Utusan Online - Rencana |
Antara manifesto Rais dan Jokowi Posted: 26 May 2014 12:08 PM PDT Oleh DR. FIRDAUS ABDULLAH DARI KIRI: Rais Yatim, Joko Widodo SEHARI setelah Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyampaikan ucaptama berjudul "Pengukuhan Budaya dan Identiti Nusantara" dalam seminar di Universitas Andalas, Padang baru-baru ini tersiar pula satu rencana oleh seorang calon Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo (lebih terkenal dengan panggilan Jokowi) dalam harian Kompas yang berjudul Revolusi Mental. Karangan Jokowi itu boleh dianggap sebagai satu manifesto politik dalam usahanya berkempen merebut jawatan presiden negara itu dalam pilihan raya presiden Julai depan. Manakala ucaptama Rais dapat pula dilihat sebagai manifesto kebudayaan dalam usahanya memperkasa identiti Nusantara berdasarkan semangat serumpun umat Melayu-Islam di gugusan kepulauan Melayu. Barangkali satu kebetulan, tetapi semangat dan kandungan ucaptama Rais di kampus Universiti Andalas dan karangan Jokowi dalam harian Kompas itu mempunyai beberapa persamaan yang menarik. Jika hendak diungkapkan secara puitis dan berkias, inti pati pesanan kedua-dua tokoh ini adalah kembalilah ke akar untuk memperkasa akal demi kegemilangan Nusantara. Mereka mengingatkan supaya bangsa Indonesia dan pelbagai suku masyarakat Nusantara jangan terlalu terpedaya dan membiarkan diri hanyut dalam arus globalisasi. Sebaliknya globalisasi wajiblah ditapis dan untuk itu nilai-nilai unggul dan luhur yang terkandung dalam budaya masyarakat Nusantara itu wajiblah digali dan dipugar kembali. Lenggang-lenggok bahasa beserta pantun dan pepatah petitih yang digunakan oleh Rais dalam ucapannya mengingatkan kita kepada cara tokoh-tokoh Minangkabau berpidato. Manakala ungkapan "Revolusi Mental" yang menjadi judul karangan Jokowi mengingatkan kita kepada gerakan revolusi mental yang diketuai oleh Allahyarham Tan Sri Senu Abdul Rahman di peringkat awal pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Malaysia kira-kira 45 tahun lalu. Ertinya, tanpa disedari dan tanpa dirancang berlaku proses pinjam meminjam atau saling bertukar gaya berpidato dan penggunaan istilah serta pertukaran pengalaman negara masing-masing antara kedua orang tokoh ini. Semua itu dapat dianggap atau ditafsirkan sebagai terdapatnya persamaan atau cara berfikir dan persamaan keprihatinan antara mereka terutama mengenai hal ehwal yang berhubung kait dengan jati diri dan keperibadian bangsa. Visi Jokowi dapat dilihat lebih jelas melalui petikan perenggan berikut dari karangannya berbunyi: Dalam pembangunan bangsa, saat ini kita cenderung menerapkan prinsip-prinsip fahaman liberalisme yang jelas tidak sesuai dan kontradik dengan nilai budaya, dan karakter bangsa Indonesia. Sudah saatnya Indonesia melakukan tindakan korektif dengan mencanangkan revolusi mental, menciptakan paradigma, budaya politik dan pendekatan nation building baru yang lebih manusiawi, sesuai dengan budaya Nusantara, bersahaja, dan berkesinambungan. Jokowi mengakui gagasan revolusi mental yang dicanang itu diilhamkan oleh konsep Trisakti ciptaan Presiden Sukarno lebih 50 tahun lalu. Dalam pidato pentingnya pada 1963, Sukarno memperkenalkan konsep Trisakti sebagai pedoman utama membangun negara bangsa Indonesia. Konsep Trisakti membayangkan kewujudan Indonesia yang hendak dibangun itu dari tiga dimensi: (a) Indonesia yang berdaulat dari segi politik, (b) Indonesia yang mandiri secara ekonomi dan (c) Indonesia yang berkeperibadian secara sosial-budaya. Khusus mengenai dimensi ketiga (dia menggunakan istilah 'pillar' yang bererti 'tiang' atau 'tonggak'), Jokowi berkata: Pillar ketiga Trisakti ialah membangun keperibadian sosial dan budaya Indonesia. Sifat keIndonesiaan semakin pudar kerana derasnya arus globalisasi. Indonesia tidak boleh membiarkan bangsanya larut dengan arus budaya yang belum tentu sesuai dengan nilai-nilai luhur bangsa kita. Rais berucap panjang lebar tentang krisis jati diri yang berlaku di Nusantara kini terutama di kalangan generasi muda. Kecenderungan meniru Barat secara membuta tuli, semakin menjadi-jadi. Hampir setiap aspek kehidupan Barat sekarang hendak ditiru termasuk menu makanan, selera seni, tata pergaulan sosial serta cara berpakaian. Secara tidak langsung Rais menegur (menyindir?) kecenderungan sesetengah pihak mengunakan nama-nama Barat sebagai nama peribadi yang tidak mempunyai ciri-ciri tempatan sama sekali. Memang di Minangkabau kini terdapat ramai yang menggunakan nama Barat. Hal ini semakin jelas kepada orang luar yang melihat poster dan sepanduk yang mempromosikan calon-calon dalam pilihan raya legislatif bulan lalu. Terdapat dalam kalangan calon tersebut yang menggunakan nama Barat seratus peratus. Fenomena tersebut kini semakin merunsingkan, malah menakutkan, dengan semakin agresifnya gerakan untuk mengkristiankan umat Melayu Nusantara yang sekian lama menganut agama Islam. Malah di Minangkabau sendiri yang terkenal sebagai salah satu kubu utama Islam di Nusantara, gerakan "Kristianisasi" itu sudah semakin berani , malah boleh dikatakan bersikap "angkuh" dengan pelbagai sumber ekonomi dan jaringan antarabangsa yang mereka punyai. Bila Rais menyebut "pengkristianan dilaporkan berlaku dengan tempoh yang lebih tersusun dan terancang", tentu itu mengingatkan kita terhadap fenomena yang sama di Malaysia, walau pun berlangsung secara berselindung. Pelbagai pandangan dan cabaran yang dilontarkan oleh Rais itu, kemudian dihuraikan lebih lanjut oleh penulis-penulis kertas kerja dari Malaysia dan Indonesia, termasuk Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Awang Sariyan dan Ketua Satu Gapena, Profesor Datuk Abdul Latif Bakar. Turut membentangkan kertas kerja ialah seorang ahli sosiologi Indonesia yang terkenal Dr. Mochtar Naim yang secara khusus menyebut nama Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad atas ketegasan dan jasa mereka berdua 'memberi peluang besar kepada bumiputera Melayu untuk berkiprah mengangkat diri dari keterbelakangan'. Beliau menyeru pemerintah Indonesia agar mencontohi Tun Razak dan Tun Mahathir yang mendahulukan kepentingan pribumi dalam mengejar segala ketertinggalannya. Manakala Awang dalam kertas kerjanya bertajuk Pembangunan berbasis budaya dalam konteks kesinambungan perjuangan Melayu menimbulkan isu "kontrak sosial" yang menjadi asas kerjasama antara kaum di Tanah Melayu pada tahun-tahun menjelang Tanah Melayu/Malaysia mencapai kemerdekaan dahulu. Katanya: Kontrak sosial yang menjadi asas pembinaan negara ini dahulu, sekarang kian luntur dan malah dicabar oleh kalangan tertentu. Sehubungan itu Awang berkeluh kesah lagi (atau mungkin meratap?) kerana citra kebudayaan Melayu kian kabur dalam Institusi Kerajaan. Yang ironis di sinilah ialah sementara orang luar (seperti Dr. Mochtar Naim) memuji usaha Tun Abdul Razak dan Tun Mahathir mengibarkan bendera Melayu, dalam negeri sendiri kesedaran dan inisiatif kedua-dua bekas Perdana Menteri Malaysia ini kelihatan seakan-akan tidak mempunyai kesinambungan lagi sejak akhir-akhir ini atau kian kabur, menurut istilah Awang. Pembentang kertas kerja lain ialah Profesor Suwardi dari Riau, Profesor Nurhayati Rahman dari Makasar dan Profesor Bambang Wibawarta dari Universitas Indonesia, Jakarta. Saya sendiri turut membentangkan kertas yang berjudul Memugar Kembali Warisan Yang Pudar. Seminar ini dianjurkan oleh Yayasan Ikatan Rakyat -Malaysia-Indonesia (YIRMI) dengan kerjasama Fakultas Sosio Budaya, Universitas Andalas sebagai salah satu kegiatan YIRMI untuk menggelorakan persaudaraan Nusantara dan memupuk semangat serumpun dalam kalangan umat Melayu-Islam di Asia Tenggara ini. Sebelum ini YIRMI di bawah pimpinan Rais dan sokongan Yayasan Albukhary dan Yayasan Warisan Negara menganjurkan pertemuan dalam kalangan pengamal media massa di kedua negara. Tetapi saya menganggap seminar YIRMI dengan kerjasama Universitas Andalas ini mempunyai signifikan atau keistimewaan tersendiri kerana pada hujung minggu yang sama, keprihatinan budaya yang disuarakan oleh Rais disuarakan pula oleh seorang tokoh politik dan calon presiden yang semakin masyhur di Indonesia, Jokowi. Dan saya rumuskan ini sebagai gabungan manifesto politik Joko Widodo dan manifesto kebudayaan Rais. Dapatkah ini dianggap sebagai tiupan angin segar di cakerawala politik dan kebudayaan Nusantara? Mudah-mudahan. SENATOR Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dan Guru Besar Tamu (Profesor Pelawat) di Fakultas Hukum, Universitas Andalas, Padang. |
Posted: 26 May 2014 12:08 PM PDT Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON Orang ramai dari pelbagai pertubuhan NGO Islam yang hadir mengaminkan doa selepas menunaikan solat hajat di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya bagi mendengar permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengenai penerbitan mingguan The Herald dilarang menggunakan kalimah Allah dalam bahasa Melayu, pada 5 Mac lalu. - UTUSAN/RASHID MAHFOF BULAN Rejab mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding bulan-bulan hijrah lain. Ini kerana berlakunya peristiwa agung yang mencabar minda dan akal fikiran manusia untuk memikirkan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Sirah perjalanan agung Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermula daripada rumahnya di Mekah kemudian singgah di Madinah dan Baitulmaqdis di Palestin sebelum dibawa menaiki Burak membelah tujuh petala langit dan menghadap Allah pada satu malam adalah suatu mukjizat yang kekal dikenang hingga ke hari ini. Malah ia merupakan kejadian yang bertentangan dengan hukum akal manusia hinggakan terdapat dalam kalangan orang Islam yang lemah iman tidak mempercayainya lalu kembali kepada agama asal mereka. Allah berfirman yang maksudnya; Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Isra':1) Peristiwa agung ini jelas menunjukkan betapa kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Malah manusia yang sifatnya lemah, pelupa dan sering kali berbuat kesalahan dan kesilapan harus sentiasa merendah diri dan bertaubat kepada Allah. Usah mendabik dada dengan kebolehan manusia yang terhad dan kecanggihan teknologi yang memukau pandangan, kerana semua itu hanya sekelumit daripada ilmu Allah yang maha luas lagi tidak bertepi. Usah terlalu berbangga dengan kejayaan dan pencapaian yang dikecapi kerana ia adalah sekelumit daripada anugerah Allah yang perlu disyukuri. Sehubungan itu, masyarakat Islam diseru kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah Rasul-Nya apabila menemui jalan buntu untuk menyelesaikan segala permasalahan yang timbul. Keengganan berbuat demikian dikhuatiri akan menyebabkan individu Muslim tersilap langkah dan menyimpang daripada ajaran syariat yang sebenar. Mukjizat agung Israk Mikraj juga menunjukkan betapa Allah maha berkuasa secara mutlak untuk memberi balasan baik dan buruk kepada hamba-hamba-Nya. Perkara ini dapat diperhatikan kepada gambaran balasan baik dan buruk yang dipertontonkan kepada kekasih-Nya pada malam kemuliaan tersebut. Antaranya Baginda Nabi SAW diperlihatkan dengan keadaan segolongan manusia yang menanam tanaman kemudian tumbuh subur dan dituai hasilnya pada hari yang sama. Apabila ditanya kepada Malaikat Jibril yang sentiasa mengiringi Nabi SAW dalam perjalanan tersebut, dijawab ia adalah balasan yang disediakan buat para pejuang fisabilillah yang ikhlas berjuang bermati-matian lalu dilipatgandakan pahala amal mereka oleh Allah. Mengambil sempena peristiwa yang menakjubkan ini, umat Islam diseru untuk berjuang habis-habisan bagi mempertahankan akidah daripada terlibat berbuat perkara yang boleh menyebabkan seseorang terkeluar daripada landasan agama yang sebenar. Ini termasuklah golongan yang mempersendakan hukum hakam Allah SWT lagi tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Terdapat pula yang masih mempercayai perkara-perkara khurafat dan tahyul serta mempercayai kuasa tertentu yang boleh memberi kebaikan dan keburukan selain daripada Allah yang maha berkuasa. Di sudut lain, umat Islam diseru mempertahankan kesucian agama Allah daripada diceroboh oleh pihak-pihak yang berniat serong dan mempertahankan institusi kenabian daripada diperbodoh-bodohkan dengan lawak dan karikatur yang menjengkelkan. Malah sebilangan umat Islam di luar negara terus ditindas dan dan dinafikan hak untuk bernegara apatah lagi melaksanakan ajaran agama di tanah air mereka sendiri. Selain itu, penipuan atas nama agama juga semakin berleluasa. Malah yang lebih memalukan apabila ada pihak yang menjaja agama ke sana dan ke mari tak ubah seperti ubat pelaris kepada perniagaan mereka. Ingatlah, pelbagai bentuk hukuman berat bakal menanti umat Islam yang malas menunaikan solat, enggan membayar zakat, seronok memakan riba dan mengkhianati amanah. Yang mana jika diperhalusi balasan yang ditunjukkan oleh Allah ini bersifat menyeluruh lagi merangkumi pelanggaran terhadap tanggungjawab manusia kepada Tuhan-Nya, kepada masyarakat dan segala hubungan personal yang bersifat peribadi. Apa yang lebih penting untuk difahami betapa setiap gerak-geri dan perlakuan manusia tidak pernah sepi daripada pemantauan Allah dan Allah secara mutlak maha berkuasa untuk memberikan balasan yang setimpal terhadap pelakunya. Apa pun peristiwa Israk Mikraj yang meriah diraikan dengan pelbagai program dan aktiviti seharusnya menjadi wadah terbaik buat para Muslimin untuk kembali berpegang dengan ajaran Allah SWT dan sunah Rasul-Nya. Dengan sifat akal manusia yang terhad dan hanya bergantung kepada kekuatan pancaindera yang juga terhad mana mungkin manusia mampu untuk memikirkan sesuatu yang di luar daripada batasan yang ditetapkan. Lebih daripada itu, segala kejadian dan peristiwa yang berlaku mempunyai hikmah dan kebaikan tersendiri sama ada yang tersirat mahupun yang tersurat di depan mata. Hanya sahaja manusia sebagai hamba Allah harus sentiasa muhasabah diri seraya mempertingkatkan amal bakti demi mendambakan cinta Ilahi. Malahan masa yang pergi dan berlalu begitu pantas tidak pernah menunggu sesiapa yang terlewat apatah lagi membuang masa kepada perkara perkara yang tidak berfaedah. Ambillah iktibar daripada setiap kejadian yang berlaku semoga menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik dari pada semalam. PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan