Utusan Online - Sukan |
Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA dan SHAHRINNAHAR LATIB Anggota polis mengawal keadaan di luar perkarangan stadium yang sedikit kecoh setelah penyokong Pahang membaling molotov cocktail sejurus bas yang membawa penyokong JDT meninggalkan Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN KUANTAN - Kejayaan Pahang melangkah ke final Piala FA sedikit tercemar gara-gara tindakan penyokong membaling molotov cocktail ke arah bas Johor Darul Tazim (JDT) tidak lama selepas Tok Gajah meraikan kemenangan 1-0 di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Dua lelaki berumur lingkungan 30-an itu dipercayai membaling molotov cocktail ke arah bas yang membawa penyokong JDT sejurus tamat aksi separuh akhir dua Piala FA. Dalam perlawanan itu pemain tengah Tok Gajah, Mohd. Faizol Hussain muncul wira Pahang apabila percubaannya pada minit ke-81 dari luar kotak penalti menerjah ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan. Jaringan tunggal Faizol itu menggegarkan lebih 30,000 penyokong Tok Gajah, sekali gus melayakkan Pahang ke perlawanan akhir Piala FA dengan agregat 2-1. Kali terakhir Pahang muncul juara piala prestij ini pada 2006 dan kali ini skuad Tok Gajah bakal beraksi menentang sama ada Felda United ataupun Kelantan pada pentas final yang dijadualkan berlangsung pada 7 Jun depan di Stadium Bukit Jalil. Namun, kejadian di luar stadium selepas tamat perlawanan mencemarkan kegembiraan peminat tuan rumah. Bagaimanapun mujurlah, tiada kecederaan berlaku dan polis bertindak cepat dengan menahan individu berkenaan untuk siasatan lanjut. Perbuatan tidak bertanggungjawab itu bagaimanapun tidak menyebabkan kekecohan dan penyokong JDT berjaya pulang dengan selamat. Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut. Bermulanya separuh masa pertama, Pahang terlebih dahulu memulakan asakan ke kubu JDT, namun beberapa peluang yang diperolehi gagal dimanfaatkan oleh anak buah Zainal Abidin Hassan. Skuad Harimau Selatan mendapat peluang pada minit ke-74 namun sepakan percuma yang diambil Luciano sekadar melencong ke kiri gawang tuan rumah. Yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu, Tengku Muda Pahang yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Pada 5 Mei lalu, kelebihan beraksi di depan ribuan penyokong sendiri gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh JDT apabila membenarkan Pahang memperoleh kelebihan gol di tempat lawan dalam aksi separuh akhir pertama yang berkesudahan 1-1. |
Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Indra Putra Mahayuddin yakin, Felda United mampu melakar kejutan ke atas Kelantan untuk melangkah ke final Piala FA. KUALA LUMPUR - Sebelum sepak mula separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, malam ini hanya satu perkara sahaja bermain di fikiran Indra Putra Mahayuddin, iaitu mahu membuktikan Felda United bukan sebarangan pasukan dan membawa kelab itu mengikut jejak Sime Darby pada 2012 iaitu layak ke final. Sedar tiada sesiapa menaruh harapan kepada skuad yang digelar The Settlers itu bagi mencipta sejarah beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, 7 Jun ini, bekas pemain Kelantan, Pahang, Perak dan T-Team itu mahu mengikis tanggapan semua pihak bahawa pasukan Liga Perdana tidak mampu beri saingan kepada skuad-skuad elit Liga Super. Disuntik semangat dengan keputusan seri 3-3 pada aksi sulung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, skuad kendalian Irfan Bakti Abdul Salim itu nyaris membuat kejutan apabila mendahului 3-0 pada satu ketika sebelum pengalaman jelas memihak kepada Kelantan daripada diaibkan di laman sendiri. Kali ini, bermain di tempat sendiri, Indra berharap dapat menamatkan impian bekas pasukannya untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA yang dimenangi tahun lalu tambahan prestasi Felda buat masa ini berada di tahap memuncak. "Berdepan Kelantan, saya tahu mereka sebuah pasukan yang kuat dan menjadi pilihan ramai sedangkan kami pula tidak pernah dipandang oleh sesiapa, tambahan kami bukannya dari Liga Super. "Namun, itu akan menjadi motivasi tambahan buat saya bagi membantu pasukan Felda melakar kejayaan dalam saingan separuh akhir kedua yang disifatkan masih terbuka. "Tidak mustahil Kelantan mampu dijinakkan walaupun mungkin mereka lebih matang dan berpengalaman bersaing di peringkat ini tetapi di atas padang, segalanya pasti berbeza," katanya. Walaupun begitu, Felda terpaksa meneruskan misi tanpa pemain dari Liberia, Zah Rahan Krangar yang digantung perlawanan dan tugas sebagai perancang di bahagian tengah kemungkinan terpaksa disandarkan kepada pemain tempatan. Hakikat itu diperakui oleh pemain berusia 33 tahun tersebut sedikit merencatkan kestabilan di bahagian tengah, namun dia yakin rakan-rakan yang lain mampu mengatasi kelompongan yang ditinggalkan. "Zah Rahan tidak akan bermain dan itu menjadi kebimbangan saya, mungkin Shahrulnizam Mustapha atau Syahid Zaidon terpaksa memikul tanggungjawab. "Cuma satu berita baik buat kami, Shukor Adan akan kembali setelah pulih daripada kecederaan dan itu meniup semangat kepada saya dan rakan-rakan," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan