Isnin, 26 Mei 2014

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Sedia jadi isteri

Posted: 25 May 2014 11:27 PM PDT

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin
Gambar Mohd. Farizwan Hasbullah

USIA muda bukan satu halangan untuk Erin melangkah ke alam rumah tangga.

PERKENALAN berusia empat bulan dilihat terlalu singkat buat sesetengah pihak, malah keputusan untuk berkahwin juga mula dipandang serong. Bagaimanapun itu tidak pernah menjadi sebab buat pelakon cantik ini menolak kemahuan dirinya agar segera disatukan dengan kekasih hati. Jujurnya dia agak terasa bila ada yang mengaitkan kekayaan Farriz Fauzy, 30, menyebabkan dia segera membuat keputusan ini.

Jelas Erin Malek atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 20, memang terasa bila ada yang melabelkan dia kini sebagai mata duitan. Tidak cukup dengan kecaman itu ada yang mula mendakwa Erin tidak jujur dalam hubungan ini.

Menafikan perkara itu, jujurnya dia sendiri tidak pernah dimanjakan dengan sebarang kemewahan sepanjang hubungan ini berlangsung.

Memang saya terasa, sebab di awal perkenalan kami, saya hanya kenal dia sebagai orang biasa dan bukan anak jutawan atau apa.

Farriz sendiri baca blog dan kasihan melihat saya, gara-gara hubungan ini saya terkena tempias dek kehidupan dia," kata Erin ketika ditemui pada tayangan filem terbarunya, Awak Nak Kahwin Dengan Saya? di TGV Sunway Pyramid baru-baru ini.

Menjelaskan detik-detik perkenalan dengan Farriz, dedah Erin memang mereka bertukar nombor telefon di laman Instagram. Bagaimanapun pertemuan pertama sudah terjadi sebelum itu lagi.

Saya pernah jumpa dia sekali, tetapi pada waktu itu kami langsung tidak bersembang lama dan hanya sempat bertegur sapa sahaja.

Cuma di laman instagram kami bertukar nombor telefon itupun selepas dia meminta nombor telefon saya," katanya.

Menjelaskan perkara ini dengan lebih mendalam, Erin berkata, memang pada mulanya dia ada bertanyakan kerjaya sebenar Farriz bagaimanapun kekasihnya itu hanya menjelaskan yang dia terlibat dalam bidang perniagaan.

Pada awal perkenalan kami, saya tak tahu pun yang dia anak jutawan, Tan Sri atau sebagainya kerana keluarga mereka sangat merendah diri. Farriz mempunyai perniagaan sendiri dan dia sangat rajin bekerja.

Kalau lihat dia juga bukan seperti anak seorang jutawan, hanya orang biasa-biasa sahaja. Sebab itu pada mulanya saya tidak tahu tentang latar belakangnya," katanya.

Keikhlasan Farriz juga terbukti apabila Erin kini sudah diterima dengan baik oleh keluarga kekasihnya itu. Menurut Erin sungguhpun hubungan ini baharu berlangsung dalam kadar waktu yang cukup pantas, dia bersyukur Farriz mempunyai perancangan yang baik buat hubungan ini.

Saya sudah bertemu keluarga Farriz, jujurnya mereka sangat merendah diri. Sama juga Farriz dia sendiri juga sudah mesra dengan keluarga saya.

Memang pada mulanya saya sudah menyatakan pendirian berhubung soal cinta memandangkan saya masih muda, tetapi Farriz yakinkan saya dia memang mahu meneruskan hubungan ini lebih jauh," jelasnya sambil tersenyum.

Tunang bulan Jun

Memang sudah dirancang bulan hadapan pelakon ini akan bergelar tunangan kepada kekasihnya itu. Bagaimanapun menurut Erin buat masa ini masih ada yang perlu dirahsiakan kerana ia melibatkan banyak pihak.

Memang Farriz ada melamar dan perbincangan pertunangan itu sudah mula sikit-sikit.

Tapi saya tak boleh nak cakap lebih-lebih sebab takut nanti tersalah cakap pula. Tetapi perancangan itu memang ada. Apa-apa saya akan kongsikan dengan media nanti," katanya lagi.

Menjelaskan keadaan kononnya dia membuat keputusan terburu-buru, jelas Erin dalam tempoh empat bulan dia yakin mengenali siapa Farriz sebenarnya. Bersedia bergelar isteri pada tahun hadapan, minta Erin agar hubungan ini terus diberkati.

Saya mengenali dia selama empat bulan, tetapi hanya dua bulan kami mula serius. Jujurnya tempoh perkenalan kami itu sangat padat dengan pertemuan. Sebab itu kami cepat kenal memandangkan kerap bertemu dan bersembang.

Sampai sekarang juga saya masih belajar mengenali siapa dia, proses itu masih lagi berlangsung. Sebenarnya perancangan berkahwin itu memang saya sudah ada sejak tahun lepas, bukan dari empat bulan lepas. Cuma waktu itu saya tiada jodoh dengan teman sebelumnya," katanya.

Bakal bergelar isteri, jelas Erin, dia bersyukur untuk mengetahui bakal suaminya itu langsung tidak mempunyai masalah dengan kerjayanya sebagai pelakon. Akan meneruskan bidang lakonan seperti biasa, kata Erin soal lain perlu difahaminya secara sendiri.

Sebab utama saya pilih Farriz adalah sikapnya yang sentiasa menyokong saya. Dia tidak ada masalah dengan kerjaya saya kerana dia tahu ini adalah impian saya dari kecil. Malah saya sendiri mahu berjaya seperti dia.

Soal watak atau babak yang tidak sesuai, saya fikir memang dari dahulu lagi saya awasi soal ini. Sebelum saya kenal Farriz lagi saya sudah faham sendiri, jadi dia memang tidak letakkan apa-apa syarat," katanya.

Pilih watak

Bercakap soal kerjaya, Erin akui dia agak memilih. Hanya memilih yang bersesuaian dengan umur, kerana dia takut bila meningkat dewasa sudah tiada watak yang sesuai untuknya.

Saya memang takut apabila saya sudah berumur tiada watak yang sesuai untuk dibawa.

Jujurnya pemikiran saya memang agak matang setelah melalui pelbagai pengalaman, tetapi saya masih macam remaja seusia saya," katanya ketawa.

Bermula sebagai pelakon kanak-kanak, Erin akui sehingga kini dia belum pernah puas dengan apa yang telah dipersembahkan, baik dalam drama atau filem.

Soal kepuasan lakonan, sama ada filem atau drama yang dilakonkan, saya tak akan pernah puas.

Menjadi perkara biasa bila kita tonton balik lakonan tersebut, kita akan nampak kekurangan dan dari situ kita akan lebih berusaha untuk buat yang lebih baik," katanya.

Berkongsi mengenai lakonannya sebagai Puteri dalam filem Awak Nak Kahwin Dengan Saya?, Erin memberitahu dia membawa watak sebagai seorang gadis yang kelam-kabut, rajin dan lurus bendul.

Ini kali kedua saya berlakon di bawah arahan Eyra Rahman, walaupun pernah membawa watak yang sama dalam drama bersiri Misiku Kuza.

Saya akui ia berbeza kerana ini kali pertama saya membawa karakter tersebut dalam layar yang lebih besar," katanya.

Selain Erin, filem Awak Nak Kahwin Dengan Saya? turut dibintangi oleh Fezrul Khan, Shima Anuar, Zalif Sidek, Emily Chan, Mustapha Kamal, Ruminah Sidek, Lydiawati dan Delimawati. Filem terbitan Metrowealth (MIG) ini mula ditayangkan sejak 22 Mei 2014.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved