Isnin, 26 Mei 2014

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Program motivasi jana kemahiran berfikir aras tinggi

Posted: 25 May 2014 12:50 PM PDT

PESERTA Program Transformasi Kejayaan Diri yang terdiri daripada 130 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) ROmpin dan SK Puteri amat bertuah kerana mendapat suntikan motivasi daripada motivator berpengalaman, Dr. Ismail Zain.

Guru Besar SK Rompin, Datin Noaizan Jamaludin berkata, program ini memberi penekanan kepada aspek memotivasikan diri murid dalam proses meningkatkan ilmu, memperkasakan diri serta menjana kemahiran berfikir aras tinggi.

Program yang dikendalikan oleh Dr. Ismail, seorang pendidik yang cemerlang ini mampu membimbing dan menyuntik semangat murid-murid agar berusaha dengan lebih baik ke arah kecemerlangan diri," katanya dalam majlis penutup program itu di SK Rompin, Kuala Rompin, Pahang baru-baru ini.

Majlis penutup program yang diadakan dengan kerjasama Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (empower ECER) itu dihadiri oleh ibu bapa peserta.

Setiap peserta diberi senaskhah Tutor secara percuma sebagai bahan rujukan dan latihan belajar.

Menurut Pegawai Pelajaran Daerah Rompin, Mohamad Alias Chik, keprihatinan ibu bapa serta usaha memantau masalah dan kemajuan pelajaran anak-anak merupakan salah satu faktor penting untuk kejayaan mereka.

Sementara itu, Pengurus Projek, S. Tamil Selvam memberitahu, sebanyak tujuh program seumpama ini dilaksanakan pada tahun 2014 di sekolah-sekolah daerah Rompin.

Ini bertujuan untuk membantu memberi peluang kepada murid-murid khususnya daripada golongan miskin dan luar bandar untuk menyertai program yang berimpak positif," katanya.

Dalam pada itu, modul program kecemerlangan pendidikan yang dikendalikan oleh Dr. Ismail ini mampu memenuhi keperluan pendidikan masa kini dengan memberi penekanan kepada aspek kemahiran berfikir aras tinggi untuk meningkatkan pembangunan modal insan.

Untuk menganjur kursus seperti ini, sila hubungi 019-5713745 atau layari www.tutor.com.my/motivasi.

Memartabatkan bahasa kebangsaan

Posted: 25 May 2014 12:50 PM PDT

BAHASA pertuturan Malaysia ialah bahasa Melayu. Bahasa yang telah menjadi lingua franca lebih 600 tahun dahulu - lebih lama daripada penggunaan bahasa Inggeris yang bermula pada pertengahan kurun ke-16.

Sejak lebih 50 tahun lalu bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa rasmi sejak merdeka.

Sepuluh tahun selepas merdeka, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, mengikut perkara 152.

Krisis baharu yang melanda bahasa Melayu ialah adanya rakyat negara ini meminggirkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan kita.

Krisis ini berlaku kerana tanggapan yang salah oleh masyarakat tentang kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kemajuan negara ini.

Faktor kedua ialah kerana sikap orang Melayu sendiri. Ada segelintir orang Melayu yang berkuasa telah meminggirkan bahasa Melayu daripada rancangan pembangunan.

Jika keadaan ini berterusan, kita akan terus tertinggal dalam arus kemajuan, bankrap dalam bidang ilmu, teknologi, dan budaya serta akhirnya terkubur di negara sendiri.

Ada ibu bapa mendidik anaknya bertutur dalam bahasa Inggeris, kononnya jika tidak menguasai bahasa itu mereka sukar mendapat sebarang pekerjaan di negara ini.

Dalam dunia keusahawanan, orang-orang Melayu sendiri malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan bangsanya sendiri, kononnya takut dikaitkan ketinggalan zaman atau tertinggal dalam arus teknologi moden.

Bangsa kita tidak terdesak untuk mencipta ilmu dan teknologi baharu kerana ilmu itu dapat diperoleh dan dibeli daripada dunia lain - dari Barat atau Timur.

Janganlah kita menuding jari sekiranya bahasa Melayu dipinggirkan kerana kita sendiri enggan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi, bahasa pencipta ilmu dan budaya atau bahasa tamadun tinggi.

Masyarakat kita sendiri lebih mementingkan bahasa Inggeris sebagai alat kemajuan, malah dalam perbualan seharian, kita lebih berminat menggunakan bahasa Inggeris walaupun penguasaan bahasa Inggeris kita tidaklah sebaik mana.

Dasar penswastaan yang tidak terhad dikatakan semakin mengetepikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di menara gading.

Walaupun pelajar-pelajar di sekolah menerima pendidikan bahasa Melayu selama tiga belas tahun namun mereka meninggalkan bahasa itu selepas tamat persekolahan untuk melanjutkan pengajian ke kolej swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya.

Bagaimanapun, pendidik di negara ini memainkan peranan yang penting untuk memartabatkan bahasa Melayu serta meningkatkan mutu pendidikan bahasa Melayu.

Golongan pendidik hari ini telah melaksanakan konsep bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Peranan pendidik adalah penting kerana mereka juga bertanggungjawab membimbing guru subjek lain.

Malah peranan pendidik juga lebih penting dalam memartabatkan bahasa Melayu kerana dalam kurikulum pendidikan bahasa, matlamat utama adalah untuk melahirkan pelajar yang berupaya menggunakan bahasa Melayu yang baik dan membanggakan.

Selain itu, dalam konteks yang lebih luas, nilai-nilai masyarakat yang positif perlu diterapkan melalui pendidikan bahasa.

Pelajar di institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan proaktif untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Mereka perlu bergerak sederap bagi mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Melayu dalam semua bidang ilmu.

Langkah-langkah yang dijalankan seperti menganjurkan Minggu Bahasa Melayu, Bulan Bahasa Kebangsaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap bahasa Melayu.

Pembabitan semua pihak yang peka terhadap keperluan dan perubahan patut diberikan pujian. Minggu Bahasa Melayu yang dianjurkan contohnya dapat mendaulatkan bahasa ibunda di samping memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan generasi kini.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan badan utama yang memainkan peranan penting dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia.

Melalui peranan dan usaha yang dimainkan, bahasa Melayu telah digunakan dalam pelbagai bidang, termasuklah undang-undang, kejuruteraan, sains dan teknologi, ekonomi, perbankan serta insurans.

Usaha ini terbukti dengan terbitnya buku-buku pengistilahan dan glosari dalam bahasa Melayu yang mencakupi pelbagai bidang tersebut. Sebelum ini, kebanyakan istilah yang digunakan diambil daripada bahasa Inggeris.

Di samping itu, DBP hendaklah juga menjadi mentor dan menggerakkan semua aktiviti pembinaan dan pemantapan bahasa kebangsaan di seluruh negara.

DBP hendaklah sentiasa menasihat, menegur, dan membimbing pemimpin kerajaan, swasta, media cetak atau media elektronik supaya menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam semua urusan rasmi.

Selain itu, peranan media massa juga tidak harus diketepikan. Media massa mempunyai tanggungjawab sosial bagi memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu.

Peranan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa Melayu amatlah dialu-alukan.

Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan lebih banyak kegiatan bahasa di luar Malaysia seiring dengan promosi perniagaan atau produk yang ditawarkan.

Kegiatan promosi dan pasaran secara sistematik akan memberikan pulangan yang memberangsangkan dalam perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, sains, dan teknologi.

Papan-papan tanda dan iklan yang mempromosikan sesuatu jenama haruslah menggunakan bahasa Melayu yang betul.

Dengan cara ini, kita akan dapat mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja di negara kita malah di arena global.

Warga Malaysia mesti membetulkan kelakuan, sikap, tanggapan, dan semangat mereka terhadap bahasa Melayu.

Pertemuan raksasa dalam kalangan orang Malaysia yang pelbagai latar belakang perlu diadakan untuk membincangkan segala masalah yang mengancam bahasa Melayu hari ini.

Sebagai kesimpulan, langkah-langkah yang konkrit dan pragmatik perlulah diambil untuk memartabatkan bahasa Melayu - bahasa kebangsaan kita. Hakikat ini perlu disedari dan diakui oleh seluruh rakyat Malaysia.

Setiap warga yang pelbagai keturunan haruslah memanfaatkan masa untuk mempelajari dan menguasai bahasa Melayu dengan baik dan memartabatkan bahasa Melayu yang ternyata memberikan faedah yang besar kepada perpaduan, keharmonian dan teknologi Malaysia.

ABDULLAH ABDUL RAHMAN

Guru Besar,

SK Pasoh 1 (Felda), Simpang Pertang, Negeri Sembilan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved