Sabtu, 31 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


8 penyamun warga asing ditahan

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com

HAMZAH Alias (kanan) memeriksa dokuman seorang warga Indonesia ketika operasi cegah jenayah di Ladang Gadees, Jempol, Negeri Sembilan, kelmarin.

JEMPOL 30 Mei - Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun yang aktif menjalankan kegiatan jenayah di sekitar daerah ini menerusi penahanan lapan suspek termasuk tiga wanita warga Indonesia, di sini semalam.

Kesemua suspek yang merupakan pekerja ladang berusia 25 hingga 55 tahun itu diberkas dalam operasi selama lapan jam bermula pukul 11.30 malam semalam di sebuah rumah kongsi dekat ladang kelapa sawit Serting Hilir Tiga, di sini.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, operasi itu dibuat bagi mengesan pekerja asing bermasalah berikutan peningkatan kes samun melibatkan warga asing di daerah ini.

"Ketika serbuan, kesemua mereka cuba melarikan diri namun tidak berjaya. Pemeriksaan mendapati kesemua warga asing itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Kita juga menemui senjata tajam seperti sabit dan pisau serta dua buah motosikal disyaki dicuri," katanya ketika ditemui selepas operasi.

Jelas Hamzah, pihaknya percaya dapat menyelesaikan dua kes samun di daerah itu dengan penahanan lapan suspek terbabit.

"Semasa soal siasat bagi kes samun di Ladang Gadees dan Felda Palong Tiga baru-baru ini, mangsa yang diikat dan diacu parang mendakwa suspek adalah warga asing," katanya yang turut menyiasat sama ada suspek turut terlibat dalam kes jenayah lain.

Sebanyak lima premis telah diperiksa dalam operasi yang disertai oleh enam pegawai dan 35 anggota itu.

Tambah Hamzah, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian jenayah diminta menyalurkan ke bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 06-4582 222 bagi membantu siasatan.

MPAG perkenal pelekat letak kereta hibrid

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

MURAD Husin (dalam kereta) menampal pelekat letak kereta hibrid di pekarangan pejabat Majlis Perbandaran Alor Gajah, Melaka (MPAG), Melaka, semalam.

ALOR GAJAH 30 Mei - Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) memperkenalkan pelekat letak kereta hibrid yang membolehkan pengguna kereta berteknologi hijau meletakkan kenderaan mereka secara percuma di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Yang Dipertuanya, Murad Husin berkata, usaha itu bagi menghargai pemandu kenderaan yang secara tidak langsung menyokong usaha kerajaan negeri ke arah mencapai matlamat negeri teknologi hijau.

Menurutnya, MPAG kini mempergiatkan kempen alam sekitar termasuk menggalakkan pengguna berkemampuan untuk memiliki kereta hibrid yang bebas daripada pelepasan gas karbon dioksida dan meminimumkan penggunaan bahan bakar.

"Pelekat letak kereta hibrid dan elektrik ini merupakan inisiatif dan insentif pihak MPAG kepada pengguna kenderaan mesra alam khususnya yang bermastautin di negeri ini.

"Pelekat kereta ini melayakkan pemohon untuk meletakkan kenderaan mereka secara percuma tanpa menggunakan kupon gores di seluruh kawasan pentadbiran MPAG," katanya selepas majlis pelancaran pelekat kereta itu di pekarangan pejabat MPAG di sini hari ini.

Murad berkata, pengguna kenderaan hanya perlu datang ke MPAG dan membawa geran untuk memohon pelekat berkenaan dengan bayaran RM10 sahaja bagi menikmati kemudahan tempat letak kereta percuma selama setahun.

Sementara itu, beliau turut menyeru masyarakat untuk mengamalkan konsep 3R (reduce, reuse, recycle) bagi membantu melestarikan alam sekitar selain mengurangkan kesesakan di tapak pelupusan sampah.

"Pelupusan sampah di negeri ini masih menggunakan cara tradisional dan sekiranya konsep 3R ini diamalkan secara meluas, kesesakan sampah di tapak pelupusan dapat dikurangkan sehingga 50 peratus atau lebih lagi," katanya.

Peniaga tidak lagi jual coklat Cadbury

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

MUSTAPA Md. Noor menunjukkan simbol pangkah pada peti coklat Cadbury sebagai tanda tidak lagi dijual kepada pengguna di kedainya di Alai, Melaka, kelmarin.

MELAKA 30 Mei - Sebahagian besar peniaga dan peruncit beragama Islam di sekitar bandar raya ini mengambil langkah prihatin dan tidak lagi menjual produk coklat Cadbury jenis kacang hazel serta buah badam selepas dikesan mengandungi asid deoksiribonukliek (DNA) babi.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar raya mini dan kedai runcit di bandar raya ini mendapati kebanyakan peniaga dan peruncit menyedari peranan masing-masing.

Seorang pengusaha pasar raya mini, Mustapa Md. Noor, 51, berkata, dia tidak teragak-agak untuk menghentikan penjualan produk tersebut kerana bimbang akan terus dibeli terutamanya oleh pengguna beragama Islam.

Menurutnya, walaupun hanya dua jenis produk coklat itu yang disahkan mengandungi DNA babi, dia mengambil keputusan untuk tidak menjual langsung sebarang produk keluaran Cadbury kerana masih sangsi.

"Sejurus mengetahui berita tentang coklat ini mengandungi DNA babi yang dilaporkan dalam akhbar beberapa hari lalu, saya segera menutup peti coklat berkenaan dan menunggu ia ditarik semula oleh pihak pengeluar," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jelas Mustapa yang menjalankan perniagaan keluarganya itu, kes sedemikian pertama kali dialaminya dan amat mendukacitakan kerana produk tersebut sememangnya laris di pasaran.

"Perkara membabitkan halal haram sememangnya sensitif bagi pengguna Islam tetapi kenapa baru kini dihebohkan," tegasnya.

Tambahnya lagi, dia turut menyarankan agar produk lain terutama berkaitan tenusu turut dikaji semula kerana bimbang mengandungi bahan sama malah pihak pengeluar juga perlu lebih sensitif dengan isu membabitkan makanan ini.

Sementara itu, seorang peruncit, Saufian Jamaludin, 26, memberitahu, dia amat terkejut dengan berita bahawa dua produk Cadbury itu mengandungi DNA babi memandangkan produk tersebut mempunyai logo halal.

Jelasnya, prihatin dengan perkara itu, dia mengambil tindakan untuk menyimpan semua produk keluaran Cadbury yang dijual di kedainya agar tidak dibeli para pengguna.

Katanya, memandangkan perkara itu amat sensitif bagi pengguna beragama Islam, dia pasti tidak akan lagi mengambil produk Cadbury daripada pihak pengeluar selepas ini.

"Diharap juga perkara seperti ini tidak lagi berlaku kepada produk-produk makanan lain yang telah mempunyai sijil halal kerana majoriti pengguna di negara ini adalah beragama Islam," tegasnya.

Sementara itu, tinjauan ke beberapa pasar raya dan kedai runcit bukan Islam pula mendapati produk tersebut masih dijual seperti biasa dan tidak diletakkan sebarang tanda atau peringatan oleh pengusahanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved