengan Timbalan Ketua Polis Daerah dan anggota di semua balai polis di daerah ini untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik," ujarnya.

Kerajaan DAP tidak tepati konsep CAT

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

MUHAMAD Farid Saad menunjukkan bangunan parkir Bukit Bendera yang gagal disiapkan mengikut jadual menimbulkan keraguan sama ada dapat disiapkan atau tidak pada 31 Ogos ini.

PULAU PINANG 30 Mei - Kegagalan kerajaan negeri menyiapkan bangunan parkir di Bukit Bendera pada tarikh yang ditetapkan dianggap sebagai satu monumen kegagalan DAP dalam menepati konsep cekap, telus dan akauntabiliti (CAT) yang dilaung-laungkan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, kerajaan negeri tidak telus dalam menyatakan punca sebenar projek itu gagal disiapkan mengikut jadual setelah dua kali ditunda tarikh akhirnya.

Alasan mereka mengatakan kelewatan projek berpunca daripada bongkah batu besar sememangnya tidak dapat diterima dengan akal kerana seperti yang semua sedia maklum, projek ini dibangunkan di atas tapak bangunan parkir asal yang diruntuhkan akibat tidak menepati spesifikasi.

"Adakah sebelum ini ketika bangunan asal dibina, bongkah batu ini tidak dijumpai dan mengapa ketika pembinaan kali kedua, tiba-tiba bongkah batu ini wujud," soal Muhamad Farid ketika mengadakan tinjauan ke tapak pembinaan projek berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kelmarin mengenai tarikh baharu penyiapan projek iaitu pada 31 Ogos ini.

Muhamad Farid berkata, masalah bongkah batu besar boleh ditangani lebih awal semasa bangunan yang pertama dibina dan tindakan kerajaan negeri mengumumkan masalah berkenaan sebagai punca kelewatan adalah alasan semata-mata bagi menutup kelemahan mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, jika kontraktor gagal menyiapkan projek atas sebab munasabah, maka lanjutan masa layak diberikan tetapi tidak boleh diberikan untuk kali kedua atas sebab yang sama dan jika masih lagi gagal menepati jadual penyiapan, kontraktor berkenaan sepatutnya dikenakan penalti Liquidated and Ascertained Damages (LAD) oleh kerajaan negeri.

"Setakat ini tiada pula apa-apa pengumuman berkaitan penalti LAD diberikan kepada kontraktor terbabit dibuat oleh kerajaan negeri dan semua ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat keistimewaan diberikan kepada kontraktor berkenaan," tegas Muhamad Farid.

Beliau berkata, pembinaan tingkat ke enam dan tujuh bangunan itu masih di fasa awal manakala tingkat lapan masih belum dimulakan sama sekali dan ini menimbulkan persoalan sama ada ia mampu disiapkan pada 31 Ogos seperti yang diumumkan PDC.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Muhamad Farid turut mempersoalkan tindakan PDC yang mengumumkan penangguhan tarikh penyiapan bangunan berkenaan melalui Timbalan Pengurus Besar 1 PDC, Iskandar Basha Abdul Kadir baru-baru ini.

Muhamad Farid memberitahu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Georgetown baru-baru ini menyatakan bahawa Iskandar Basha telah meletak jawatan sebagai Pengerusi PDC pada 6 Ogos tahun lalu dan pada 7 Januari lalu telah melepaskan jawatan sebagai Pengurus Besar PDC.

Bagaimanapun, menurut kenyataan berkenaan, Iskandar Basha masih dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan pembinaan bangunan parkir itu.

"Jika sekiranya Pengerusi dan Pengurus Besar yang baharu telah dilantik, mengapa mereka ini tidak membuat kenyataan akhbar mengenai kelewatan menyiapkan bangunan tersebut pada 28 Mei lalu dan atas kapasiti apa Iskandar Basha masih dipertanggungjawabkan berkenaan isu ini," tegasnya.

Menurut Muhamad Farid, apa yang berlaku membuktikan kerajaan negeri gagal menunjukkan CAT sehingga wang rakyat diuruskan secara sambil lewa dan tidak bijak.

Empat tahun bergantung air bukit

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

Zainul Abu Rahim (kanan) dan Ahmad Yusof (kiri) menunjukkan air kotor yang digunakan oleh penduduk untuk kegunaan harian di Perumahan Desa Keda Gulau, Sik, Kedah, baru-baru ini.

SIK 30 Mei - Kira-kira 40 keluarga di perumahan Desa Keda Gulau dekat sini terpaksa bergantung kepada sumber air bukit ekoran masalah bekalan air di kawasan tersebut sejak empat tahun lalu.

Penduduk mendakwa, mereka terpaksa menggunakan air bukit walaupun dikhuatiri tercemar bagi kegunaan harian, termasuk mandi, membasuh pakaian dan lain-lain.

Pengerusi Pasukan Perancang Pelaksanaan Projek (4P) Desa Keda Gulau, Zainur Abu Rahim berkata, masalah itu harus diatasi segera kerana dibimbangi memudaratkan penduduk.

"Penduduk minta pihak berkaitan melakukan sesuatu dan tidak membiarkan mereka menggunakan air bukit yang kotor itu setiap hari," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, bagi menggelakkan keadaan itu, penduduk terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli paip dan membuat takungan air di kawasan hutan berdekatan.

Salah seorang penduduk, Ahmad Yusof, 43, berkata, meter air di rumahnya terpaksa dibuang bagi mengelak dikenakan bayaran RM6 sebulan.

"Sebelum ini, pihak berkenaan mendakwa penduduk di perumahan Desa Keda Gulau akan memperoleh bekalan air seperti yang dinikmati oleh penduduk di tempat-tempat lain, malangnya bila meter dipasang, air tidak mengalir ke rumah seperti dikehendaki hingga sekarang," katanya.

Menurutnya, air yang digunakan oleh penduduk ketika ini bakal terdedah dengan pelbagai risiko, termasuk kencing tikus dan lain-lain.

"Sampel air yang kami ambil dari bukit untuk kegunaan harian tidak pernah dibuat kajian oleh mana-mana pihak, termasuk Jabatan Kesihatan sendiri," katanya.

Seorang suri rumah, Suraya Bahari, 31, pula memberitahu, dia kesal dengan sikap pihak terbabit yang seolah-olah tidak mengambil sebarang tindakan untuk membantu penduduk.

"Ada penduduk menghidap penyakit kulit bila guna air dari bukit itu dan kawasan ini juga terdapat banyak babi berkubang," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved