Utusan Online - Utara |
Siswazah perlu hargai nilai ilmu Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah Kerja Sosial kepada seorang warga emas, Zainon Ghazaley pada Upacara Konvokesyen USM Ke-49 di Pulau Pinang, semalam. PULAU PINANG 26 April - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan graduan bahawa mereka mempunyai peranan penting untuk membawa perubahan terhadap kualiti hidup masyarakat. Titah baginda, bagi memastikan matlamat berkenaan tercapai, graduan perlu berkongsi ilmu yang ada secara sukarela untuk kebaikan semua pihak. " Percayalah dengan ilmu yang dimiliki, ia akan menjadikan kita berupaya untuk memberi dan membalas budi masyarakat dan negara walaupun di mana kita berada," titah baginda. Baginda bertitah demikian pada majlis pembukaan Sidang Pertama Konvokesyen Universiti Sains Malaysia ( USM) Ke-49 yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra di sini hari ini. Turut hadir, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Omar Osman. Sempena majlis berkenaan, seramai 1,089 graduan menerima ijazah masing-masing iaitu 823 (ijazah kedoktoran dan ijazah sarjana) , 265 (ijazah pertama) dan seorang diploma. Selain itu, titah Tuanku Syed Sirajuddin, dengan ilmu yang dimiliki, graduan berkenaan membawa perubahan positif kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara malahan dunia. " Sesungguhnya orang yang berilmu itu adalah insan yang taat kepada amalan beragama, nilai dan etika yang ditetapkan. Oleh itu, beta menyeru para siswazah supaya menjaga ilmu yang dimiliki di kampus ini dan berusaha menjadi seorang yang bermaruah dan sentiasa memberi kebaikan kepada orang lain," titah baginda. Dalam pada itu, baginda turut menyentuh tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang mana mengajar rakyat tentang makna perpaduan dan kesabaran. |
PeKA disaran lebih kreatif penuhi kehendak industri Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT Dr. Zambry Abd. Kadir beramah mesra dengan pengunjung yang mencari peluang kerjaya di gerai Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara selepas majlis perasmian Karnival Pendidikan Kerjaya Amanjaya 2014 di Marina Island, Lumut, Perak, semalam. Turut kelihatan Redza Rafiq Abdul Razak (dua dari kiri).- Bernama LUMUT 26 April - Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) diminta lebih kreatif menjalinkan kerjasama strategik dengan pemain-pemain industri yang berada di negeri ini untuk memberi peluang kepada golongan muda mendapat pekerjaan. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, perkara tersebut amat perlu dalam usaha mencari pemadanan pekerjaan yang sesuai dengan kehendak dan keperluan industri berkenaan. Sehubungan itu, kata Zambry, PeKA juga diminta memberi pendedahan yang secukupnya kepada golongan itu bagi memperkasa diri menghadapi pekerjaan tersebut. "Jadi saya telah meminta satu proses kerjasama diwujudkan antara kedua-dua pihak itu supaya dapat memberi tenaga kerja kepada mereka mengikut apa yang dikehendaki. "Ada dalam kalangan pemain industri yang perlu tenaga kerja mahir, ada separuh mahir dan hanya mahu kerja-kerja biasa. Malah, ada juga yang menitikberatkan soal kemahiran dari segi bahasa. Inilah yang perlu PeKA teliti dan sediakan untuk melatih bakal-bakal pencari kerja itu," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Amanjaya Negeri Perak 2014 di Marina Island di sini hari ini. Yang turut hadir Pengerusi Jawatan kuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak. Jelasnya, perbincangan dari semasa ke semasa juga perlu dilakukan kedua-dua pihak untuk mengetahui bentuk peluang pekerjaan yang akan diketengahkan kepada rakyat negeri ini mengikut kehendak semasa mereka. "Jadi saya juga minta PeKA laksanakan perkara-perkara tersebut termasuk dari segi latihan kepada pencari-pencari kerja ini supaya memenuhi kehendak mereka. "Yang penting bila sudah diberi latihan, kerja berkenaan perlu diberikan kepada mereka yang terlibat oleh pemain industri tersebut. Setakat ini ada beberapa pemain industri di sini telah mengadakan kerjasama strategik sedemikian dengan PeKA ," katanya. Untuk rekod, sejak ditubuhkan pada 2011 sehingga Februari lalu, PeKA telah mewujudkan sebanyak 15,237 peluang pekerjaan kepada golongan muda di negeri ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan