Utusan Online - Dalam Negeri |
- MH370: Data belum diproses Inmarsat akan dikeluarkan esok
- Ibu saudara lima beradik kesal ada pihak tabur fitnah
- Cendekiawan tempatan perlu martabatkan manuskrip Melayu
MH370: Data belum diproses Inmarsat akan dikeluarkan esok Posted: 26 May 2014 04:11 AM PDT SEPANG 26 Mei - Laporan mengenai data satelit yang belum diproses daripada firma United Kingdom Inmarsat, yang digunakan untuk mengesan pola penerbangan pesawat MH370 Malaysia Airlines, akan dikeluarkan esok. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Inmarsat akan mengumumkan laporan itu secara bersama. "Ini yang mereka (Inmarsat dan DCA) telah beritahu saya," kata beliau kepada pemberita selepas melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini hari ini. Penerbangan MH370, yang membawa 239 orang, hilang daripada imbasan radar ketika berada di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini pukul 12.41 tengah malam. Pesawat Boeing 777-200ER itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi pada hari yang sama. - BERNAMA |
Ibu saudara lima beradik kesal ada pihak tabur fitnah Posted: 26 May 2014 02:41 AM PDT SUNGKAI 26 Mei - Ibu saudara kepada lima beradik yang kehilangan ibu bapa mereka dalam kemalangan Jumaat lepas, melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana terdapat pihak menabur fitnah bahawa keluarganya akan menghantar lima beradik itu ke rumah anak yatim dan mengambil semua duit sumbangan. Junaida Mohd Zain, 42, berkata, beliau meminta pihak berkenaan agar menghentikan segala fitnah yang disebarkan melalui laman sosial Facebook itu. "Kami ada perasaan...jangan cakap macam tu, lima beradik ini adalah darah daging kami. Walau apa pun terjadi kami tak kan pisahkan mereka, kami adik-beradik boleh jaga mereka," katanya ketika ditemui di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman di sini hari ini. Seorang lagi ibu saudara lima beradik itu, Zainah, 44, mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan pihak yang melakukan penipuan dengan meminta derma untuk lima beradik itu melalui Facebook. - BERNAMA |
Cendekiawan tempatan perlu martabatkan manuskrip Melayu Posted: 26 May 2014 02:13 AM PDT Oleh HUSSAINI AMRAN KUALA LUMPUR 26 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cendekiawan tempatan perlu memikul tanggungjawab untuk terus mempertahankan dan memartabatkan manuskrip Melayu sebagai dokumen warisan negara yang terpenting. Timbalan Perdana Menteri memberitahu, mereka harus mengambil iktibar daripada sarjana-sarjana Barat seperti Roolvink, Teeuw, Josselin de Jong, George Coedes dan Snouck Hurgronje. Menurut beliau, sarjana-sarjana Barat tersebut berupaya menjadi pakar rujuk dalam memperkatakan bahasa, adat, tradisi lisan, batu bersurat, bahasa Melayu kuno dan pelbagai aspek peradaban Melayu. "Walau bagaimanapun, sarjana Melayu sendiri tidak mengenali atau memperkenalkan budaya mereka. "Sehubungan itu, diharap lebih ramai lagi pengkaji tempatan dan penuntut peringkat sarjana mendalami kajian tentang manuskrip Melayu di negara-negara tertentu," katanya ketika berucap merasmikan Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu 2014 di Perpustakaan Negara Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan